Monday, December 7, 2009

BERITA




NYAWA UMNO BERGANTUNG KEPADA WANG


l
Harakahdaily

MARANG, 6 Dis: Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.

“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.

Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.

“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.

Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.

Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat.


---------------------------


DESAKAN NIK AZIZ UNDUR DITOLAK GOLONGAN MUDA

Zainal Abidin Husein





KOTA BHARU, 5 Dis: Penyertaan begitu ramai golongan muda dalam perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam menunjukkan campurtangan Umno dalam kemelut ini hanya akan meningkatkan lagi populariti Mursyidul Am PAS itu.

Dr Rosli Alaani Abdul Kader yang berucap mewakili pemuda PAS dalam perhimpunan itu berkata pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru serta tidak akan berdiam diri sekiranya tokoh ulama itu diganggu gugat.

Menurutnya, tidak ada sebab kenapa Tuan Guru meletakkan jawatannya kerana kepimpinannya masih lagi utuh serta berintegriti.

“Hari ini kita beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kita kepada Tuan Guru dan tidak sekali-kali membiarkan ada pihak yang ingin mengganggu gugat kepimpinannya,”ujarnya lagi.

Lim Guan Seng yang mewakili belia kaum Cina berkata, belia Cina tidak pernah berasa susah apa lagi tertekan di bawah kepimpinan Tuan Guru, sebaliknya berasa aman dan selesa.

“Kedatangan kita hari ini tidak dibayar sesen pun bukan sebagaimana pihak yang mendesak Tuan Guru baru ini yang dibayar oleh pihak tertentu.

“Namun kita hari ini datang dengan ikhlas, dengan pendirian yang jitu demi untuk mempertahankan Tuan Guru, integriti Tuan Guru jangan cuba dipersoalkan,”ujarnya lagi.

Wakil pemuda India, Tharuman yang turut berucap dalam bahasa ibundanya juga turut menyatakan pendirian yang sama.

Sambungnya, masyarakat India di Kelantan telah banyak mengalami perubahan khususnya dalam era 20 tahun kebelakangan ini.

Turut berucap di perhimpunan itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Wan Mohd Khairul Ihsan.

Apa yang menarik golongan belia pelbagai kaum hadir dengan lilitan "We love Tok Guru" di kepala masing-masing.

Sekumpulan belia Cina mempersembahkan tarian singa untuk menarik perhatian hadirin.

Kemelut berkaitan desakan supaya Menteri Besar Kelantan berundur bertukar menjadi panas apabila sekumpulan penyokong UMNO berdemonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 1 Disember lalu.


(Berita2 ini diambil dari Harakah Daily, 7 Disember 2009)


l



No comments: