UMNO TIADA MEDIA
Kalangan penulis, wartawan dan pengkaji sejarah berpendapat, di antara banyak sebab UMNO mengalami kemerosotan sokongan orang Melayu, terutama dari mereka yang berpelajaran, kerana parti politik itu tidak memiliki media sendiri.
Menurut mereka, UMNO hanya bergantung kepada radio, televisyen surat-surat arus perdana sahaja.
Sesebuah parti politik yang hendak popular sepanjang zaman, mesti ada media sendiri dan tidak boleh bergantung kepada media yang disokong kerajaan, menurut mereka lagi.
“PAS ada medianya sendiri, Harakah dan dibantu oleh beberapa media lagi. Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada surat khabarnya sendiri, iaitu Suara Keadilan ,” kata seorang penulis politik yang enggan disiarkan namanya.
“Orang ramai tidak yakin kepada surat khabar arus perdana, tetapi mereka percaya kepada surat khabar milik parti politik itu sendiri,” kata seorang penyelidik sejarah dan politik.
Mereka berpendapat, jika UMNO mahu menarik kepercayaan dan sokongan orang ramai pada masa akan datang, mestilah mempunyai media sendiri seperti parti-parti politik lain.
UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hingga pada zaman Tun Abdul Razak telah ada suaranya sendiri, iaitu Merdeka, tetapi setelah ia bergantung kepada media arus perdana, maka surat khabar itu tidak terbit lagi.
No comments:
Post a Comment