Thursday, December 10, 2009

BERITA



Ketagih dengan Petronas, Ekonomi negara makin teruk

l
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 10 Dis: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi melahirkan rasa bimbang dengan suasana ekonomi negara semasa, disebabkan rekod terbaru menunjukkan pendapatan Petronas berkurangan.

“Pendapatan Petronas berdasarkan laporan yang dikeluarkan, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 bilion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Negara berkurangan sekitar 57%,” jelasnya dalam suatu kenyataan media di Parlimen.

Beliau berpendapat angka kejatuhan tersebut turut memberi impak berantai pada ekonomi negara kerana 48.6 peratus diperoleh dari keuntungan Petronas.

Jelasnya lagi, Petronas turut menyumbang sebanyak 44.9 peratus pada pendapatan negara tahun lepas.

Beliau turut mengkritik sikap kerajaan yang terlalu bergantung kepada hasil minyak sebagai sumber pendapatan utama negara, demi mengaburi sokongan rakyat.

“Kebergantungan terhadap PETRONAS ini mengaburi kita dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka untuk memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998.”

Beliau yang juga ketagihan wang Petronas menjadikan perbelanjaan sumber asli negara tersebut kian membengkak saban tahun.

“Penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS oleh kerajaan telah membengkak sekitar 21% setiap tahun, ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber PETRONAS oleh kerajaan bertambah sebanyak 21% dari apa yang digunakan pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

“Misalnya pada tahun 2005, petronas menyumbang sebanyak RM31.2 billion dari jumlah keseluruhan belanjawan Negara. Namun pada tahun 2008, jumlah wang PETRONAS yang membentuk belanjawan Negara adalah sebanyak RM 74 billion-peningkatan sebanyak 130% sepanjang 5 tahun ini.”

Dakwanya lagi, ketagihan tersebut disebabkan amalan boros, ketirisan dan rasuah dalam sektor pembinaan dan pengurusan kerajaan sendiri.

“Kalau projek pembinaan yang asalnya RM4 bilion boleh jadi RM4.5 bilion kerana boros, ketirisan dan rasuah, kerajaan tiada jalan lain kecuali menggunakan dana Petronas melebihi kadar yang sepatutnya.”

“Memburukkan apabila kerajaan pusat membentangkan belanjawan yang berjumlah RM 208billion untuk tahun 2009 dan kemudiannya (membentangkan) pakej ransangan berjumlah RM 60 billion, ketika unjuran pendapatan tahun 2009 berasaskan harga minyak mentah bulan September 2008.”

Beliau turut meminta Petronas bersikap lebih telus dan tidak melayan ketagihan beberapa pemimpin Umno BN yang dianggap boros, mengamalkan rasuah dan ketirisan dalam menguruskan perbendaharaan negara.


---------------------



Kelantan sokong PM bantu selesai konflik di selatan Thailand

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 10 Dis: Kelantan menyokong langkah kerajaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik yang melanda di selatan Thailand sekarang sehingga telah mengorbankan ribuan nyawa khususnya umat Islam sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penduduk di selatan Thailand sama ada beragama Islam atau sebaliknya perlu dibantu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Saya melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kesediaan pemimpin mahu menyelesaikan konflik itu.

“Saya setuju Malaysia ingin membantu Thailand menyelesaikan konflik negara itu yang nampaknya tidak selesai. Tak selesai sekiranya masalah bom diselesaikan dengan bom.

“Seperti apa yang berlaku di Israel sejak dahulu hingga sekarang juga tidak pernah selesai,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulama di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Seminar separuh hari itu dianjurkan Pejabat Menteri Besar dan diurusetia Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Lebih 1,000 hadir pada program tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Dewan Rakyat, ketua-ketua jabatan negeri, pegawai agensi di bawah kerajaan negeri dan pegawai lantikan politik.

Tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut termasuk oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Empat pensyarah kanan dari institusi pengajian tinggi tempatan juga dijemput mengulas kertas kerja terbabit.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Narathiwat bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan mereka berjumpa dengan masyarakat Islam di tiga wilayah bergolak tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sebelum ini beliau sering menerima jemputan umat Islam dari wilayah berkenaan bagi menyampaikan ceramah agama, namun sekarang tidak dapat lagi ke sana kerana pergolakan yang berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya, golongan ulama mampu memberi tanggapan positif terhadap amalan poligami kerana mereka mempunyai pengetahuan bagi melaksanakan amalan sunah tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini amalan poligami sering diberi tanggapan negetif kerana pengamalnya tidak melakukan perkara sebagaimana dikehendaki syariat.

“Akibat tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang berpoligami menyebabkan masyarakat memandang serong kepada amalan berkenaan walaupun ia diharuskan oleh Islam.

“Kebanyakan mereka yang berkahwin lebih daripada satu hanya mengikut nafsu semata-mata,” katanya.

Menteri Besar berkata, lelaki yang berpoligami tanpa mengamalkan mengikut ditetapkan syarak sanggup meninggalkan isteri apabila mempunyai anak ramai.

“Untuk memberi imej baru terhadap poligami seharusnya golongan ulama boleh melakukan supaya ia menjadi contoh kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga imej ulama hendaklah menjadi amalan kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga, nelayan, petani, pegawai dan pemimpin.

Beliau juga melahirkan rasa tidak senang melihat mereka yang bergelar ulama mengenakan pakaian barat ketika berkuliah kerana ia tidak sesuai dengan budaya tempatan.



---------------------



PAC digesa siasat RM10 bilion Khazanah
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 10 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar petang tadi memohon Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menyiasat peruntukan dana RM10 bilion dalam pakej ransangan ekonomi yang diberikan pada Khazanah Nasional Berhad tahun lepas.

Permintaan Mahfuz itu ekoran Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar sebelum ini yang berjanji menyediakan lebih 70 ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, projek 'pasang siap' serta pelaburan khusus di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) melalui pakej tersebut.

"Saya mahu suatu siasatan dibuat ke atas Khazanah Nasional, saya nak tahu projek apa (yang dibuat), di mana (impak pembangunan) dan sejauh mana projek tersebut sedang dilaksanakan," gesa Mahfuz.

Beliau turut mempersoal tentang penyusutan 1.2 peratus ekonomi negara.

"Mengapa boleh ada penyusutan ekonomi negara sebanyak 1.2 peratus untuk suku tahun ketiga tahun ini, sedangkan Khazanah menjanjikan pelbagai projek pasang siap dengan ransanga ekonomi ini, sepatutnya penyusutan ini tidak berlaku."

"Apakah langkah pemantauan yang diambil oleh Khazanah untuk pantau RM10 bilion ini? Ada ketelusankah di dalamnya (pengurusan dana) dan bagaimana ia menguntungkan rakyat," soal Mahfuz lagi.

Beliau yang juga Naip Presiden PAS berkata, ada pihak berpendapat peruntukan dana tersebut untuk meransang saham beberapa anak syarikat Khazanah sendiri di dalam Bursa Saham Malaysia.

Beliau turut memberikan contoh, sejumlah wang tertentu dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk menyelamatkan ValueCap Sendirian Berhad.

Tambahnya lagi, kerajaan juga memperuntukan banyak dana untuk meransang ekonomi nasional sebelum ini, namun rakyat tidak merasai impak ekonomi dan pembangunan dari pakej ransangan tersebut.

Dana-dana yang dimaksudkan termasuk pemberian RM2 bilion kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk membina terminal pengangkutan tambang murah di KLIA.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukan dana RM250 juta untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

Telekom Malaysia Berhad turut mendapat RM2 bilion untuk penyediaan sistem jalur lebar berkelajuan tinggi dan RM480 juta kepada PLUS Berhad kerana tidak menaikan tol.

Selepas membuat kenyataan tersebut, Mahfuz menyampaikan suatu memorandum kepada Azmi.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 10Disember 2009)


















No comments: