[Cerita ini adalah di antara banyak cerita mimpi orang-orang soleh atau sufi yang telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., sesuatu yang berlaku dalam semua mimpi itu adalah benar yang disahkan oleh Junjungan sebagai mimpi yang tidak dipengaruhi oleh syaitan.]
Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah, ada seorang perempuan yang lumpuh sebelah tangannya setelah dia bermimpi melihat ibunya dalam neraka jahanam. Di tangannya ada sesobek kain dan sedikit keju (lemak) yang digunakan untuk mengelakkan dirinya dari api neraka.
Isteri Nabi Muhammad s.a.w., Sayiditina Aisyah binti Abu Bakar As Siddiq telah memberitahu, bahawa pada satu hari seorang perempuan yang lumpuh sebelah tangannya telah berkunjung ke rumahnya dan menemui Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dia telah meminta penjelasan dari Junjungan tentang mimpinya.
Sebaik-baik sahaja perempuan itu duduk di hadapan Nabi Muhammad s.a.w., dia telah berkata, “Ya Rasul Allah, saya mohon Junjungan berdoa kepada Tuhan, doakan supaya Allah sembuhkan tangan saya ini seperti keadaan sebelum kejadian tangan saya lumpuh.”
“Apa yang menyebabkan tangan kamu jadi lumpuh?” Nabi Muhammad s.a.w. bertanya.
“ Pada waktu saya tidur, saya telah bermimpi seakan-akan hari kiamat telah berlaku, neraka jahanam telah menyala marak apinya, syurga telah didatangkan kepada saya,”jawab perempuan itu.
“Masya Allah,” sabda Nabi Muhammad s.a.w. dan mendongakkan wajahnya ke atas.
“Dalam mimpi saya itu, saya telah melihat ibu saya ada dalam satu gaung neraka jahanam itu, tangan kanannya memegang sepotong keju (lemak), tangan kirinya memegang sesobek kain untuk mengadang api neraka itu,” perempuan itu berkata lagi,
“ Saya hairan, mengapa ibu saya ada dalam neraka itu, sedangkan dia seorang perempuan yang taat kepada Allah, bapa saya telah redhakannya,” tambah perempuan itu.
Perempuan itu meneruskan ceritanya, “ Saya telah bertanya kepada ibu saya, buat apa keju (lemak) dan sesobek kain itu, ibu saya menjawab,
Hai anakku, sesungguhnya ibu sangat kikir (bakhil) pada masa hidup di dunia, di neraka inilah tempat orang yang bakhil macam ibu ni.”
“Sebanyak keju (lemak) ni, kain sesobek ini yang pernah ibu sedekahkan sepanjang hidup ibu di dunia ..., inilah yang dapat mengelakkan ibu dari api neraka ..., mengelak dari seksaan atas diri ibu ...,” cerita perempuan itu lagi.
Perempuan itu bercerita itu melanjutkan ceritanya kepada Nabi Muhammad s.a.w., “Saya bertanya kepada ibu, di mana bapa?, ibu telah menjawab, bapa seorang dermawan, dia bersama orang-orang dermawan dalam syurga.”
“Saya telah datang ke syurga, di sana, saya nampak bapa saya berdiri di tepi telaga kamu, ya Nabi Allah, dia sedang memberi minum kepada manusia di situ,” cerita perempuan itu.
“ ...bapa saya telah mengambil gelas itu dari Sayidina Ali, Sayidina Ali mengambil gelas itu dari Sayidina Uthman, Sayidina Uthman mengambilnya dari Sayidina Umar, Sayidina Umar mengambilnya dari Sayidina Abu Bakar ..., Sayidina Abu Bakar mengambil gelas itu dari kamu, hai Junjunganku,” terang perempuan itu.
“Kemudian saya bertanya kepada bapa saya, hai bapa, mengapa ibu yang taat kepada Tuhan dan bapa memberi keredhaan kepadanya, sekarang dia ada dalam gaung neraka, bapa pula dalam syurga? ” terang perempuan itu lagi.
Perempuan itu dengan perasaan sedih menerangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., “Bapa saya menjawab, sesungguhnya ibu kamu berada di tempat orang-orang bakhil dan telah melakukan maksiat, Allah telah mengharamkan air telaga Nabi Muhammad ini kepada orang bakhil dan melakukan maksiat,”.
“Kemudian saya mengambil segelas air dari telaga itu dengan tidak mendapat kebenaran dari bapa saya dan saya beri kepada ibu saya supaya dia minum, pada ketika saya memberi ibu saya minum, saya terdengar suara berkata, semoga Allah menjadikan tangan kamu lumpuh kerana kamu memberi minum kepada orang yang telah melakukan maksiat,” terang perempuan itu lagi.
Dia memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w., bahawa selepas dia mendengar suara itu, dia terjaga dan didapatinya tangannya telah menjadi lumpuh.
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda kepada perempuan itu, “Aku telah memukul kamu sebab ibu kamu bakhil pada masa dia hidup di dunia.”
Syaidatina Aishah memberitahu: “Nabi Muhammad telah meletakkan tongkatnya di atas tangan perempuan yang lumpuh itu, dan Junjungan telah berdoa: Ya Allah, sebab benar mimpi yang diceritakan oleh perempuan ini kepada aku, maka aku pohon Kau sembuhkanlah tangannya.”
Menurut Syaidatina Aishah, seketika kemudian tangan perempuan itu telah sembuh dari lumpuhnya.
No comments:
Post a Comment