Saturday, December 19, 2009

BERITA



Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat hari ini

Harakahdaily

SHAH ALAM, 18 Dis: Hari ini, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga.


-----------------------


Hayati pengajaran hijrah – MB Selangor



Ismail Hashim

SHAH ALAM, 18 Dis: Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata peristiwa hijrah mengajar umat tentang langkah untuk melonjak pencapaian setiap peribadi rakyat khususnya dan kejayaan negeri ini amnya.

Menurutnya, meskipun hijrah mengikut kefahaman umum adalah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah namun di sana terdapat banyak pengajaran penting untuk umat Islam khususnya.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Maal Hijrah dan Minggu Dhuat 2009 Selangor di Masjid Negeri, dekat sini malam tadi yang turut disertai Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali, Haji Dr Yaakob Sapari dan Mufti, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

“Kedudukan umat Islam meningkat sebaik berhijrah ke Madinah serta bebas dari hinaan dan halangan untuk menunaikan amalan agama selain mencapai tahap ekonomi lebih baik selepas meninggalkan Makkah.

“Negara Islam yang baru muncul dan berkembang kuat sehingga mampu mengatasi negara lain; dengan daya kepimpinan Rasulullah SAW kemudian diteruskan oleh sahabat baginda yang jujur dan ikhlas,” tegasnya lagi.

(Gambar: Menteri Besar, Datuk Seri Khalid Ibrahim disambut oleh Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Syeikh Mustafa Al-Muqry (kanan), Exco dan orang kenamaan lain.)

Baginda juga, jelas Khalid, sanggup berundur setapak untuk mencari jalan lebih baik dalam usaha menguatkankan diri dan pasukan sebelum berhadapan dengan cabaran lebih besar.

Tambahnya, dengan bersikap bertahan bukan bererti umat Islam tidak berbuat apa-apa dan mengaku kalah tetapi itu merupakan percaturan strategi untuk melangkah dengan lebih gagah lagi ke hadapan.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yaasin sebelum masuknya waktu Maghrib dan doa akhir tahun 1430H yang diketuai oleh Imam Besar masjid ini, Syeikh Ahmad Mustafa Al-Muqry yang turut disertai sama Tan Sri Khalid.

Setelah menunaikan solat Insyak berjemaah, menteri besar telah diiringi melawat sebahagian besar kaunter pameran di luar bangunan masjid yang diadakan sempena karnival melibatkan sekitar 38 NGO di negeri ini.

Antaranya Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Persatuan India Muslim Malaysia, Gabungan Pendakwah Islam Selangor (Gapis), Muslim Care, Jam’iyah, Shura dan Pemadam.

Setelah itu, satu forum perdana ehwal Islam turut diadakan dengan panelis Prof Hashim Yahya dan Dr Muhammad Nor Manuthy yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan dengan hadirin memenuhi dewan.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily Online, 19 Disember 2009)




No comments: