Saturday, June 28, 2008

SUARA MASJID

MENTAATI PEMIMPIN

[Artikel ini kami pindahkan dari Suara Masjid Putrajaya, bilangan 55, tahun 7, Jun 2008. Kami mendapati artikel ini membantu orang ramai – sama ada yang berpelajaran tinggi mahupun pelajaran tidak seberapa, untuk membuka minda mereka menjadi orang yang prihatin akan kiri kanan kehidupan mereka.

Editor: Petah Shahrir Aidid]

Masjid Putrajaya

Fiman Allah S.W.T. bermaksud: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Sesungguhnya kau hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini. Para malaikat bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata):

Adakah Kamu (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan pertumpahan darah (berbunuh-bunuhan). Pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dana mensucikanmu? Allah berfirman: Sesaungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kemudian tidak mengetahuinya.

(Al Baqarah:30).


Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat kesepaduan suara dan melaksanakan hukum-hakam (tafsir Quran juz 1). Hukum kewajipan melantik pemerintah atau kerajaan ini tidak menjadi khilaf (silap) di kalangan ulama. Pemerintah ini diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan manusia dan melaksanakan peraturan Allah S.W.T. ke atas hamba-Nya. Justeru itulah Allah S.W.T. menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam firman-Nya bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada Uli amr (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada (kitab) Allah (Al Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(An Nisa:59).


Iman Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat kebanyakan agar taat kepada Allah dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauh segala larangan-Nya, kemudian di tahap yang kedua taat pula kepada Rasulullah s.a.w. dalam segala arahan dan larangannya, kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah.

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlak kerana ia terikat kepada sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan ‘taat’ tidak disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz menyebut:

“Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara maksiat.”

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda dalam banyak hadis, di antaranya:

“Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhaka kepadaku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai pemerintaku dia menderhakaiku.”


Malah Baginda bersabda:

“Dengar dan taatlah kamu meskipun orang yang memerintah kamu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering.”


Ali bin Abi Talib menyebut:

Wajib ke atas pemerintah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah kami mentaati pemerintah.”

Tafsir Qurtubi, juz 4, ms 224).


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Siapa yang mati sedangkan dia tidak memberi perakuan taat setia kepada pimpinan adalah mati dia dalam keadaan jahiliah.”

(Hadis riwayat Imam Muslim).


Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas, ialah:

1. Pemerintah wajib memerintah berasaskan arah dan hukum hakam Allah.

2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepda rakyat mentaatinya.


Inilah konsep pemerintahan dalam Islam. Seorang pemerintah diberi ‘bai’ah’ oleh rakyat untuk memerintah berdasarkan kehendak Allah S.W.T.. Oleh itu rakyat berkewajipan mentaati pemerintah dan memberi sepenuh kepatuhan kepada pemerintah, kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bagi akan dapat menentukan keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara.

Seterusnya rakyat juga hendaklah memberikan kerjasama dan memastikan segala apa yang diperintahkan oleh pemerintah dipatuhi dan dilaksanakan dengan sempurna dan mencapai matlamat. Dengan hal yang demikian terbinalah sebuah negara ‘Baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur’, iaitu sebuah negara yang aman makmur lagi mendapat keampunan dan rahmat Allah.


Insya Allah.

No comments: