Monday, June 23, 2008

JANDA DAN BERUK JANTAN

Dari novel Kasih Ibuku


[Cerita ini disedut dari novel, Kasih Ibuku, karya Mokhtar Petah yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Cerita ini dapat menjadi pelajaran dan penduan bagi wanita yang bercita-cita untuk menjadi seorang solehah – cinta dan taatkan suami dan cinta dan taatkan Allah.

Editor, Petah Shahrir Aidid.]


“…Lamin, mu mengaji sungguh-sungguh, fasal duit tak usah mu risau, duit getah, duit nyiur, pinang kering, asam gelugur kering, sirih, kapur ada…, tak cukup emak jual kambing,” kata ibuku pada masa aku belajar dalam tingkatan thanai rabi’’, di sekolah agama di Seberang Perai.

“…makan minum emak, ayahku tak apa, padi sawah kita menjadi, ikan keli, ruan, puyu dalam telaga sawah banyak, ayahku cari ikan di air benak (tasik Chenderoh),” kata ibu lagi.

“Emak nak mu jadi orang alim, orang pandai, orang bijak,… macam Jamaluddin Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, macam Hamka…, macam Dr. Burhanuddin Helmi,…macam ustaz Abu Bakar AL Baqir.” tambah ibuku.


Aku diterpa oleh rasa kagum. Kagum kerana ibuku yang buta huruf rumi tetapi boleh mengetahui nama-nama para cendekiawan terbilang.

Menurut ibuku, ayahku yang aktif dalam perjuangan orang Melayu peringkat kampung, sering menerangkan kepadanya tentang orang-orang Islam yang bijak pandai. Hampir tiap-tiap malam pada waktu mereka hendak tidur, ayahku membaca buku-buku mengenai para cendekiawan Islam itu dan diterangkan pula kepada ibuku.

“Ayahmu kata, orang laki bini…, kalau baca buku baik-baik pada ketika nak masuk tidur…, kalau dapat anak, …anak tu jadi orang bijak,” ibuku memberitahu kepadaku seperti dia mengetahui akan kehairananku terhadap dirinya.

“Insya Allah, emak, …memang Lamin nak jadi orang bijak,”aku menanamkan sepohon harapan kepada ibuku.

“Kata tuan Cek Wi, budak kecil kalau beri makan belalang kuning,boleh jadi orang bijak,” ibuku memberitahu kepadaku.

“Ia ke, emak?”aku bertanya.

“Ia, tengoklah mu, adikmu bila dah besar panjang, …kami selalu beri muma makan belalang kuning,”jelas ibuku.

“Di mana emak, ayah dapat belalang tu, emak,” aku bertanya.

“Di mana lagi, di bendang kita tulah,…ayahmu tahan bubu dalam jerami padi, dalam bubu tu dia sapu belacan,”jelas ibuku.


Ibuku menternak seekor kampung betina warna hitam. Kuku kaki kiri kambing itu jadi bengkok dan capang kerana terpijak bara api. Kambing betina itu galak beranak. Anak-anak kambing itulah menjadi sumber rezeki bagi ibu dan ayahku. Wang hasil menjual anak-anak kambing itulah dapat aku gunakan untuk membeli buku-buku pelajaran pada tiap-tiap akhir tahun.

Ibuku seorang perempuan Melayu yang yakin pada dirinya. Kerana kesudahan sering menerpa dan melanda ibu dan ayahku, maka ibuku tidak takut kepada kesusahan yang mencengkam dirinya. Dia sering berkata kepadaku, iaitu kesusahan mengajar manusia menjadi manusia sejati. manusia berperikemanusiaan. Menjadikan manusia yang sentiasa hampir dengan Tuhan. Manusia bertimbang rasa kepada manusia lain.

Ingatanku terhimbau kepada suatu malam, iaitu pada ibuku berkata kepadaku, “…Lamin,Allah dekat dengan kita,… kerana Allah dekat dengan emak, tak takut susah, susah jadi ilmu pada emak,…emak tak ingat, ada dalam Quran,…firman Allah, …sesungguhnya bersama kesusahan itu, datang kesenangan .


Ibuku merenung wajahku. Dua bola matanya bersinar menandakan hatinya penuh keyakinan kepada Allah.

Kata ibuku, “…mudah baca sejarah, dua puluh lima rasul Allah, dari Adam sampai kepada Muhammad hidup susah,Allah cuba, Allah uji…,demo sabar,demo tawakal, iman demo kuat.”

“Demo tu susah sebab musuh,…sebab macam-macam,” kata ibuku lagi.

“…mu anak jantan, mu tak usah takut susah, mu kena sabar, kena tawakal, tak usah lupa Tuhan, orang lupa Tuhan sesat, jadi jahat, suka buat maksiat…,” tambah ibuku.

“Ia, emak, insya Allah, Lamin akan sabar, tabah, tawakal, emak,” aku menanamkan harapan pada hati ibuku.


Dia ibuku. Wanita solehah. Dia sedang duduk di hadapanku. Pada wajahnya yang bujur sirih ada cahaya Puteri Balqis dari Saba yang jatuh cinta kepada rasul Allah, Sulaiman alaihis salam, Zulaikha yang mabuk cinta kepada rasul Allah,Yusuf alaihis salam dan cahaya Siti Khadijah, hartawan wanita Arab yang mencintai Nabi Muhammad sallal Lahu alaihi wa sallam. Mereka langsung berumah tangga. Menjadi keluarga contoh kepada umat manusia. Dia ibuku yang dadanya berisi iman dan berhiaskan kesabaran.

“Emak nak cakap ni,Lamin,”kata ibuku sambil merenung kepadanya.

“Apa,emak?”aku bertanya.

“…bila mu dah tamat belajar, cepat kahwin, emak nak tengok cucu mak,…mak tak mahu kempunan nak tengok cucu emak hingga emak mati,” jawab ibuku dengan tegas.

“Baiklah,emak,…tapi,” aku berkata menyuburkan pohon harapan dalam hatinya.

“Apa, Lamin?” ibuku bertanya.

“…tapi, emak nak pilih sendiri bakal menantu emak tu, atau…?” aku bertanya pula.

“Tak, emak tak nak pilih,emak nak mu pilih sendiri, baik pada mu, eloklah pada emak,” jawab ibuku sambil senyum.

Ibuku diam sejenak. Dia senyum dan berkata, “…mu mesti baik, hormat, sayang pada isterimu,” ibuku meluahkan kata nasihatnya kepadaku.

“Insya Allah, emak,”aku berkata mengandungi janji kepadanya.

“…mu ingat, kerana mu lelaki, orang jantan,…mu kena buat baik dengan orang perempuan, demo tu sejenis dengan emak,” pesan ibuku.


Aku hampir ketawa. Aku tak faham perkataan ‘buat baik’ yang dimksudkan oleh ibuku. Tetapi aku tidak bertanya kepadanya akan maksud madahnya itu. Walau bagaimana pun, sebagai seorang anak, pesanan ibuku itu tetap aku memegangnya sekuat mungkin.

“Jangan buat tak baik dengan orang perempuan,…Tuhan marah, berdosa,” pesan ibuku lagi.

“Baik, emak,”sahutku.

“…tapi kalau mu nak nikah dua tiga, sampai empat pun mak tak larang,” kata ibuku sambil senyum.

“Allahu Akbar,…macam menyuruh pula, emak,” aku berkata sambil menahan tawaku.

“…bukan emak suruh, tapi mu jangan menentang takdir,…mu kena ingat, kita hanya merancang, tapi Allah Maha Kuasa,”kata ibuku sambil senyum.

“Ia, emak, la haula wala quwwata illa billah…,” aku mengakurkan kata-kata ibuku.

Aku rasa malu mendengar kata-kata ibuku itu. Sebenarnya aku telah berazam; jika Allah meredakan, iaitu aku tidak akan memadukan isteriku.

*** ***


Malam itu kampung Kembang Semangkuk kedinginan. Semenjak tengah hari lagi hujan turun mencurah-curah. Dedaun di pepohon berterbangan dibawa angin dan dibasahi oleh air dingin. Daun - daun kembang semangkuk yang selebar tapak tangan lelaki sasa dan buah-buahnya yang bersayap seperti burung layang-layang itu berterbangan dan luruh ke bumi di sekitar kampung hingga ke permukaan sawah padi di sebelah timur.

“Abang, tak usah minta mak Munah, …Ijah ada, Ijah boleh gi pinang Mahani tu,” ibuku berkata kepada ayahku dengan hatinya yang tulus.

“…ia, Ijah, ia…?” tanya ayahku.

“Ia,…benar, bang,”jawab ibuku. Senyum.

“Sanggup ke, Ijah?” ayahku bertanya.

“…ngapa tak sanggup? Abang ingat Ijah tak suka abang madukan Ijah?,”ibuku bertanya.


Ayahku sengeh. Hati lelakinya kembang bagaikan bunga bakawali kembang pada waktu subuh.

“Kerana abang, kerana suami, jangankan gi pinang Mahani, pinang puteri raja pun Ijah sanggup, bang,”jawab ibuku dengan ikhlas.

“Eh, sampai macam tu sekali,”kata ayahku sambil melilitkan lengan kanannya kepinggang ibuku.


Ibuku geli geleman.

“…kan Ijah dah kata, kerana abang, …kerana abang berenang dalam lautan api pun Ijah rela,bang” tegas ibuku.


Ayahku sengeh lagi. Senyumnya memanjang bagaikan pantai yang sayup mata memandang. Hatinya menari bersama perasaannya yang dibungkus kegembiran. Hatinya bertaut dengan rasa nafsu lelakinya. Hatinya berjalin dengan cinta terhadap ibuku. Hati lelaki membara cintanya kepada bakal isterinya, Mahani.

Lengan kanan ayahku bertambah erat membelit pinggang ibuku. Perempuan yang berpengalaman dalam penyerahan cinta kasih suaminya itu arif benar akan hajat suaminya pada waktu itu. Dia juga sedang dilambung oleh gelora berahinya sendiri.

Bagai pengantin baru ibu dan ayahku berpelukan di atas tilam gebu dari kapuk kampung. Malam terlalu dingin. Hujan mencurah-curah turun. Ibukuku lemas dalam kedinginan dalam pelukan ayahku. Ayahku seorang lelaki sejati yang diwarisi dari para nabi dan datuk neneknya. Malam amat dingin. Bunyi air hujan yang mencurah turun atas atap rumah ayah dan ibuku dan mengalir lalu mencurah dan terjun ke bumi. Bunyi air dan atap telah menenggelamkan segala bunyi pada waktu itu. Buah- buah kembang semangkuk yang berterbangan dalam hujan lebat itu menjunam ke dalam kubang dan telaga yang berkocak airnya di tengah sawah

Mahani janda muda. Usianya baru menjangkau 24 tahun. Dia tidak mempunyai anak. Hati nuraninya penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang perlu dilimpah ruahkannya kepada lelaki bakal suaminya. Dia memerlukan seorang lelaki untuk teman hidupnya.

Suami Mahani seorang lelaki keturunan Bugis telah menghilangkan dirinya entah ke mana. Selama tiga tahun dia terkekang dalam penderitaan batin. Dia tidak mengetahui di mana belukar dan hutan lara tempat suaminya bersembunyi. Hati muda dan nafsu mudanya mendesak dia bertindak menuntut talak dari suaminya. Dia tidak sanggup memaksa dirinya dalam keadaan ‘makan hati berulam jantung’. Demi Allah dia tidak terdaya membiarkan nafsu berahi perempuan mudanya kekeringan laksana dedaun bertaburan di tengah padang pasir tandus.

Mahani seorang perempuan yang ada pengetahuan agama Islam. Dia lebih yakin bertindak mengikut syarak dapat manfaatkan dirinya sebagai seorang wanita daripada mengikut hukum adat yang sana sini ada lapuknya dan ada maksiatnya. Kerana ada catatan taklik di belakang sijil nikah dia dan suaminya, maka Mahani telah mendapat kebenaran bercerai taklik dengan suaminya dari pejabat kadi.

Kadi yang berusia hampir bersara itu berkata kepadanya, “Orang perempuan muda macam kamu ini, tak usah membiarkan diri jadi macam buah nangka disumpah beruk, masak tidak,gugur tidak,hanya tergayut kering di dahan.”

“Saya ni tuan, kerana ada sekelumit ilmu agama, sekadar tahi udang atas kepala, nipis sangat iman kepada Allah, macam kulit bawang kering, kalau tak…, dah lama saya ikut nafsu saya entah ke mana,” balah Mahani kepada kadi itu.


Mahani yang berlesung pipit dan dua bola matanya laksana bintang kejora, bergelar janda muda.

Dia menjadi guru sukarela mengajar kanak-kanak kampung Kembang Semangkuk mengaji Quran, fardu ain dan ilmu akhlak.

Ayahku kenal Mahani dan Mahani kenal ayahku. Mereka sama-sama hidup dalam sebuah kampung tradisi orang Melayu. Mereka hidup dalam rukun jiran tetangga dan gotong royong. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala-galanya. Pada suatu malam orang - orang tetangga menjadi gempar. Beberapa orang daripada mereka itu mendatangi ayahku di rumahnya. Mereka meminta tolong kepadanya untuk menangkap seekor beruk jantan yang sedang mengintai janda muda, Mahani, di atas bumbung rumahnya.

Beruk jantan itu dibela oleh Lebai Manap. Dia menjadikan haiwan itu sebagai hambanya untuk memanjat pokok kelapa dan mengambil buah-buahnya, Mengambil buah petai dan mencari siput dan gondang dalam sungai. Entah bagaimana, pada petang tadi rantai besi yang mengekang leher beruk dan di kunci pada sebatang kayu di belakang rumahnya telah putus.

“Eh, takkanlah beruk tu tau Mahani tu janda atau tidak,” kata ayah kepada orang-orang kampung yang datang menemuinya.

“Beruk ni macam kita juga,abang,” sahut seorang dari mereka.

“…beruk jantan pun macam kita juga, abang, tahu mana betina cantik, mana tak cantik,”kata yang seorang lagi.


Ayahku senyum.

Mereka ketawa. Bunyi tawa mereka mengocak kesunyian kampung kembang Semangkuk.

Dalam perjalanan ke rumah Mahani, hati ayahku terlontar kepada satu hari pada bulan Muharam kira – kira tiga bulan yang lalu. Mahani telah datang bertandang ke rumahnya. Dia telah makan tengah hari bersama ibu dan ayahku.

Kedatangan Mahani ke rumah ayahku kerana dia meminta ayahku menolongnya, iaitu memberi beberapa petunjuk kepadanya untuk dia menjawab soalan dalam peperiksaan mendapatkan tauliah mengajar agama Islam di pejabat agama. Mahani telah mendapat tahu,iaitu beberapa orang agama di sekitar mukim dalam daerah kami telah berjaya mendapatkan tauliah mengajar agama Islam setelah mereka mempelajari selok belok menjawab soalan dalam peperiksaan.

Semenjak hari itu juga ibuku terasa amat mesra dengan Mahani. Dalam hatinya terpendam rasa kasihan kepada perempuan muda lagi jelita yang hidup tanpa suami itu. Ibuku sanggup bermadu dengan Mahani sekiranya bapaku sudi menerima janda muda untuk menjadi isterinya yang kedua.

Ibuku sering berdoa dalam hatinya kepada Allah; mudah – mudahan Allah memakbulkan doanya. Allah membuka hati suami supaya bernikah dengan Mahani. Bagi ibuku, jika dia menerima Mahani menjadi madunya, bererti dapat melakukan sejambak ibadat kepada Allah.

Sebaik-baik sahaja ayahku tiba di kaki tangga rumah Mahani, dia mendengar suara Mahani menjerit ketakutan. Sementara atas atap rumahnya – atap dari daun rumbia kering, seekor beruk jantan bertaring panjang sedang merengek-rengek dengan nafsu berahinya kepada janda muda itu.

Kerana ayahku ada kepandaian memujuk beruk, iaitu dengan membaca sepuntung ayat Quran, “Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang. Dan sesungguhnya kamu mengetahui mereka ayang melanggar aturan di antara kamu pada hari Sabtu, kerana itu kami kata kepada mereka: hendaklah kamu menjadi monyet yang dibenci orang”. Maka lebih kurang lima belas minit ayahku berjaya menangkap beruk itu. Beruk tersebut diserahkan oleh ayahku kepada lebai Mana.

“Jaga baik-baik beruk ni, lebai, binatang ni macam manusia juga, tahu perempuan cantik atau tidak,” kata bapaku kepada Lebai Manap.

“…baiklah,abang,” sahut Lebai Manap lalu dirantai leher beruknya itu dengan rantai besi yang baru.

“Orang bela gajah kena jaga kosanya, bela beruk kena jaga rantainya,” tambah ayahku.

“Ia,abang,” sahut Lebai Manap lalu pergi dalam malam hitam.


Beberapa orang kampung itu mengelilingi ayahku.

Mahani turun ke tanah. Dia kelihatan termengah-mengah. Penat. Dia terlalu takut kepada beruk jantan itu.

“…mujur abang ada, kalau tak, tahulah Ani, bang,”kata Mahani kepada ayahku.

“Tak pa, beruk aja,Ani,” kata ayahku pula.

“Beruk jantanlah yang Ani takut…,” kata Mahani agak tersipu-sipu.

“Kalau orang agaknya Ani tak takut,” kata Wahab, bilal surau di kampung itu.

“Orang tak apa. Orang ada akal, Ani tak takut,” sahut Mahani.


Mereka sama-sama ketawa.

Semenjak peristiwa beruk jantan mengacau Mahani itulah hati ayahku terpaut kepada janda muda itu. Dia ingin berkahwin dengan Mahani. Tetapi dia perlu memaklumkan kepada ibuku. Kalau ibuku setuju dia berkahwin dengan Mahani, barulah hajatnya akan dilaksanakan. Kalau ibuku tidak setuju, dia akan membatalkan niat sucinya itu.

Mahani juga telah jatuh hati kepada ayahku. Dia tertarik hati kepada ayahku kerana ayahku ada banyak ilmu agama Islam, baik budi bahasanya, sikap jujur dan suka menolong orang-orang kampung yang memerlukan pertolongannya.

Mahani tidak mahu bersikap telaga mencari timba. Biar timba mencari telaga. Kalau sudah tiba masa timba mencari timba dan hati masing-masing saling cintai mencintai, Mahani akan datang menemui ibuku untuk meminta keizinan darinya.

Bagi Mahani, hendak mengambil buah belimbing orang kena meminta kepada tuannya, inikan pula hendak mengambil suami orang; kenalah meminta izin kepada isterinya. Kalau tidak berbuat demikian akan dikata orang dirinya merampas suami orang.

Semenjak pada malam peristiwa beruk jantan mengganggunya,hati Mahani sentiasa teringatkan ayahku. Sesungguhnya dia mencintai ayahku. Dan sesungguhnya ayahku mencintai dirinya.

Pada suatu petang, Mahani telah berkunjung ke rumah ibuku. Dia datang menggonggong hajat. Dengan seketul hati wanita yang tegas dan berani demi cintanya kepada bapaku. Dia ibarat pahlawan sejati yang datang tanpa senjata, hanya berbekalkan budi, datang menemui pahlawan yang belum tentu akan boleh menjadi kawan atau musuhnya.

Mahani duduk bersimpuh di hadapan ibuku. Dua biji matanya merenung wajah ibuku. Hatinya memohon ihsan dari perempuan yang baik budi itu. Ibarat orang meminta ubat dari dukun; pertama kali meminta, harap-harap jampi serapahnya mujarab dan penyakit dalam tubuhnya segera sembuh. Dia datang tidak diundang. Datang bukan meminta makanan atau emas dan berlian, tetapi meminta sekelumit budi agar merelakan suami sendiri menjadi isteri orang lain. Rela perempuan yang bergelar madu berkongsi lelaki bernama suami dengannya.

“…kak,…Ani datang ni ada hajat,” kata Mahani kepada ibuku.

“Hajat? Ai, nak kenduri ke, aaa…?” ibuku bertanya sambil senyum. Mesra.

“Tak,…tapi lain,” jawab Mahani.

“Besar benarkah hajat tu, Ani?” Tanya ibuku.

“Ia,kak, besar hajat Ani ni,…a…,a…,a, Ani nak minta izin dari kakak, Ani ,nak menikah dengan abang Radzi, suami kakak,” tegas Mahani.


Ibuku senyum. Ibuku merenung wajah janda muda di hadapannya. Hatinya ikhlas kepada perempuan itu. Berkembangan bebunga syukur kepada Allah dalam hatinya.

“…kak syukur kepada Allah, al hamdulillah kerana Ani sudi menjadi adik kakak, sudi menerima abang Radzi jadi suami Ani,”kata ibuku.

“…al hamdulillah, terima kasih kak,” kata Mahani.


Air mata jernih kerana gembira melimpah dalam dua lubuk matanya Mahani. Dia membiarkan air matanya itu luruh ke atas pahanya.

“Kakak rasa, …ialah, nilah satu ibadat kakak kepada Allah, satu pengorbanan kepada suami kakak,abang Radzi,” kata ibuku sambil senyum.

“Ia, kak,”kata Mahani.


Ibuku memagang tangan kanan Mahani dengan kedua-dua puntung tangannya. Di pegang erat-erat dua puntung tangan berkulit lembut itu.

“Ani, abang Radzi dah beritahu kakak,…dia nak ambil Ani jadi isterinya,”kata ibuku.

“Ia, kak,”sahut Mahani.

“Kak beritahu abang Radzi, biar kakak yang pergi pinang Mahani,”kata ibuku lagi.

“Ia, kak?”Mahani bertanya.


Ibuku mengangguk. Hatinya Ikhlas.

“Ani, Allah benarkan orang lelaki,…ialah ada isteri lebih dari satu orang, dalam Quran ada sebut, kalau kita tegah ke, larang ke suami kita madukan kita, berdosa kerana kita derhaka, kita buat lain dari Allah izinkan,…kita tentang hukum Allah,” kata ibuku seperti memberi ceramah agama kepada Mahanai.

“Ia, kak,”sahut Mahani.

Sambil melepaskan dua puntung tangan Mahani dari pegangan dua puntung tangannya, ibuku berkata, “Kakak minta,…Ani dapat jadi adik kakak, kita sama-sama jaga abang Radzi, kita taat kepadanya,…dah jadi wajib bagi kita,”kata ibuku dengan suara yang lembut.

“Ia, kakak, Ani mengaku, kakak, …Ani anggap kakak ni kakak Ani dari dunia hingga ke akhirat, kak,”katanya Mahani dengan hati yang murni lagi tulus.

“Tak apa, insya Allah pada hari Isnin minggu depan, kakak akan pinang Ani,”kata ibuku.


Ibuku senyum. Mahani senyum. Hati ibuku gembira kerana akan dapat menunaikan hajat suaminya. Hati ibuku berbungkus dalam kegembiraan, kerana dia mempunyai suami yang sanggup membela seorang janda yang telah lama kekeringan nikmat kehidupan sebagai seorang isteri. Mahani gembira kerana ibuku sudi menerimanya sebagai madunya. Tuhan dengan kehendak-Nya, Mahani akan dapat menumpang berteduh dan berpayungkan seorang lelaki yang baik budi.

“…ginilah,Ani, bila Ani dah jadi isteri abang Radzi, tunaikan tanggungjawab Ani, …Ani isteri dia. Jangan ingkar, jangan melawan,…kita ni isteri, …milik suami kita dari hujung kaki hingga hujung rambut,” ibuku berkata dengan jujur.


Mahani tunduk. Percakapan ibuku didengar dengan teliti. Akan diturut semua nasihat bakal madunya itu. Pada waktu itu Mahani seperti seorang penganut agama, di hadapan paderi dalam bilik gereja.

“Kalau ikut dalam Quran, ‘isteri-isteri kamu itu ladang kamu,oleh itu usahakanlah ladang kamu sebagaimana kamu suka’. Kakak ni ladang abang Radzi, bila Ani menikah dengan dia,…Ani juga ladang dia,” kata ibuku seperti seorang ustazah layaknya.

“Ia, kak,…kita ladang, kak, …demi Allah, Ani tak akan derhaka kepada abang Radzi, kak,” Mahani berkata dengan wajahnya yang serius. Ada cahaya kejujuran pada wajahnya.

“Eloklah kalau begitu,” sahut ibuku.


Percakapan mereka berdua terhenti. Suara ayahku memberi salam di kaki tangga. Degup jantung Mahani seolah-olah mengopak-ngopak dinding dadanya.

No comments: