Sunday, June 8, 2008

LESUNG BATU

Makan Sambal Telunjuk Berdiri


Satu keluarga yang fakir, tinggal di hujung kampung pendalaman. Wajah suami dan isteri kering macam tidak berisi, dua puntung betis masing-masing keras laksana besi

Suami isteri itu dikurniakan oleh tuhan lima anak; dua lelaki dan tiga perempuan. Mereka membesar dalam belitan fakir seperti sawa membelit anak kambing tepi paya.

Rumah – kalau boleh di sebut rumah - mereka, semua tiang kayu bulat berteras dari rimba. Atap daun bertam berdindingkan buluh-buluh betung lama rendam dalam tasik. Lantai dari buluh minyak belah lima.

Paha tangga dan anak-anaknya kayu dari belukar gigi rimba, di ikat dengan rotan cegar.

Suami isteri itu bekerja sawah; tanah sekangkang kera. Menoreh getah; pokok tua bersigai macam julang angkasa. Kerja dari pagi sampai ke petang, mendapat habuan, sekadar laksana berselimut kain panjang lima; tutup kaki kepala terdedah; tutup kepala kaki telanjang.

Anak-anak ke sekolah berbekal nasi laung udang sambang. Kaki masing-masing berbungkus kasut tua. Mereka rajin belajar dan pintar.

“Susah kita ..., tak usah minta pada sesiapa ...,”kata suami.

“Ia, abang, kita doa kepada Tuhan ...,”sahut suami.

Mereka tidak memiliki harta, kecuali sawah dan ladang getah luas sekangkang kera.

Harta yang paling mereka sayang, ialah lesung batu. Harta itu tidak berharga, tetapi berjasa dan bagi mereka tinggi nilainya.

Kerana serba tidak cukup; isteri menumbuk cili sebiji dua, garam secukup rasa, belacan sedikit cuma dengan asam belimbing besi belakang rumah.

Pada ketika makan, sekeluarga itu beringat dan berjimat. Makan biar sama merasa. Kerana sambal sedikit hendak dimakan oleh lima beranak.

Isteri berketang kain di dada, sambil menyuap nasi ke mulutnya, teringat pesan suaminya, “Sayang, kita susah begini, kena makan sambal telunjuk berdiri ...”.

Tuhan telah makbulkan doa mereka; anak sulung berjawatan di ibu negara, anak kedua pensyarah universiti, anak ketiga pegawai kedutaan, di luar negara, penolong pegawai daerah jawatan anak yang keempat dan anak yang kelima di universiti Islam Antarabangsa, tahun ketiga.

Sepasang suami isteri itu telah lanjut usia, masih bersama lesung batu di kampung mereka - Paya Pak Banon.

No comments: