Thursday, January 7, 2010

BERITA



Kaji semula sistem harga petrol dua peringkat


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mahu kerajaan mengkaji semula cadangan perlaksanaan sistem harga petrol dua peringkat kerana ianya tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Beliau menyifatkan perlaksanaan sistem yang sepatutnya mampu mengurangkan subsidi dan menambah pendapatan negara akhirnya akan di manipulasi oleh pihak tertentu dan lebih merugikan negara.

Menurutnya, sistem itu juga akan menggalakkan penjualan petrol di pasaran gelap menerusi pembelian petrol subsidi dengan kereta yang berkuasa rendah untuk dijual kepada pemilik kereta mewah dengan harga lebih rendah dari harga pasaran.

”Saya percaya dalam sesetengah hal subsidi perlu dikurangkan namun ia tidak seharusnya melalui proses yang begitu kompleks dan akhirnya menyusahkan rakyat.

”Sistem ini akan menimbulkan pelbagai isu seperti kegagalan membeli petrol akibat kerosakan cip Mykad, perbezaan nama dalam pendaftaran kereta dengan pemandu, sehinggalah kepada percubaan untuk menipu sistem dan sebagainya,” katanya dalam blognya semalam.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar berkata, kerajaan seharusnya menggunakan kaedah yang lebih praktikal seperti mengenakan cukai mengikut jenis kuasa kereta atau mewujudkan sistem levi petrol.

Menurutnya, melalui kaedah cukai kenderaan ini kerajaan boleh menampung subsidi petrol kereta berkuasa besar dalam setahun dan dimasukkan ke dalam cukai jalan.

”Manakala bagi sistem levi petrol, pemilik kereta diwajibkan membayar levi setiap tahun semasa memperbaharui cukai jalan dan pembayaran ini dikenakan ke atas kereta yang mempunyai kuasa 2000 ke atas dan juga bagi kereta negara jiran” katanya.

Menurutnya, di sebalik mewujudkan sistem pam yang berlainan serta peraturan tahap petrol di dalam tangki, kerajaan hanya perlu mengenakan satu levi yang dianggap munasabah bagi menampung kos penggunaan petrol semasa kereta tersebut berada di Malaysia.

Terdahulu, kerajaan dijangka akan melaksanakan sistem harga petrol dua peringkat pada tahun ini untuk mengurangkan subsidi kerajaan berikutan harga petrol di pasaran dunia yang semakin tinggi.

Melalui sistem ini, setiap stesen minyak di negara ini akan mempunyai dua sistem dan dua pam berasingan yang membabitkan kereta biasa dengan harga subsidi dan kereta mewah serta kereta negara jiran dengan harga pasaran.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 7 Januari 2010)

No comments: