KUALA LUMPUR, 20 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya tidak ghairah menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun maklumat tersebut difikirkan benar.
Bercakap sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.
"Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat.
"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.
Ada sesetengah blogger katanya syok apabila diberikan sesuatu maklumat lalu menyebarkannya tanpa memikirkan kesan negatif tersebut kepada masyarakat.
Ada dikalangan mereka suka mendapat upah untuk menyebarkan maklumat yang bohong.
Lebih penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana islam mengajar kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.
Beliau turut memberi contoh bagaimana islam mementingkan empat orang saksi sebelum mengabsahkan sesuatu fitnah, manakala jika tiada empat orang saksi, sebarang fitnah itu tidak dikira sah biarpun ianya benar-benar belaku.
Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik katanya akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.
"Jihad paling afdal adalah bercakap benar," katanya lagi.
Beliau turut mengakui bahawa peranan blog cukup penting di kurun ke 21 ini.
Ianya telah dibuktikan dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.
Suhubungan itu, melibatkan diri dalam aktiviti blog sekarang ini adalah satu kemestian yang perlu dipelajari.
"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perli di lakukan dengan akhlak," katanya.
Blogger yang disifatkan beliau sebahagian dari dunia media mampu mempertahan mahupun menjatuhkan kerajaan. (Gambar: ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim lebih dikenali dengan Blogger Cina Islam turut hadir konvensyen blogger hari ini)
"Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna," katanya.
Para penulis blog juga tegasnya perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan agar penyebaran sebarang maklumat memberi manfaat kepada semua.
Manakala penganjuran konvensyen blogger PAS ini juga katanya langkah terbaik untuk memastikan bloger mempunyai matlamat jelas dan tahu untuk berperanan secara strategik.
"Oleh kerana kewajipan ini besar, maka adalah lebih baik ianya ditanzimkan (diorganisasikan)", katanya.
Lebih 300 peserta hadir menyertai konvensyen blogger kali ini.
Mereka terdiri daripada blogger ahli PAS dan bloger menyokong perjuangan PAS.
Turut akan membentangkan kertas kerja hari ini adalah Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga pengasas zentrum studies dengan tajuk 'Menguruskan Potensi Media Baru dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies'.
Manakala Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin akan membentangkan tajuk 'Blog sebagai Arena Dakwah dan Bukan Medan Memfitnah'.
-------------------------
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 20 Dis: Pengaruh blog terhadap masyarakat di dunia ini tidak akan mati namun mungkin mengalami sedikit penurunan pada masa akan datang. Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, penurunan tersebut berlaku kerana masyarakat mula minat terhadap penggunaan video klip secara online yang bakal mendapat tempat sedikit masa lagi.
Namun tegasnya blog tetap menjadi instrumen terpenting bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memelilih kerajaan yang dikehendaki.
Berucap sewaktu membentangkan kertas kerja di Konvensyen Blogger PAS hari ini, Abu Hassan memberitahu antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalau adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.
Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, kajian yang dibuat mendapati blog menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.
Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 itu mendapati blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.
Lebih menarik lagi, diantara kesemua parti politik yang ada ditanah air, PAS adalah antara parti politik yang paling banyak dibicarakan melaui blog.
Malaysia menggunakan kemudahan internet hampir 92 peratus dalam pelbagai aspek kehidupan berbanding United Kingdom 66 peratus dan Amerika Syarikat 60 peratus.
Ketika ditanya kenapa berlaku perbezaan ketara penggunaan internet Malaysia dengan UK dan USA, Abu Hassan memberitahu ianya bergantung kepada amalan demokrasi negara masing-masing.
Jika sesebuah negara itu mendokong kebebasan bersuara, maka penggunaan internet mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara yang mengokong kebebasan bersuara.
Ini kerana, rakyat yang terkongkong akan mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menyalur dan mendapat maklumat khususnya saluran internet.
"Kerana lebuh raya yang ada di Malaysia ini satu arah sahaja, dan banyak tol, maka orang akan mencari jalan yang lain, yang ada ini primitif, konservetif dan kuno," kiasnya ketika menjawab soalan mengapa penggunaan internet di Malaysia tinggi.
Tegasnya lagi, mereka yang pandai memanfaatkan media baru ini akan pasti dapat membina pengaruh besar dan PAS katanya harus bijak memanfaatkan kemudahan ini untuk survival parti itu.
"Di dalam zaman internet ini, krisis adalah perniagaan," katanya. (Gambar: Antara peserta muslimat yang turut meyertai konvensyen blogger) Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk 'Menguruskan Potensi Media Baru dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies'. Lebih 300 peserta menyertai konvensyen blogger anjuran Lajnah Penerangan PAS di dewan Datuk Fadhil Nor, Taman Melewar hari ini. | (Berita ini diambil dari Harakah Daily Online, 20 Disember 2009)
|
No comments:
Post a Comment