Wednesday, December 30, 2009

BERITA


Azam 2010: Najib mahu laksana program rakyat

Oleh Veena Rusli, Misiah Taib, Hassan Omar dan M Hifzuddin Ikhsan
bhnews@bharian.com.my


NAJIB menunjukkan cenderahati berupa perisai yang diterimanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ke-14 di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak semalam melahirkan azam dan harapannya untuk menjadikan 2010 sebagai tahun melaksanakan pelbagai program dan projek yang dijanjikan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah akujanji ketelusan kerajaan kepada rakyat yang perlu dipenuhi jika mahu golongan sasar kekal menyokong kerajaan.

"Rakyat akan meneliti sejauh mana keberkesanan tindakan kita. Itulah sebabnya mengapa seluruh jentera kerajaan perlu menjuruskan usaha ke arah pelaksanaan agenda pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ke-14 di sini.


Najib bagaimanapun enggan mendedahkan azam tahun baru peribadinya dan secara berseloroh berkata: "Mana boleh beritahu."

Dalam ucapannya, Najib juga berjanji akan meninjau perkembangan pelaksanaan projek yang dirancang kerajaan di luar bandar.

"Insya-Allah, saya akan ke luar bandar bagi melihat keadaan. Saya akan berbincang dengan menteri berkaitan dan minta laporan jawatankuasa pemandu untuk menilai sendiri kemajuan yang sudah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) mesti sentiasa dilihat sebagai parti progresif, tidak berbalah dan komited untuk memajukan rakyat.

"Menteri mesti buat kerja, manakala ahli parti pastikan mendengar setiap masalah rakyat supaya penyelesaian dapat diambil, barulah BN benar-benar akan menjadi parti 'simpanan tetap'," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat tidak terkeliru dengan Pakatan Pembangkang yang hanya mempunyai persamaan objektif mahu menjatuhkan BN, tetapi berbeza ideologi dan idea.

Beliau menegaskan hakikat itu amat berbeza dengan 13 parti komponen BN yang memiliki kesepakatan dalam segala aspek demi memenuhi agenda pembangunan, sekali gus meletakkan BN sebagai juara rakyat sebenar.

"BN perlu menjadi parti dinamik dan progresif yang adil kepada semua supaya dilihat sebagai parti yang menarik, ada 'oomph' dan mampu menangani cabaran kerana kita ada kuasa untuk melakukan perubahan yang diperlukan negara.

"BN bekerja siang malam untuk mencapai harapan rakyat, terutama memenuhi kehendak mereka di luar bandar yang rata-ratanya penyokong kuat BN selama ini," katanya.

Ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan pula, Najib meminta rakyat mengambil nilai positif daripada setiap perayaan utama masyarakat pelbagai agama dan etnik untuk dikongsi demi perpaduan yang berfungsi sebagai kunci utama pembangunan negara.

Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat pelbagai agama dan bangsa supaya menjadikan nilai berkenaan sebagai landasan memperkukuh kerjasama berasaskan toleransi dan saling menghormati.

Dengan mengambil contoh nilai positif keamanan dan muhibah yang terkandung dalam sambutan Krismas, beliau berkata, tiada salahnya masyarakat bukan Kristian merayakannya kerana ia adalah nilai yang harus dikongsi bersama.

"Kita ambil nilai positif daripada satu-satu agama untuk dikongsi penganut agama lain. Presiden Persatuan Kristian Malaysia, Reverend Dr Philip Thomas memberitahu saya, nilai utama sambutan Krismas ialah keamanan dan muhibah untuk semua manusia," katanya.

Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib turut melancarkan pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri untuk pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai kepentingan mengekalkan perpaduan sebagai tonggak keharmonian masyarakat berasaskan konsep 1Malaysia.

Sementara itu, ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ketujuh (Pemilihan) 2009 Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Kuching, Najib meminta semua pemimpin dan wakil rakyat BN berpegang kepada dua prinsip, iaitu sentiasa melihat ke hadapan dan penuhi hasrat rakyat dengan kesedaran bahawa persekitaran politik boleh berubah.

(Berita ini diambi dari Berita Harian Online, 30 Disember 2009)

No comments: