Sunday, June 22, 2008


CANTIK YANG SIAL


[Pada zaman silam, orang tua-tua Melayu sering berpesan kepada anak cucunya, “Tak usah dipinda, jangan diadun lesung batu, nanti sambalnya tak sedap.” Ikuti kisah benar dalam masyarakat bergelar jahiliah moden ini


- Editor, Petah Sharir Aidid.]


Jamaliah, perempuan cantik berasal dari kampung pendalaman, di sebuah negeri di utara. Wajahnya ada daya tarikan kerana ada para wajah orang Melayu jati, iaitu hidung tidak mancung, laksana bunga sekuntum, pipi pauh dilayang, kening taji dibentuk dan sepasang mata jernih bagaikan air perigi, di bawah terang bulan.


Wajah Jamaliah ada daya tarikan seperti lesung batu kepada penggemar sambal belacan. Jika lesung batu itu diubah suai menjadi piala, maka, rasa sambal tidak enak lagi.


hitam hitam lesung batu,

tumbuk lumat cabai Melaka;

hitam hitam isteri aku,

sampai kiamat cinta juga.


Walaupun pelajarannya sekadar tingkatan lima dan pangkat ketiga sekolah menengah di tempat lahirnya, tetapi nasibnya baik, dia telah berkahwin dengan seorang pemuda, Jifri, berpangkat tinggi dalam sebuah syarikat gergasi di Kuala Lumpur.


Setelah Jamaliah berumah tangga dengan Jifri, dia berkeadaan seperti puteri raja pemerintah; hidupnya mewah, dimanjakan oleh suami dan pendeknya dia seperti permaisuri tanpa mahkota.


Mungkin kerana Jamaliah seperti tanah gersang atau suaminya seperti benih setengah sambang; selama tutuh tahun mereka berumah tangga, mereka hanya mendapat seorang anakperempuan.


Seseorang perempuan yang kurang pengetahuan agama Islam dan tipis iman, hidup dalam Bandaraya Kuala Lumpur, dia akan mudah terpengaruh dengan berbagai warna atau karenah berbagai jenis manusia bergelar perempuan. Ada perempuan berperangai ikut Nabi Adam, ada yang mengikut perangai Siti Hawa dan ada yang mengikut perangai syaitan atau iblis.


Jamaliah menyertai kelompok wanita yang mementingkan kemewahan hidup. Melakukan sedikit kerja berusunsur Islam, tetapi memerlukan publisiti oleh media.


Banglo Jamaliah dan suaminya yang terletak atas bukit, pinggir Bandaraya Kuala Lumpur, hanya ada sebuah Quran yang telah buruk dan dua tiga naskhah surah Yasin.


Sebagai seorangn yang berpelajaran tinggi, Jifri gemar membaca berbagai jenis buku. Tetapi dalam banglonya tidak ada ruang tempat buku. Semua ruang menjadi tempat perabot pinggang mangkuk, barang-barang antik, aneka perhiasan dan sebagainya. Dia terpaksa membaca buku-buku di Perpustakaan Negara.


Jamaliah tidak puas hati dengan paras rupanya yang dikurniakan oleh Tuhan. Dia rasa tidak cantik. Tidak menarik perhatian orang-orang lelaki. Dia tidak bersyukur dengan anugerah Tuhan kepadanya.


“Kita orang perempuan ni,Cik Jamaliah kena jaga tubuh badan, bagi ada daya tarikan, barulah suami kita suka…,” kata Datin Zeleha kepada Jamaliah pada satu petang.


“Tengok saya, rupa saya nampak muda ken …?” Tanya Datin Zaleha.

“Ia, Datin, cantik, macam mana Datin buat?” Jamaliah bertanya.


Datin Zaleha yang tidak pernah tahu yang dirinya telah bermadu dengan wanita cantik dari Bandung, Indonesia itu, telah menasihati Jamaliah supaya ‘ubah suai’ wajahnya.


Jamaliah telah masuk hospital swasta kerana sakit dalam perut. Selama seminggu di hospital dia telah mengguna khidmat doktor pakar untuk mengubah suai hidungnya menjdi mancung, pipinya menjadi gebu dan pendeknya wajahnya seperti orang memakai botok.


Setelah Jamaliah keluar dari hospital, semua jiran tetangga memujinya; wajahnya cantik macam anak dara. Jamaliah bangga dengan kecantikan yang baru didapatinya itu. Tetapi suaminya mulai tidak berminat melihat wajahnya.


Jifri rasa jelak merenung wajah isterinya. Wajah isterinya yang dulu ada daya tarikan dan menarik hatinya, telah tidak ada lagi. Kadang-kadang dia memandang Jamaliah seperti memandang orang lain atau bukan isterinya.


Kira-kira tujuh bulan kemudian, Jamaliah telah menangis berladung air mata. Dia telah mendapat tahu suaminya telah menikah dengan perempuan, Ustazah Khairun, lepasan sekolah agama, di Bagan Datok, Perak.


Sebagai seorang isteri yang terpengaruh dengan fikiran perempuan-perempuan Melayu yang nipis iman dan tidak takutkan Tuhan, dia telah bertanya kepada suaminya dengan nada suara perempuan durhaka.


“Ia, I dah kahwin dengan Ustazah Khairun,” Jifri memberitahu isterinya.

“Ngapa you kahwin dengan dia, kan I ni …,cantik …?” Jamaliah bertanya.

“ …ia, you cantik, tapi Khairun macam lesung batu di rumah mak I, warnanya hitam, hodoh …, tapi I berkenan, suka …, you ni terlampau cantik …,” jawabJifri.

“You ceraikan dia, perempuan sial tu …, kalau tak …,” kata jamaliah.

“Kalau tak, pa?” Tanya Jifri.

“ …pilih, dia atau I …,” jawab Jamaliah dengan suara meninggi.


Pada hari itu Jifri telah membuat pilihan. Dia memilih isteri mudanya, Ustazah Khairun dan menceraikan Jamaliah dengan talak satu.


(Mokhtar Petah)

No comments: