Monday, December 28, 2009

BERITA



Sekatan bantuan: Pemuda PAS akan adakan demo bantah Mesir

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengadakan demonstrasi bagi menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Kedutaan Mesir pada Jumaat, 8 Januari, 2010 selepas solat jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan berkata, demonstrasi berkenaan sebagai menunjukkan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan Mesir yang tidak memberi kebenaran dan laluan kepada Viva Palestina Convoy 3 untuk meneruskan perjalanan bantuan ke Gaza.

Konvoi yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign tersebut kini tersekat di Aqaba, Jordan setelah disekat masuk oleh kerajaan Mesir.

Kerajaan Mesir telah menyekat deligasi sukarelawan tersebut yang diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway yang telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan ke Gaza.

Rombongan ini telah bertolak dari London pada 05 Disember 2009 dan merentasi jalan darat melalui benua Eropah dan sepatutnya dijadualkan sampai ke Gaza semalam sempena ulang tahun serangan biadap dan pembunuhan zalim rakyat Gaza oleh regim zionis, kerajaan haram Isreal.

Sehubungan itu, Pemuda PAS berharap agar seluruh rakyat Malaysia terdiri dari muslim dan non-muslim serta seluruh badan bukan kerajaan (NGO) yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Kerajaan Mesir menghalang Viva Palestina Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign agar dapat meneruskan perjalanan memasuki Gaza.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali kesal dengan sikap berdiam diri Kementerian Luar Negeri berhubung sekatan Kerajaan Mesir itu.

Beliau dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily berkata, PAS mesti membuat bantahan rasmi terhadap kementerian berkenaan berhubung isu ini kerana ianya melibatkan nyawa umat Islam di Palestin.

------------------

Desakan keluar Pakatan seperti usaha kudeta di Perak – PJ Perak
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan demontrasi 21 pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.
“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily tengahari tadi.
“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demonstrasi, modul ini yang kita lihat di Perak sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi,” katanya.
Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan demonstrasi mengarak kepala lembu September lalu, beliau mengganggap demonstrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demonstrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat) baru-baru ini,” tambahnya.

Semalam, lebih 21 pemuda melancarkan demonstrasi kerana mengganggap PKR dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diketuai Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.






No comments: