Monday, May 30, 2011

MENGENANG MASA SILAM (Ulangan)


MENGENANG GHAZALI SHAFIE

Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan siri pembunuhan terhadap pegawai-pegawai polis Bahagian Cawangan Khas pada awal tahun 1973. Pegawai Cawangan Khas yang pertama, ialah Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon. Dia telah ditembak di Kuala Lumpur. Pada 12 Julai 1973, Ketua Inspektor Chin Chin Kou telah ditembak mati di Serdang, Kedah. Tiga bulan kemudian Sarjan Chong Kek Oh telah ditembak mati di sebuah restoran di Sungai Siput Utara.

Pada 3 Januari 1974, seorang detektif Lee See Kaw telah mati ditembak oleh pengganas komunis, di pekan Malim Nawar, Perak, diikuti pula dengan pembunuhan ke atas sarjan Lee Yoon Chin di Melaka pada 20 April 1974. Pada 24 April 1974, Detektif Ong Soon Chua ditembak mati di Chemor.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Tan Sri Ghazali Shafie (King Gaz, gelarang ini diberi para wartawan dalam dan luar negeri pada masa itu) telah datang ke Malim Nawar pada 3 Julai 1934 dan menziarah keluarga mendiang Detektif Lee See Kaw. King Gaz telah datang ke sana dengan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia. Turut datang ke Malim Nawar, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak, Ishak Tadin dan anggota-anggota jawatankuasa tersebut.

MENGHINA WARTAWAN

Aku bersama beberapa orang wartawan dari Ipoh telah pergi ke sana. Selain daripada bertujuan melihat tempat kejadian dan menemui keluarga detektif itu, kami bercadang hendak melakukan interview dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu.

Sebaik-baik sahaja Ghazali Shafie keluar dari balai polis Malim Nawar, para wartawan telah mengerumuninya.Wartawan RTM, Puan Maizatul Akmam Yahaya telah menyuakan kepala perakam suara kepada King Gaz. Alangkah terkejutnya kami, menteri itu telah menengking kami sekuat-kuat suaranya. Maizatul Akmam terkejut kerana ditengking menteri yang garang itu. Dia telah menangis seperti di hadapan kami.

Ghazali Shafie telah tidak memberi sebarang kenyataan kepada kami. Dia menaiki helikopter dan kembali ke Kuala Lumpur. Telah menjadi kebiasaan pada masa itu, jika menteri, peegawai kerajaan atau sesiapa yang melakukan kekasaran atau menghina wartawan, di negeri Perak, maka akulah orangnya yang ke hadapan untuk menyanggah atau mencari penyelesaian.

PEGAWAI TENTERA

Salah satu dari beberapa kejadian aku telah menyanggah orang yang melakukan kekasaran kepada wartawan, ialah pada satu kejadian keretapi yang membawa sepasukan Askar Malaysia telah tergelincir dekat Padang Rengas, pada tahun 1972. Seorang pegawai askar berpangkat kapten yang menyertai anggota-anggota askar yang tersadai di stesen keretapi Kuala Kangsar, itu telah melakukan kekasaran terhadap seorang pemberita surat khabar Cina yang telah mengambil keretapi yang tergelincir itu.

Pegawai itu telah merampas kamera dari pemberita itu dan telah menarik keluar filem dari kamera tersebut. Dalam keadaan marah, dia telah mencampak kamera pemberita itu ke atas padang rumput dekat stesen itu. Aku telah mengadu pekara itu kepada Sultan Idris Shah, di Idris Kelab, Kuala Kangsar. Sebentar kemudian Baginda telah datang menemui pegawai tentera itu. Baginda telah menampar mukanya dan menitahkan pegawai itu supaya membayar harga filem pemberita tersebut.

”...mike pegawai askar jangan biadap kepada wartawan...,negagha kite ni ada undang-undang,” titah Sultan Idris Shah.

Pegawai itu telah meminta ampun kepada Baginda.

Kali kedua aku telah mengambil langkah membantah orang yang melakukan kekasaran kepada wartawan, iaitu terhadap Ghazali Shafie, di Ipoh, pada 4 Januari 1974, kerana dia berkasar dengan wartawan RTM Maizatul Akmam Yahya di Malim Nawar.

KOLAM LOMBONG

Pada hari Ghazali Shafie melawat mayat konstebel Lee See Kaw di Malim Nawar, iaitu pada 3 Januari 1974, kerana hujan lebat dan kolam lombong roboh, maka telah berlaku banjir mengejut dalam Bandar Ipoh dan telah menenggelamkan kawasan Gunung Rapat, rumah Berhala Sam Foo Thong dan jalan raya Ipoh – Kampar sepanjang setengah kilometer. Kerana banjir itu Ghazali Shafie telah datang sekali lagi ke Ipoh pada keesokkan harinya dengan helikopter Tentera Udara Malaysia juga.

Ketibaan Ghazali Shafie telah disambut oleh Menteri Besar Perak, Haji Kamruddin Haji Mat Isa, Ishak Tadin dan Ketua Pegawai Polis Kontinjen Perak dan anggota-anggota Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak.

Aku bersama lebih dua puluh orang wartawan telah turut menunggu ’menteri garang’ itu. Setibanya Ghazali Shafie di dewan menunggu Lapangan Terbang Ipoh, dia telah memekik dengan kata-kata kesat kepada pegawai-pegawai kerajaan di hadapan kami.

”...awak semua tak guna, tak boleh harap, ...mengapa tak beritahu saya banjir semalam...?” Tanya Ghazali Shafie dengan memekik.

KAWASAN BANJIR

Menteri Besar, Kamaruddin Mat Isa dan semua pegawai-pegawai diam. Mereka dalam keadaan seperti kena pukau. Dalam keadaan marah-marah itu, Ghazali Shaafie telah berangkat ke kawasan banjir dengan diiringi Menteri Besar dan anggota-anggota Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak.

Sebelum mereka bertolak ke kawasan banjir, aku telah memberitahu Ishak Tadin, yang aku akan mengecam Ghazali Shafie, kerana memarahi pegawai-pegawai kerajaan dan tidak menghormati Menteri Besar Perak. Aku telah menjelaskan sikap Ghazali Shafie terhadap para wartawan di Malim Nawar semalam.

Pada waktu Ishak Tadin dalam kereta bersama Ghazali Sahafie, dia telah memaklumkan kepada menteri itu yang aku akan mengecamnya. Ghazali Shafie telah memberitahu Ishak Tadin yang dia akan mengadakan sidang akhbar di Lapangan Terbang sebelum dia terbang ke Johor Bharu. Dia akan meminta maaf kepada semua wartawan.

MINYAK TANAH

Pada dua tiga hari yang lalu hingga pada hari Ghazali Shafie berada di Ipoh, penduduk-penduduk dalam ’kawasan hitam’ iaitu Chemor, Tanah Hitam, Tanjung Rambutan dan beberapa buah kampung lagi-, telah mengalami krisis minyak, kerana mereka tidak mendapat bekalan minyak tanah. Minyak tanah menjadi bahan keperluan bagi mereka, selain untuk digunakan untuk pelita, mereka menggunakan untuk bahan api memasak makanan, ternakan dan sebagainya.

’Kawasan hitam’, ialah kawasan yang masih ada orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjalankan kegiatan menghasut rakyat yang terdiri dari orang-orang China dan India supaya membenci kerajaan.

Dalam sidang akhbar Ghazali Shafie di lapangan terbang itu, beberapa orang wartawan telah bertanya beberapa perkara kepadanya dan dia telah menjawab dengan mesra seperti Menteri Luar yang bijak, di peringkat Antarabangsa.

”Saya nak tanya dua perkara kepada Tan Sri...,”aku berkata sambil mengangkat buku ’press notes book’ di tanganku.

”...ia, you don’t marah me,...tanyalah,”kata Ghazali Shafie.

”Mengapa di Malim Nawar semalam King Gaz marah-marah kepada wartawan-wartawan, pagi tadi marah kepada pegawai- pegawai kerajaan, ...tetapi di Kuala Lipis, kawasan Parlimen King Gaz sendiri, ...orang tua dan anak-anak orang Asli, King Gaz peluk...?” Aku bertanya.

”....saya bukan marahkan wartawan, ...saya sayang wartawan, ...saya marahkan pengganas komunis,” jawabnya.

”Ia, tapi mengapa wartawan King Gaz marah?” Aku bertanya lagi.

“...ooo, saya tak marah wartawan. …saya sayangkan wartawan,”jawabnya sambil ketawa.

Dia telah memeluk aku sejenak.

Kamarudin Haji Mat Isa, Ishak Tadin dan semua yang hadir ikut ketawa.

”...satu lagi pertanyaan, ...mengapa King Gaz biarkan krisis minyak tanah di Tanah Hitam, Chemor..., rakyat di sana jadi susah?”Aku bertanya lagi.

” Ooo, itu bukan tanggungan saya...,”jawabnya.

”Mengapa King Gaz kata bukan tanggung jawab King Gaz, ...bukankah di sana kawasan hitam, masih ada kegiatan pengganas komunis....,itu bukankah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri?” Aku telah mengajukan pertanyaan kepadanya.

Ghazali Shafie bangun. Sambil ketawa, katanya, ”...ia tanggungjawab saya, is my duty...,saya akan arahkan pegawai-pegawai saya supaya selesaikan perkara minyak tanah di sana.”

Semua yang hadir ketawa lagi.

Dalam sidang akhbar di Johor Bharu pada petang itu, Ghazali Shafie telah memberitahu para wartawan, bahawa aku telah mengecamnya di Ipoh.

Ghazali Shafie satu-satunya menteri dari Asia yang bersuara lantang di peringkat antarabangsa. Wajahnya serius dan bila bercakap kelihatan garang. Ramai wartawan-wartawan muda takut kepadanya.

Aku telah bertemu semula dengan Ghazali Shafie setelah dia berhenti dari jawatannya sebagai wakil Malaysia ke Pertubuahan Bangsa Bersatu(PBB). Dia dan aku telah sama-sama hadir dalam majlis Hari Patriotik, di Sekolah Bistari, Kuala Lumpur, pada hujung tahun 1998.

(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh; Mokhtar Petah)

No comments: