Wednesday, December 9, 2009

BERITA



1500 sertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember


Harakahdaily

SHAH ALAM, 9 Dis: Seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat akan menyertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Mereka akan menyaksikan detik penting sejarah besar Pakatan Rakyat dan juga rakyat Malaysia secara amnya, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini.

Konvensyen bertujuan untuk membincangkan 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang telah dimeterai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Konvensyen yang akan dihadiri oleh para perwakilan yang mewakili parti-Parti dalam Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PAS, PKR dan DAP adalah anggota rasmi Pakatan Rakyat. Konvensyen ini dijangka akan merumuskan beberapa perkara penting. Antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' ini akan menjadi dasar yang diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Sekretariat Pakatan Rakyat sebagai penganjur Konvensyen Pakatan Rakyat kali yang pertama ini memaklumkan, tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Konvensyen ini akan berlangsung mulai jam 8.00 pagi hingga 6 petang akan terbuka kepada media di samping para pemerhati.

"Konvensyen Pakatan Rakyat ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa," kata kenyataan itu.

"Diharap pihak tuan/puan dapat hadir atau menghantar wakil untuk hadir meliputi acara yang bersejarah ini. Pendaftaran bagi wakil media boleh dibuat mulai hari ini di www.tinyurl.com/daftarmedia," kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Pakatan Rakyat diumumkan pimpinan pakatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang 21 Oktober lalu.

Semalam Setiausaha Agung Keadilan, Dato Sallehuddin Hashim dilaporkan memberitahu persiapan rapi sedang giat dijalankan menjelang konvensyen tersebut.

Persiapan dibuat dengan kejasama ketiga-tiga parti yang mahu melihat program tersebut berjalan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik.

"Persiapan rapi sedang diatur dan semua pihak, ketiga-tiga parti gabungan, sedang bekerja keras bagi menjayakan konvensyen ini,"katanya.

"Lebih 500 perwakilan dijangka hadir dan kita tidak boleh memandang mudah terhadap persiapan yang perlu kita lakukan."

Lagu tema untuk konvensyen tersebut bertajuk "Angin Pendamai" dicipta oleh Ito dari Kumpulan Blues Gang sudah pun siap dalam masa seminggu.

Manakala logonya pula menggunakan asas warna oren dan putih, menggabungkan ikatan kukuh tiga parti, mengelilingi lima kelopak bunga raya yang melambangkan lima kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusun.





-------------------------


Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah - Nazri Aziz

l
Dzulfikar Mashoor & Shukri Mohamad

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Perdebatan kontroversi berhubung modul Biro Tata Negara menyaksikan Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr. Mahathir saling bertikam lidah.

Nazri menuduh Mahathir sebagai rasis Melayu kerana tidak menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merombak modul BTN agar selari dengan konsep 1Malaysia.

Sebagai maklum balas, Mahathir pula meminta Nazri meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana didakwa tidak petriotik Melayu.

Nazri pagi tadi menyifatkan kritikan Mahathir belakangan ini seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri semula, menggantikan Najib.

"Waktu Tun Abdullah (Ahmad Badawi) jadi Perdana Menteri dulu, semuanya (polisi kerajaan) tak betul. Seolah-olah dia (Mahathir) saja yang betul. Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah," soalnya.

Beliau turut mengkritik tindakan Mahathir mempertikai kepemimpinan Perdana Menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dulu masa kita (Umno) kata jangan berhenti (dari jadi Perdana Menteri), dia juga yang nak berhenti. Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia mula suruh orang lain (Abdullah) pula berhenti."

Beliau juga menasihatkan Mahathir supaya menyokong kepemimpinan Najib.

"Dulu, masa orang sokong kita (Mahathir), sekarang masa kita (Mahathir) sokong orang (Najib) pula," soalnya.

Beliau juga menganggap kritikan Mahathir belakangan ini banyak menguntung pembangkang.

"Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia serang kita (Umno) pula, lebih teruk daripada pembangkang," sindirnya lagi.

"Hari ini, pembangkang tidak perlu buat kerja, cukup dengan Dr. Mahathir saja, semuanya (polisi kerajaan) tidak betul."

Pun begitu, Nazri mengakui sumbangan Mahathir dalam Umno dan kerajaan sebelum ini.

Terdahulu, Mahathir menyifatkan kepemimpinan Umno sekarang seperti usus yang sudah busuk.

Kenyataan Mahathir itu dipercayai umum ditujukan kepada Najib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin dilihat lebih menyokong Mahathir berbanding berbanding Najib-Nazri.

Pertikaman lidah antara dalam kalangan beberapa pemimpin terbabit tersebut sekaligus menyaksikan bahawa Umno sedang mengalami dilema sama ada untuk kekal memperjuangkan rasis-Melayu atau mengubah ideologinya pada pluralisasi kaum melalui konsep 1Malaysia.


---------------


Tanah masjid digadai, MAIWP diminta jawab!
Zulkifli Noordin

Semalam Isnin 19 Zulhijjah 1430/ 07 Disember 2009 saya telah membangkitakan beberapa isu berkaitan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan diperingkat jawatankuasa. Alhamdulillah YB Menteri sendiri hadir untuk membahas. Dan saya ucapkan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan iaitu YB Senator Dato' Raja Nong Chik kerana baru balik mengerjakan haji dan moga di anugerah haji mabrur.

Antara isu yang saya kemukakan adalah bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh meluluskan pembangunan berbentuk komersial dan kompleks belibelah di tapak yang digazet sebagai "tanah simpanan masjid". Mengikut Kuala Lumpur Structure Plan 2020, tapak di kawasan yang hari ini dikenali sebagai kawasan Sri Hartamas bersebelahan dengan jalan besar telah digazetkan sebagai "tanah simpanan untuk pembinaan Masjid Desa Sri Hartamas".
Tau-tau kawasan itu sekarang sedang dibangunkan pusat komersial oleh syarikat Glomacs.

Saya terkejut apabila YB Menteri memberi jawapan bahawa memang benar kawasan itu dikenalpasti sebagai "Tanah Simpanan pembinaan Masjid Desa Sri Hartamas" didalam KL Structure Plan 2020. Namun setelah penyerahan oleh pemaju kepada kerajaan, tanah tersebut telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Oleh itu boleh dirumuskan daripada jawapan itu bahawa MAIWP telah menjual tanah tersebut kepada syarikat Glomac untuk dibuat pembangunan komersial.

Saya berasa sangat kesal dengan berlakunya perkara ini. Pada saya ini adalah pengkhianatan kepada umat Islam dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara menghendaki bahawa apa-apa projek pembangunan mesti ada kawasan yang diperuntukkan untuk pembinaan Masjid atau surau. Ini bersesuaian dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin hak dan keistimewaan Islam sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Adalah amat malang bagi umat Islam apabila tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid dijual. Walaupun ada alasan menyatakan sudah ada masjid yang berdekatan iaitu Masjid Wilayah Persekutuan, namun itu tidak menghalalkan tindakan menjual tanah simpanan masjid untuk tujuan komersial. Apa salahnya dibina sekolah atau hospital atau apa-apa pembangunan yang boleh membantu syiar dan da'wah Islam. Apatah lagi lokasi-lokasi strategik saperti di Sri Hartamas.

Saya percaya kalau penganut agama lain mereka tidak akan melepaskan peluang untuk membina rumah 'ibadah masing-masing walaupun berdekatan antara satu sama lain, apatah lagi dikawasan dan lokasi yang strategik. Ini adalah soal syi'ar agama!

Saya khuatir apabila saya mendapat satu lagi maklumat tentang penjualan tanah simpanan masjid di persimpangan Jalan Danau Kota/ Genting Kelang berhadapan dengan JPJ Wilayah Persekutuan berdekatan dengan kem Wardieburn. Maklumat yang saya terima tanah simpanan masjid ini telah dijual kepada sebuah syarikat bernama Mah Sing Bhd. Malahan saya telah menerima beberapa maklumat lain tentang penjualan beberapa tanah simpanan masjid, termasuk ada penjualan tanah waqaf kepada syarikat asing yang bukan tujuan syarie'.

Cuba bayangkan kawasan-kawasan yang dibuat simpanan tanah masjid ini adalah dikawasan bandar, lokasi yang strategik dan tumpuan ramai. Cuab bayangkan contohnya dikawasan Sri Hartamas itu dibina masjid untuk kaum tionghua contohnya, dengan imam cina, program dalam bahasa cina. Apatah lagi kalau khutbah dalam bahasa mandarin. Cuba bayangkan kesannya kepada masyarakat sekeliling Hartamas. Bukankah ini akan meningkatkan syi'ar dan dakwah Islam. Sudah berapa lama persatuan Muslim Cina saperti MACMA (Malaysian Chinese Muslim Association) meminta tanah untuk dibangunkan Masjid Tionghua. Apa salahnya tanah simpanan masjid saperti di Sri Hartamas itu diserahkan kepada persatuan saperti MACMA untuk dibangunkan Masjid Tionghua?!

Cuba bayangkan sahabat dan saudara kita di Filistin yang terpaksa menggadai nyawa dan membayar dengan darah mereka untuk mempertahankan masjid mereka iaitu Masjid Al Aqsa (gambar diatas). Lihat apa jadi dengan masjid-masjid di Switzerland yang akan menerima nasib malang apabila pungutan suara dibuat meluluskan usul untuk merobohkan minaret-minaret di masjid-masjid di Switzerland. Dan kita bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia dah diberi tanah yang mahal dan strategik, percuma pulak tu..dan kita senang-senang menjual dan menggadai tanah-tanah masjid ini!! Kalau kita tidak malu dengan ALLAH pun, malulah dengan saudara-saudara kita di Filistin, Bosnia, Switzerland, India dan banyak lagi tempat yang telah berkorban dengan begitu hebat untuk mempertahankan masjid-masjid mereka!

Oleh itu, saya mendesak supaya MAIWP segera memberi penjelasan iaitu:

1. berapa banyak tanah simpanan Masjid atau tanah waqaf yang telah dijual, digadai atau diserahkan bukan untuk tujuan pembinaan masjid atau yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam;
2. apa rasional penjualan atau penggadaian tersebut dibuat;
3. mengapakah tidak dibina masjid atau sekolah agama atau pusat perubatan Islam atau lain-lain kemudahan atau infrastruktur yang bersesuaian dengan syariah dan syiar Islam;
4. mendedahkan berapakan hasil yang telah diperolehi daripada penjualan atau penggadaian tanah-tanah simpanan masjid atau tanah waqaf ini;
5. kemanakah hasil-hasil jualan ini dipergunakan;

Saya juga mendesak dikaji semula kuasa MAIWP untuk menjual atau melelong tanah-tanah ini. Sebaliknya hendaklah diadakan sekatan kepada geran tanah yang dikeluarkan bahawa "tanah ini tidak boleh dipindahmilik, dijual, digadai atau dilelong melainkan untuk tujuan pembinaan masjid dan yang berkaitan dengannya".

Saya juga mendesak bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah menjadikan sebagai suatu dasar bahawa apa-apa tanah yang telah dijadikan reserve masjid tidak boleh dikeluarkan apa-apa perintah pembangunan (development order) untuk membangunkannya kecuali untuk pembinaan masjid dan yang berkaitan dengannya.

Saya juga mendesak supaya semua tanah simpanan masjid atau waqaf yang telah dijual, dilelong dan digadai oleh MAIWP dikaji dan disemak semula untuk tujuan pembatalan dan semua perintah pembangunan yang telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk pembangunan selain daripada pembinaan masjid hendaklah dibatalkan dan projek yang sedang berjalan hendaklah dibekukan serta-merta.

(Berita ini diambil dari Harakah, 9 Disember 2009)









No comments: