DAP Sabah jangan menyibuk - Musa
KOTA KINABALU 6 Jan. - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengingatkan DAP Sabah supaya menjaga 'rumah tangga' sendiri dan tidak menyibuk hal orang lain.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, desakan parti itu supaya Ahli Parlimen Keningau, Datuk Joseph Pairin Kitingan melepaskan jawatan itu tidak berasas sama sekali.
"Apa salahnya menjawat jawatan sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus. Perkara ini bukan asing.
"Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP pun pegang dua jawatan berkenaan sekali gus," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai desakan DAP Sabah supaya Pairin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Keningau bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada tugasnya di peringkat negeri.
Desakan itu disuarakan oleh Naib Pengerusi DAP Sabah, Edward Ewol Mujie dan Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Dr. Edwin Bosi.
Selain Ahli Parlimen Keningau, jawatan lain yang disandang Pairin ialah sebagai ADUN Tambunan, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri.
Musa berkata, Pairin telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
"Setahu saya, dia (Pairin) dapat menjalankan tugas walaupun ada banyak tanggungjawab," katanya.
Menurutnya, DAP tidak sepatutnya mengeluarkan desakan itu kerana soal pelantikan jawatan berkenaan adalah hak parti BN.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 7 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment