SHAH ALAM, 25 Dis: Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.
Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.
“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.
“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi.
Sebelum itu, Dr Anwar mengucapkan terima kasih atas kesudian Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor menganjurkan majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10, semalam.
Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Raja Lumu, di Muzium Selangor dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A Samad Said yang turut menyampaikan ucapan, Bendahari Gapena, Haji Hamzah Hamdani yang yang menyampaikan ucaptama dipengerusikan oleh Dr Ibrahim Ghafar.
Turut menyerikan lagi majlis berkenaan adalah Penggiat sastera dan budaya Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Abdul Ghafar Ibrahim, Dr Ami Masra, Ahmad Sarju dan ramai lagi termasuk penuntut-penuntut Universiti seperti MSU.
“Saya sebagai anak Selangor merasa bangga dan terharu kerana setelah nama-nama besar sastera dari lain menerima anugerah ini, saya memang tertunggu-tunggu, bilakah agaknya penulis dari Negeri Selangor akan menerima anugerah Sasterawan Negara ini.
“Syukur dengan keizinan Allah SWT saya telah terpilih untuk menjadi Sasterawan Negara pertama yang datang dari Selangor,” jelas Dr Anwar dengan perasaan terharu.
Majlis Bicara Tokoh Sasterawan Negara dan di sebelah petang diadakan Seminar Penulisan Kreatif dan Variasinya ini dirasmikan oleh Exco Selangor, Puan Rodziah Ismail dan penutup oleh Datuk Dr Hassan Mohd Ali.
Kedua acara ini adalah program pertama anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di bawah naungan Sultan Selangor yang perasmian kewujudannya akan dilakukan pada Mac 2010 nanti.
Dalam pada itu, seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pula mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor dapat menghadiahkan sebuah rumah sebagai ganjaran kepada Datuk Dr Anwar sebagai sasterawan pertama dari negeri ini.
Untuk rekod, Datuk Dr. Anuar Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera pada 1973 dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya.
Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. Kini sebagai Dekan di Aswara, Kuala Lumpur.
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.
Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001.
Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia). Antara pencapaian beliau di bidang sastera adalah Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Perjalanan Terakhir (1971), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran.
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983), Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus dan Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 oleh Tengku Mizan. ---------------------
Ali Hashim | PULAU PINANG, 25 Dis: Perebutan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang antara Gerakan dan Umno hanyalah bertujuan untuk meraih semula simpati daripada masyarakat Melayu yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka. Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, apa yang dilakukan oleh Umno pada tahun ini adalah episod drama ulangan sepertimana yang telah mereka lakukan pada tahun 1986 yang lalu.
"Pada pilihan raya umum tersebut Umno telah berjanji untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.Tetapi mereka tidak juga berjaya menjadikannya sebagai satu kenyataan.
"Kini propaganda yang mereka lakukan pada tahun-tahun terdahulu dilakukan sekali lagi semata-mata untuk meraih sokongan yang sudah pudar dikalangan masyarakat Melayu khususnya.
"Namun begitu apa yang berlaku dalam BN Pulau Pinang tidak akan membawa apa-apa perubahan senario politik di negeri ini.Rakyat sebenarnya sudah faham dan menyedari taktik yang digunakan oleh Umno dan Gerakan dalam meraih sokongan setelah kepercayaan rakyat kepada mereka semakin terhakis," katanya.
Menurut Mohd Salleh lagi tindakan Umno menggesa Gerakan supaya memberikan kerusi Pengerusi BN kepada mereka sudah tidak relevan lagi kerana rakyat tidak mudah untuk menerima mereka lagi setelah melihat kepada bentuk kepimpinan yang lemah dan tidak telus oleh kepimpinan BN sebelum ini. | (Berit aini diambil dari Harakah Daily Online, 25 Disember 2009).
|
No comments:
Post a Comment