Wednesday, June 25, 2008

ABDULLAH TERUSKAN JIHAD

MELETAKKAN JAWATAN ERTI GAGAL

Oleh: Mokhtar Petah


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah diminta tidak mengambil keputusan terburu-buru meletakkan jawatannya dari Perdana Menteri Malaysia, kerana tindakan itu bererti jihadnya membela kerajaan, rakyat dan agama Islam telah gagal.

Kalangan politikus dalam dan luar UMNO telah menghubungi saya melalui telefon dan blog saya, setelah membaca artikel mengenai Abdullah Ahmad Badawi dalam blog saya baru-baru ini.

Bekas ketua sebuah bahagian UMNO di Pulau Pinang berkata, “Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Abdullah akan meletakkan jawatannya dan menyerahkan kepada Datuk Najib Tun Razak , saya tak setuju dia letak jawatan.”

“Abdullah Ahmad Badawi patut terus memikul tangungjawabnya bagi beberapa tahun lagi, kerana perjuangannya belum selesai,”katanya.

“Kalau dia letak jawatan pada masa terdekat ni, maknanya dia tak tahan dengan tekanan golongan anti Islam …, dia gagal dalam jihadnya,”katanya.


Abdullah Haji Mohd. Adnan bekas ahli UMNO dari Ipoh telah meminta Abdullah Ahmad Badawi tidak meninggalkan tangungjawab pada masa terdekat ini, kerana usahanya menerapkan nilai Islam Hadhari ke dalam UMNO belum berjaya sepenuhnya.

“Dia tak boleh rasa kecewa kerana ramai calon Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya ke-12 baru ini, tiga negeri terlepas ke tangan parti-parti pembangkang,”katanya.

“Dr. Mahathir dulu pun telah mengalami berbagai keadaan menyedihkan, tak berjaya merampas Kelantan dari PAS dan Terengganu terlepas ke tangan PAS, macam-macam lagi,”katanya lagi.

“Abdullah kena memandang ke seluruh Negara, rakyat yang masih mahukan dia memimpin kerajaan, itu tanggungjawab tak boleh ditinggalkan dengan mudah,” tambahnya.

Abdul Malik bin Haji Othman dari Seremban berkata, “Kalau Pak Lah ambil jalan meninggalkan tanggungjawabnya kepada UMNO dan Kerajaan pada masa terdekat ini, maknanya dia gagal dalam perjuangan hendak melaksanakan cita-citanya ambil Quran dan Sunnah jadi pedoman.”

“Saya minta Pak Lah fikir banyak kali, fikirkan orang Melayu dan rakyat Malaysia,”katanya lagi.


Kira tujuh orang dari Kelantan, Pahang, Kedah dan Johor memberitahu saya, bahawa dalam UMNO ada orang-orang yang tidak ‘senang duduk’ kerana Abdullah Ahmad Badawi menerapkan nilai Islam dalam UMNO dan kerajaan.

Mereka juga berpendapat, ada orang-orang tertentu yang mahukan beliau segera meletakkan jawatan kerana beliau telah menjalankan perintah dengan tegas, seperti membebaskan para hakim, Badan Pencegah Rasuah dan pihak-pihak berwajib menjalan tanggungjawab mereka dengan tegas dan sempurna.

Sementara itu orang ramai gembira kerana tidak ada usul undi tidak percaya kepada Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Dewan Rakyat hari Isnin lalu seperti yang diumumkan oleh Presiden SAPP, Yong Teck Lee baru-baru ini.