Tuesday, May 31, 2011
IKHTISAR POLITIK
PERPADUAN
Ketuanan Melayu tidak penting, kerana ketunanan itu satu warisan dari bangsa Arab kuno sebelum Islam, iaitu 'Syed atau tuan' yang mengusai orang - orang miskin dari bangsa mereka sendiri. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511 dan zaman Sutan Abdullah di Perak sebelum 1874, telah wujud Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu itu telah memberi peluang kepada golongan Istana dan peodal (ketuanan) Melayu memperhambakan orang ramai Melayu yang miskin atau marhein.
Orang Melayu boleh bersatu – padu, jika semua organisasi politik Melayu, UMNO (berpegang kepada kebangsaan Melayu) dan PAS (berpegang kepada Islam sebagai amalan dalam semua bidang kehidupan insan), ketepikan sentimen politik dan mengorbankan pegangan tidak mengikut Islam dan sama – sama berepegang kepada Islam sebagai dasar hukum dan amalan dalam kehidupan negara dan rakyat.
Maka, jika benar orang Melayu mahu bersatu - padu dan mendapat kembali kuasa Melayu (Malay power), maka UMNO dan PAS hendaklah membuangkan yang keruh dan ambil yang jernih; saling bekerjasama dalam semua bidang.
Saya yakin, jika orang Melayu tidak bersatu - padu, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun sahaja lagi, bangsa Melayu akan hilang. Bukan hilang kerana ribut dan banjir seperti maksud Quran di atas ini, tetapi kerana corak politik yang berbeza dengan corak politik UMNO dan PAS, akan melanda dan akan menjadi besi waja kekuatan bangsa lain menguasai negara pusaka bangsa Melayu ini.
Bagaimana nasib UMNO dan PAS di pulau Singapura yang kuat pada masa belum kuasa bangsa lain yang membawa basi waja politik sosio - demokrsi ke pulau pusaka bangsa Melayu itu?
Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Haji Hadi Awang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim bertanggung jawab atas menyatu padukan orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada firman Allah, ' berpegang teguh pada tali Allah (berpadu) dan jangan berpecah belah'.(mp)
MAKSUD AYAT QURAN
ALLAH KURNIAKAN REZEKI
Beberapa orang lelaki yang tidak lalai oleh kerana perniagaan dan jual belia dari mengingati Allah, mengerjakan sembahyang dan menunaikan bayaran zakat. Mereka gentar kepada hari yang pada waktu itu hati dan pengelihatan bergoncang.
Kerana Allah hendak mengurniakan balasan kepada mereka sesuai dengan pekerjaan mereka yang terbaik, dan Allah hendak menambahkan lagi kemurahanNya. Dan Allah mengurniakan rezeki yang tiada batasannya kepada orang yang disukaiNya.
–An Nur: 37,38.
Monday, May 30, 2011
MENGENANG MASA SILAM (Ulangan)
MENGENANG GHAZALI SHAFIE
Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan siri pembunuhan terhadap pegawai-pegawai polis Bahagian Cawangan Khas pada awal tahun 1973. Pegawai Cawangan Khas yang pertama, ialah Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon. Dia telah ditembak di Kuala Lumpur. Pada 12 Julai 1973, Ketua Inspektor Chin Chin Kou telah ditembak mati di Serdang, Kedah. Tiga bulan kemudian Sarjan Chong Kek Oh telah ditembak mati di sebuah restoran di Sungai Siput Utara.
Pada 3 Januari 1974, seorang detektif Lee See Kaw telah mati ditembak oleh pengganas komunis, di pekan Malim Nawar, Perak, diikuti pula dengan pembunuhan ke atas sarjan Lee Yoon Chin di Melaka pada 20 April 1974. Pada 24 April 1974, Detektif Ong Soon Chua ditembak mati di Chemor.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Tan Sri Ghazali Shafie (King Gaz, gelarang ini diberi para wartawan dalam dan luar negeri pada masa itu) telah datang ke Malim Nawar pada 3 Julai 1934 dan menziarah keluarga mendiang Detektif Lee See Kaw. King Gaz telah datang ke sana dengan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia. Turut datang ke Malim Nawar, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak, Ishak Tadin dan anggota-anggota jawatankuasa tersebut.
MENGHINA WARTAWAN
Aku bersama beberapa orang wartawan dari Ipoh telah pergi ke sana. Selain daripada bertujuan melihat tempat kejadian dan menemui keluarga detektif itu, kami bercadang hendak melakukan interview dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu.
Sebaik-baik sahaja Ghazali Shafie keluar dari balai polis Malim Nawar, para wartawan telah mengerumuninya.Wartawan RTM, Puan Maizatul Akmam Yahaya telah menyuakan kepala perakam suara kepada King Gaz. Alangkah terkejutnya kami, menteri itu telah menengking kami sekuat-kuat suaranya. Maizatul Akmam terkejut kerana ditengking menteri yang garang itu. Dia telah menangis seperti di hadapan kami.
Ghazali Shafie telah tidak memberi sebarang kenyataan kepada kami. Dia menaiki helikopter dan kembali ke Kuala Lumpur. Telah menjadi kebiasaan pada masa itu, jika menteri, peegawai kerajaan atau sesiapa yang melakukan kekasaran atau menghina wartawan, di negeri Perak, maka akulah orangnya yang ke hadapan untuk menyanggah atau mencari penyelesaian.
PEGAWAI TENTERA
Salah satu dari beberapa kejadian aku telah menyanggah orang yang melakukan kekasaran kepada wartawan, ialah pada satu kejadian keretapi yang membawa sepasukan Askar Malaysia telah tergelincir dekat Padang Rengas, pada tahun 1972. Seorang pegawai askar berpangkat kapten yang menyertai anggota-anggota askar yang tersadai di stesen keretapi Kuala Kangsar, itu telah melakukan kekasaran terhadap seorang pemberita surat khabar Cina yang telah mengambil keretapi yang tergelincir itu.
Pegawai itu telah merampas kamera dari pemberita itu dan telah menarik keluar filem dari kamera tersebut. Dalam keadaan marah, dia telah mencampak kamera pemberita itu ke atas padang rumput dekat stesen itu. Aku telah mengadu pekara itu kepada Sultan Idris Shah, di Idris Kelab, Kuala Kangsar. Sebentar kemudian Baginda telah datang menemui pegawai tentera itu. Baginda telah menampar mukanya dan menitahkan pegawai itu supaya membayar harga filem pemberita tersebut.
”...mike pegawai askar jangan biadap kepada wartawan...,negagha kite ni ada undang-undang,” titah Sultan Idris Shah.
Pegawai itu telah meminta ampun kepada Baginda.
Kali kedua aku telah mengambil langkah membantah orang yang melakukan kekasaran kepada wartawan, iaitu terhadap Ghazali Shafie, di Ipoh, pada 4 Januari 1974, kerana dia berkasar dengan wartawan RTM Maizatul Akmam Yahya di Malim Nawar.
KOLAM LOMBONG
Pada hari Ghazali Shafie melawat mayat konstebel Lee See Kaw di Malim Nawar, iaitu pada 3 Januari 1974, kerana hujan lebat dan kolam lombong roboh, maka telah berlaku banjir mengejut dalam Bandar Ipoh dan telah menenggelamkan kawasan Gunung Rapat, rumah Berhala Sam Foo Thong dan jalan raya Ipoh – Kampar sepanjang setengah kilometer. Kerana banjir itu Ghazali Shafie telah datang sekali lagi ke Ipoh pada keesokkan harinya dengan helikopter Tentera Udara Malaysia juga.
Ketibaan Ghazali Shafie telah disambut oleh Menteri Besar Perak, Haji Kamruddin Haji Mat Isa, Ishak Tadin dan Ketua Pegawai Polis Kontinjen Perak dan anggota-anggota Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak.
Aku bersama lebih dua puluh orang wartawan telah turut menunggu ’menteri garang’ itu. Setibanya Ghazali Shafie di dewan menunggu Lapangan Terbang Ipoh, dia telah memekik dengan kata-kata kesat kepada pegawai-pegawai kerajaan di hadapan kami.
”...awak semua tak guna, tak boleh harap, ...mengapa tak beritahu saya banjir semalam...?” Tanya Ghazali Shafie dengan memekik.
KAWASAN BANJIR
Menteri Besar, Kamaruddin Mat Isa dan semua pegawai-pegawai diam. Mereka dalam keadaan seperti kena pukau. Dalam keadaan marah-marah itu, Ghazali Shaafie telah berangkat ke kawasan banjir dengan diiringi Menteri Besar dan anggota-anggota Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak.
Sebelum mereka bertolak ke kawasan banjir, aku telah memberitahu Ishak Tadin, yang aku akan mengecam Ghazali Shafie, kerana memarahi pegawai-pegawai kerajaan dan tidak menghormati Menteri Besar Perak. Aku telah menjelaskan sikap Ghazali Shafie terhadap para wartawan di Malim Nawar semalam.
Pada waktu Ishak Tadin dalam kereta bersama Ghazali Sahafie, dia telah memaklumkan kepada menteri itu yang aku akan mengecamnya. Ghazali Shafie telah memberitahu Ishak Tadin yang dia akan mengadakan sidang akhbar di Lapangan Terbang sebelum dia terbang ke Johor Bharu. Dia akan meminta maaf kepada semua wartawan.
MINYAK TANAH
Pada dua tiga hari yang lalu hingga pada hari Ghazali Shafie berada di Ipoh, penduduk-penduduk dalam ’kawasan hitam’ iaitu Chemor, Tanah Hitam, Tanjung Rambutan dan beberapa buah kampung lagi-, telah mengalami krisis minyak, kerana mereka tidak mendapat bekalan minyak tanah. Minyak tanah menjadi bahan keperluan bagi mereka, selain untuk digunakan untuk pelita, mereka menggunakan untuk bahan api memasak makanan, ternakan dan sebagainya.
’Kawasan hitam’, ialah kawasan yang masih ada orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjalankan kegiatan menghasut rakyat yang terdiri dari orang-orang China dan India supaya membenci kerajaan.
Dalam sidang akhbar Ghazali Shafie di lapangan terbang itu, beberapa orang wartawan telah bertanya beberapa perkara kepadanya dan dia telah menjawab dengan mesra seperti Menteri Luar yang bijak, di peringkat Antarabangsa.
”Saya nak tanya dua perkara kepada Tan Sri...,”aku berkata sambil mengangkat buku ’press notes book’ di tanganku.
”...ia, you don’t marah me,...tanyalah,”kata Ghazali Shafie.
”Mengapa di Malim Nawar semalam King Gaz marah-marah kepada wartawan-wartawan, pagi tadi marah kepada pegawai- pegawai kerajaan, ...tetapi di Kuala Lipis, kawasan Parlimen King Gaz sendiri, ...orang tua dan anak-anak orang Asli, King Gaz peluk...?” Aku bertanya.
”....saya bukan marahkan wartawan, ...saya sayang wartawan, ...saya marahkan pengganas komunis,” jawabnya.
”Ia, tapi mengapa wartawan King Gaz marah?” Aku bertanya lagi.
“...ooo, saya tak marah wartawan. …saya sayangkan wartawan,”jawabnya sambil ketawa.
Dia telah memeluk aku sejenak.
Kamarudin Haji Mat Isa, Ishak Tadin dan semua yang hadir ikut ketawa.
”...satu lagi pertanyaan, ...mengapa King Gaz biarkan krisis minyak tanah di Tanah Hitam, Chemor..., rakyat di sana jadi susah?”Aku bertanya lagi.
” Ooo, itu bukan tanggungan saya...,”jawabnya.
”Mengapa King Gaz kata bukan tanggung jawab King Gaz, ...bukankah di sana kawasan hitam, masih ada kegiatan pengganas komunis....,itu bukankah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri?” Aku telah mengajukan pertanyaan kepadanya.
Ghazali Shafie bangun. Sambil ketawa, katanya, ”...ia tanggungjawab saya, is my duty...,saya akan arahkan pegawai-pegawai saya supaya selesaikan perkara minyak tanah di sana.”
Semua yang hadir ketawa lagi.
Dalam sidang akhbar di Johor Bharu pada petang itu, Ghazali Shafie telah memberitahu para wartawan, bahawa aku telah mengecamnya di Ipoh.
Ghazali Shafie satu-satunya menteri dari Asia yang bersuara lantang di peringkat antarabangsa. Wajahnya serius dan bila bercakap kelihatan garang. Ramai wartawan-wartawan muda takut kepadanya.
Aku telah bertemu semula dengan Ghazali Shafie setelah dia berhenti dari jawatannya sebagai wakil Malaysia ke Pertubuahan Bangsa Bersatu(PBB). Dia dan aku telah sama-sama hadir dalam majlis Hari Patriotik, di Sekolah Bistari, Kuala Lumpur, pada hujung tahun 1998.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh; Mokhtar Petah)
MAKSUD AYAT QURAN DAN HADIS
Sunday, May 29, 2011
KISAH DARI NOVEL
KISAH SEORANG JANDA
Sharifah Sakinan tidak seperti pada zaman dia bersuamikan Nawawi dulu. Lelaki penghuni kampung Kelip-Kelip, di Batang Berjuntai. Lelaki buruh lombong pasir. Lapan puluh sembilan peratus peribadinya telah berubah dari peribadi perempuan kampung Kelip-Kelip, Kuala Selangor.
Tubuhnya kelihatan langsing dan lampai. Wajahnya lebih muda dari usianya. Mungkin ada orang yang menyangka usianya baru mencecah dua puluh lima tahun cuma.
Kata seorang cendakiawan Melayu, “Perempuan yang maju, perempuan yang pandai mencari kesempatan dalam kehidupannya.”
Sharifah Sakinah seorang perempuan yang pandai mencari kesempatan dalam kehidupannya.Tahu benar dia; Allah tidak mengubah keadaan satu-satu kaum, melainkan kaum itulah yang mengubah keadaannya.
Akibat kemiskinan yang sering membelit keluarganya. Lara hatinya kerana ditinggalkan suami. Sharifah Sakinah menjadi seorang perempuan yakin diri. Perempuan Melayu yang berdikari.
Sharifah Sakinah telah menjadi pembuat ubat tardisional. Berniaga ubat-ubatan dan kosmetik tradisional. Ubat dan kosmetik yang berupaya mengubah daya tubuh wanita - wanita dewasa. Mengubahkan wajah mereka yang kelihatan tua kembali muda. Kuat tenaga lahir dan tenaga batin.
Kosmetik Syarifah Sakinah menjadikan wajah mereka mencantik Tidak kelihatan tua, conot dan ganyut. Kebanyakan wanita yang menggunakan kosmetik yang dijual oleh Shrifah Sakina, wajah masing - masing telah berubah kepada berkeadaan berseri dan menarik.
Sharifah Sakinah telah tinggal di UK Perdana. Sebuah kawasan perumahan atas bukit yang berkembar dengan Taman Zooview, Kamesah Height dan Bukit Antrarabangsa, di Ulu Klang. Kawasan berbukit bukau itu terletak di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur. Kawasan baru itu telah menjadi tempat kediaman kebanyakan orang dari golongan elita warga Malaysia.
PEMANDU PELANCONG
Kampung Kelip-kelip dan rumah peninggalan suaminya, di Batang Berjuntai ditinggalkan. Hanya menjadi sebuah kenang-kenangan. Adik saudaranya yang bekerja sebagai penjaga kelip-kelip dan pemandu pelancong, tinggal di rumah tersebut sementara menunggu rumahnya siap dibina di Kampung itu juga.
Kehidupan Sharifah Sakinah telah berubah. Tinggal di kampung pendalaman menyukarkannya untuk menjalankan perniagaan. Dia mengambil keputusan tinggal di Bandar. Harapannya; tidak lama lagi, anaknya, Namlatun Sa’adiah yang sedang menuntut di London akan pulang ke pangkuannya. Anak tunggalnya itu akan bekerja di Kuala Lumpur. Akan tinggal bersamanya.
Kira - kira dua tahun sebelum Nawawi meninggal dunia, Sharifah Sakinah telah belajar membuat berbagai jenis ubat tradisional. Ubat-ubatan itu untuk memulih tenaga batin lelaki dan perempuan. Sakit pinggang. Barah dan sebagainya. Ubat-ubatan yang khusus untuk perempuan. seperti untuk berlulut. Berlangir. Bertangas. Berdiang. Datang haid tidak menentu. Keputihan. Faraj berkulat. Busung. Barah payu dara. Barah rahim.
SAKIT KEPUTIHAN
Ubat- ubatan tersebut dibuat dari kayu. Kulit kayu. Akar kayu. Daun, Buah. Bunga tumbuh-tumbuhan. Rumput rumpai. Cendawan rimba.
“…Pah, abang ajar pah buat ubat-ubat ni, bukan apa, mana tahu, kalau abang pendek umur, …abang mati dulu, … boleh juga Pah buat ubat…,” kata-kata suaminya masih subur dalam minda Sharifah Sakinah.
“Ubat-ubat ni laku dijual, …la ni ramai orang jantan, orang perempuan ada penyakit tenaga batin...,” kata suaminya.
“Orang perempuan banyak yang sakit, sakit keputihan, datang bulan tak betul, lemah tenaga…, tak ada nafsu, …laki jadi jemu...,” kata suaminya lagi.
Nawawi telah berkata kepada isterinya, kalau dia pandai membuat ubat dan berniaga ubat, dapatlah dia mencari wang untuk belanjanya dan anak perempuan mereka, Namlatun Sa’adiah.
Nawawi juga telah memberitahu isterinya, dalam rimba di kiri kanan jalan Batang Berjuntai ke Rawang banyak pokok ubat atau herba seperti Kacik Fatimah, janda galak, seruntun, legundi, tepus pelaga, lengkuas ranting, tunjuk langit dan bermacam-macam lagi.
UBAT TRADISIONAL
Suami syarifah Sakinah tidak sahaja mengetahui pokok-pokok ubat atau herba-herba, bahkan dia sendiri telah mengamalkan memakan ubat-ubat tradisional. Tenaga Nawawi sebagai seeorang lelaki sejati memang diakui oleh sharifah Sakinah.
Nawawi juga pandai menjampi ubat-ubat yang dibuat untuk dirinya sendiri. Kadang-kadang ada juga orang lelaki yang datang minta dia mengubati mereka dengan cara berjampi atau bermantera.
Ada pantun-pantun mantera suaminya masih segar dalam ingatan Sharifah Sakinah, iaitu:
“…ya Allah, ya Qahhar,
dengan berkat namaMu,
Kaukuatkan tenaga batinku ini,
seperti besi Kharsani,
tempa di tanah Jawa,
tak cukup bini melarat emak mertua,
tak cukup satu tambah dua, dua,
tak cukup empat,
gundik empat lima,
La haula wala quwwata illa billahil Azim,
Allahumma salli ala Muhammad.”
Mantera untuk mencantikkan wajah:
Hai seri mani wadh dhuha,
kun kata Allah qul kata Muhammad,
cantik aku macam Zaleha,
sekampung, sebenua,
asyikkan aku.
Mentera untuk pengasih:
“Innahu min Sulaiman,
wa innahu bismillahir Rahmanir Rahim,
jadikan... kasihkan aku,
Terentak terenting atas batu,
berak terkencing ingatkan aku.”
Sharifah Sakinah kenal benar akan pokok-pokok atau tumbuh-tubuhan seperti tongkat Ali, ubi jaga, tunjuk langit, lampuyang, pelaga, janda galak, kacip Fatimah, lengundi, temu lawak dan bermacam-macam jenis tumbuhan yang berkhasiat.
MODAL PERNIAGAAN
Beberapa orang lelaki Orang Asli dari Ulu Klang dan Gombak telah diupah oleh Sharifah Sakinah untuk mencari pokok-pokok dan akar-akar kayu dalam rimba sekitar jalan raya Batang Berjuntai – Rawang. Rimba di Bukit Kancing – Templer Park, Ulu Yam. Rimba kiri kanan di sepanjang jalan lama Gombak – Janda Baik dan di kiri kanan jalan dsari Ulu Yam ke Tanah Tinggi Genting.
Mustafa telah menyumbangkan wangnya yang banyak kepada Syarifah Sakinah untuk modal perniagaannya. Selain dari modal untuk berniaga, rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh Sharifah Sakinah di UK Perdanadia telah membeli oleh Mustafa sebagai hadiah kepada bakal ibu mertuanya.
Harapan Mustafa amat murni; dia mahu janda yang gigih itu hidup senang.
Untuk menggalakkan Sharifah Sakinah berniaga dan sentiasa gembira, Mustafa telah menunjukkan kasih sayangnya sebagai bakal menantu kepada bakal ibu mertuanya. Tidak ada niat dalam hatinya untuk mengambil Sharifah Sakinah untuk dijadikan isterinya. Hajat Mustafa muktamad; dia akan berkahwin dengan anak kepada janda itu, Namlatun Sa’adiah.
SANGGUP BERLOMBA
Sharifah Sakinah yang mendapat layanan baik dari Mustafa, telah tumbuh subur sangkaan dalam hatinya; Mustafa mencintainya. Hati Syarifah Sakinah sering meruntunnya supaya mengambil Mustafa menjadi kekasihnya. Menjadi suaminya. Untuk mendapatkan seorang suami, Sharifah Sakinah sanggup berlumba dengan anak perempuannya sendiri.
Setiap ketika Mustafa bertemu dengan Sharifah Sakinah, dia disedarkan oleh hati nuraninya sendiri; perempuan itu bakal ibu mertuanya. Kalau dia terlanjur melanggar batasan dan sempadan, sepanjang hidup, dia tidak akan dapat berkahwin dengan Namlatun Sa’diah. Mungkin dia akan menjadi bapa tiri kepada gadis kekasihnya.
Mustafa orang politik. Orang politik yang bijak selalu berwaspada menghdapi sesuatu keadaan. Menjaga diri dari terseradung kepada kejahatan. Menjaga nama lebih penting dari mengikut runtunan hawa nafsu. Perhubungannya dengan bakal ibu mertuanya dijaga dengan baiK.
Sharifah Sakinah sanggup melakukan apa saja asalkan dia dapat bersuamikian Mustafa. Cintanya kepada lelaki itu sukar dipunggah. Hajatnya, pantang janda gagal dalam memupuk cinta. Kalau gagal bererti dia akan menempah kekecewaan sepanjang hidupnya.
“…Encik Mustafa, kalau Encik kahwin dengan Atun, Encik jadi menantu Inah,…Inah jadi emak mertua Encik, …kalau Encik kahwin dengan Inah, Atun jadi anak tiri Encik, …kan elok, …abang tak ada anak…,” kata Sharifah Sakinah kepada Mustafa.
Kata-kata itu terluah dari mulut Sharifah Sakinah, pada waktu mereka sedang minum petang dalam restoran di Bukit Antarabangsa pada satu petang.
Mustafa diam.
“…aku tak nak kawin dengan janda,… aku nak kahwin dengan anaknya, …anak dara…,” hati Mjustafa bersuara. Tegas.
Sharifah Sakinah merenung wajah Mustafa. Lelaki Bangladesh yang berdiri dekat tempayan besar tempat membakar roti nan mencuri padang pipi kanannya. Pembakar roti itu sedang mencari wanita Melayu untuk menjadi kawannya.
“...cinta tak boleh diubah - ubah, tak boleh dipaksa - paksa, Inah,” kata Mustafa.
Sharifah Sakinah senyum kelat.
Mustafa merenung wajah Sharifah Sakinah. Dari wajah perempuan yang menaguhkan cintanaya itu dua biji mata terpelanting kepada lelaki Bangladesh yang sedang merenung ke arah mereka. Hati Mustafa bersuara, “ Baik janda ni kahwin dengan lelaki tu ...” (Disunting dari manukrip novel, Kelip - Kelip Di Kota Lomdon, oleh: Mokhtar Petah).