Friday, December 25, 2009

BERITA

28,188 semua A

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.

Prestasi calon luar bandar makin baik

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.


Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

------------------------

Rakyat diminta bermurah hati

PM galak masyarakat berlainan agama bantu golongan memerlukan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap semua rakyat Malaysia, tidak kira apa juga kepercayaan agama, mempamerkan kemurahan hati dan perasaan belas kasihan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukannya.

Sempena sambutan Krismas hari ini, Perdana Menteri dalam blognya www.1malaysia.com.my semalam berkata golongan yang paling memerlukan bantuan itu, termasuk daripada mereka yang tidak berdaya kepada yang susah sehinggalah kepada perkhidmatan kecemasan yang sentiasa sedia berkhidmat.


"Dengan semangat kemurahan hati ini, kita harus juga menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar. Satu perayaan Krismas yang lebih hijau boleh diadakan.

"Misalnya, dengan mendermakan hadiah-hadiah yang tidak diperlukan, menggunakan kertas kitaran semula sebagai pembalut hadiah dan berjimat cermat dengan penggunaan lampu Krismas," katanya.

Najib berkata dalam keseronokan meraikan Krismas kali ini boleh membuatkan rakyat berbelanja lebih walaupun dalam waktu-waktu mereka kurang bebas berbelanja kini.

Katanya musim perayaan ini adalah waktu untuk menyemarakkan perasaan muhibah dan keriangan terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri juga berkata perayaan seperti ini memberikan satu peluang kepada orang ramai untuk berehat dan bermesra bersama keluarga, sahabat handai dan juga jiran tetangga.

"Seperti hari raya sebelum ini, kenapa tidak gunakan perayaan ini untuk merapatkan hubungan tetamu daripada latar belakang yang berbeza di bawah satu bum-bung?

"Dengan ingatan ini, saya mengucapkan kepada semua yang merayakan hari yang paling istimewa ini satu Krismas yang sangat menggembirakan, aman dan damai serta harmoni," katanya. � Bernama

(Berita2 ini diambil dari Berita Harian Online, 25 Disember 2009)




No comments: