Mokhtar Petah
Semenjak bumi Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan hingga sampai kepada zaman pembangunan pesat di seluruh negara – dalam wawasan 2020-, aku melihat, terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Kumpur dan Negeri Selangor, Perak, Pulau Pnang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang seluruh muka bumi semua negeri itu seperti dihanyutkan oleh banjir besar dan mengalir ke tangan golongan kapitalis.
Di mana-mana muka bumi dua buah negeri itu, banyak benar tanah bernilai milik kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat-, telah berpindah kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh orang-orang asing dan bukan mereka yang bergelar peribumi.
Banyak tanah milik kerajaan dijual atau disewa dengan jangka masa yang panjang(lease) kepada syarikat-syarikat yang tersebut di atas untuk membina gedung-gedung komersial, perumahan dan sebagainya.
Sebaailangan banyak bukit dan gunung, termasuk yang disebut tadahan air telah diteroka, diruntuh dan di ratakan. Bangunan-bangunan milik kerajaan, termasuk sekolah, dirobohkan untuk tujuan mempertingkatan ekonomi dalam masa golongban peribumi belum bersedia.
KEPENTINGAN DIRI
Hasil dari kajian dan penelitianku, terdapat di kalangan sebilangan mereka yang berkuasa dan memikul tanggung jawab atas kerajaan dan rakyat, telah memgambil peluang dari tanggungjawab mereka itu untuk kepentingan diri mereka sendiri.Mereka telah melakukan apa sahaja dengan tidak mengambil kira akan akibat yang akan menimpa anak cucu dan keturunan bangsa Melayu.
Terdapat banyak program dan amalan yang mereka telah lakukan, mengakibatkan ’berputih mata’ kepada umat Melayu.Orang lain mengaut keuntungan, tetapi orang Melayu – peribumi-, tinggal dalam keadaan seperti empat kerat peribahasa peribahasa Melayu, ’salah datuk nenek anak cucu berdagang di bumi sendiri’, ’sepuluh jong masuk anjing bercawat ekor juga’ ’ dagang lalu ditanakkan anak mati kelaparan dalam buaian’ dan ’ macam pak pandir menang sorak kampung tergadai”.
Langkah mengakibatkan umat Melayu ’berputih mata’, termasuk pembahagian kawasan hutan rimba – untuk mengeluarkan kayu balak -, oleh Jabatan Perhutan dan Jawatankuasa Perhutan negeri yang memiliki kawasan rimba kayu balak.
Negeri-negeri yang memiliki rimba kayu balak yang luas, ialah Pahang, Perak, Kelantan, Terangganu, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.Walaup pengeluaran kawasan-kawasan kayu balak di negeri-negeri itu menurut peraturan dan tidak bercanggah dengan peraturan, tetapi terdapat beberapa kelemahan.
KAWASAN HUTAN
Aku telah menyertai mereka yang menjaklankan perusahaan mengeluarkan kayu-kayu balak dalam rimba raya di tujuh buah negeri, iaitu, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.Pengusaha-pengusaha kayu balak di semua negeri itu terdiri dari pengusaha-pengusaha China dan pengusaha Melayu sekadar 10% sahaja.
Kebanyakan pengusaha kayu balak yang terdiri dari orang Melayu, setelah mereka diluluskan kawasan kayu balak oleh kerajaan, mereka terus menjual kawasan itu kepada pengusaha-pengusaha China. Mereka tidak menjalankan usaha menebang dan mengeluarkan kayu-kayu balak itu sendiri.
Pengusaha-pengusaha kayu balak itu mengutamakan keuntungan dengn tidak menghiraukan masalah alam sekitar, kerosakan kawasan hutan, sungai dan sebgainya.
Sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an, aku mendapati masalah pengeluarn kayu balak yang tidak terkawal dan kerosakan kawasan hutan rimba dan alam sekitar, adalah disebabkan di bawah ini:
1 - Ada unsur rasuah di kalangan politikus yang berkuasa
di sesebuah negeri.
2 - Ada unsur rasuah di kalangan pegawai Jabatan
Perhutanan.
3 - Sikap tidak bertangungjawab kepada kepentingan negeri
di kalangan pegawai-pegawai pejabat perhutanan.
4- Sikap mengutamakan keuntungan dan tidak menghiraukan kepentingan negeri dan negara oleh sebahagian dari pengusaha-pengusaha kayu balak.
Apabila aku merenung masalah-masalah pembahagian tanah dan kayu balak serta cara-cara mengusahakan dan sebagainya, aku dilanda oleh perasaan khuatir dan kecewa dengan sikap segelintir dari para politikus yang berkuasa dan pagawai kerajaan, sehingga bumi pusaka datuk nenek kita ini dan kekayaannya telah runtuh ke tangan orang lain.Kita memiliki tanahair sendiri, tetapi dimana bumi kita dan tanah kita.Yang nyata seperti dua rangkap pantun di bawah ini:
Masa berperang Negeri Kelang,
Tengku Kudin menjadi raja;
Bunga sekuntum di sambar helang,
Jatuh ke laut disambar naga.[1]
Orang berhuma di Bukit Gantang,
Jika bercakap ada tanyanya;
Saya melukut di tepi gantang,
Ada tak ada tiada bedanya.[2]
‘Terhalang dari mendapat kebajikan, terkecuali dengan kehinaan, jauh sekali daripada mendapat tercapai dengan tujuan dan tidak dapat kemenangan ke atas seteru. Hatim Al Ism rahmnatullah telah berkata: Orang yang menyimpan dendam itu ketidakan sempurna pegangan agamanya, orang yang suka menimbulkan ‘aib orang menampakkan ketiadaan ikhlas hatinya, orang yang tukang acum (batu api) itu kehidupan tidak dipercayai orang begitu juga orang yang terelalu kedengkian hidupnya tanpa dapat pertolonhgan.
PERBUATAN MAKSIAT
Adapun terburu-buru (gopoh gapah) dan tergesa-gesa membuat kebajikan adalah perkara ini menyebabkan terluput segala tujuan baik dan boleh menjerumuskan ke dalam perbuatan maksiat, kerana daripdanya itu menelurkan empat keburukan.[3]
…apabila adalah seseorang itu terburu-buru pada perkara yang pada perkara yang dilakukan tanpa hati-hati tidak bercermatr hemat mengambil penjelasan sesuatu, ketika itu tidaklah didapati daripada keadaannya (terburu-buru) itu berfikir sejenak dan tilik perhati pada sebarang apa jua pekerjaan sebagaimana yang semestinya.[4]
Keadaan terburu-buru atau gopoh memang ada pada Anwar Ibrahim semenjak dia masih menunut di Malay College lagi. Ghazali Shafiee (King Gaz) telah mengaku kegopohan Anwar. Kegopohan itulah yang telah membawa Anwar berasa jemu menunggu terlalu lama di kerusi Timbalan Perdana Menteri. Biasanya orang –orang yang gopoh mudah di puji dan di lonjak-lonjakkan oleh rakan-rakan.
Aku telah didatangi oleh beberapa orang yang menyokong Anwar Ibrahim dan mereka mengajak aku bekerjsama untuk membantunya, supaya dia lekas naik ke atas untuk menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia.Aku telah katakan kepada mereka yang aku tidak berminat melibatkan diri dalam arena politik. Dan aku yakin Anwar Ibrahim tidak akan berjaya mendaki ke puncak seperti yang mreka hajatkan itu.
Beberapa seri pertemuan orang-orang yang menyokong Anwar telah diadakan di beberapa tempat.Rancangan mereka supaya lebih 2/3 para jawatankuasa UMNO negeri, bahagian dan cawangan di luruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menganut fahaman Anwar atau anwarisme.Jika kehendak mereka itu telah berjaya, maka mudahlah Dr Mahathir Mohamd diturunkan secara maruah demokrasi.
MEMINJAM WANG
Aku telah meneliti suasana politik di Malaysia dan meramalkan; kalau Anwar Ibrahim naik ke atas, orang yang aku harap-harapkan naik ke puncak, Abdullah Badawi akan tersingkir lagi, tetapi kalau Dr Mahthir Mohamad kekal di kerusi Perdana Menteri, Abdullah Badawi akan berhadapan dengan masa depan yang cerah.
Sejak lama Anwar Ibrahim dengan Abdullah Badawi seperti erti peribahasa Cina, ‘ dua ekor harimau jantan tidak boleh hidup atas sebuah bukit’. Salah seekor dari duanya mesti mengalah. Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi sama-sama anak Pulau Pinang. Aku tidak menyokong Anwar Ibrahim kerana keyakinanku kepada Abdullah Badawi berlainan dari keyakinanku kepada Anwar Ibrahim.
Aku memegang pesanan almarhum Soekarno, iaitu siapa jua pemimpin kelau menyokong atau mendapat sokongan Amerika syarikat dan sekutu-sekutunya, pasti negaranya menuju kepada kemusnahan. Negara-negara itu boleh dijadikan sahabat, tetapi mestilah besikap ’harap-harap percaya tidak’.
Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin negara ini yang secara terang-terangan menyokong dan mendapat sokongan yang kuat dari beberapa orang pemimpin Amerika Syarikat.Pada masa itu aku amat khuatir kalau-kalau beliau termakan pujuk ampai kepada tahap negara ini meminjam wang daripada International Monetary Faud (IMF). Kalau berlaku pinjaman itu bererti negara kita sedang menuju kepada kemuflisan.
GERAKAN SULIT
Beberapa orang Menteri Melayu yang aku telah temui dalam tempat rehat ahli-ahli Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen, telah memberitahu kepada aku yang Dr. Mahathir Mohamad telah mengetahui gerakan sulit Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya untuk menjatuhkannya. Mereka telah menyebut beberapa orang menteri kabinet, menteri besar, seorang Timbalan Ketua Menteri sebilangan kecil ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO telah terlibat dalam gerakan itu.
Pada satu hari aku telah menyaksikan Anwar Ibrahim telah naik berang tangga Parlimen. Dia telah memarahi penulis kontrovesial, Mohd. Sayuti Omar yang telah menulis dan menerbitkan sebuah buku mengenai dirinya.Pada waktu itu Sayuti sedang berdiri di kepala tanggan bangunan Parlimen.
Sebagai orang yang telah menyaksikan banyak peristewa menteri bertekak dengan penulis pada masa lalu, aku telah dilanda perasaan khuatir; ada kemungkinan Anwar Ibrahim akan jatuh akibat bersengketaannya dengan penulis kontroversi itu.
Memang telah menjadi kebiasaan dalam dunia politik, apabila seseorang menteri bertekak dengan wartawan atau penulis, maka umur menteri itu dalam kedudukannya dan kuasanya tidak lama. Menteri itu akan jatuh atau terpaksa berundur dari kerusi keramatnya.
MEMPERTAHANKAN MARUAH
Orang-orang bijaksana telah berkata, sesorang yang berkuasa sanggup melakukan apa sahaja terhadap sesiapa, termasuk anak dan sahabatnya sendiri yang cuba menjatuhkannya. Mempertahankan kedudukan bagi seorang samalah dengan mempertahan maruah dirinya sendiri.
Rakyat Malaysia telah diuji oleh Allah; dua sahabat baik, Dr Mahthir dan Anwar Ibrahim yang seperti ‘isi dengan kuku’, dalan arena politik tanahair telah bercakaran dan berputus tali bersahabatan, laksana bekerat rotan dan berpatah arang. Kejadian sedih itu telah tercatat dalam sejarah Malaysia dan Alam Melayu.
Atas nama Perdana Menteri Yang berkuasa, maka Dr Mahathir Mohamad telah mengambil tindakan memecat Anwar Ibrahim. Tindakan yang penuh emosi itu disokong oleh perasaan hilang yakin, prasangka dan penuh tuduhan kepada rakan sejawatnya.
Kenyataan Akhbar Jabatan Perdana Menteri Malayasia, pada 2 September 1998 telah menjelaskan:
‘Adalah dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta juga juawatan-jawatan lain yang dipegang oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar berkaitran dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Perlucutan jawatan-jawatan ini berkuat kuas pada hari ini, 2 September 1998 mulai jam 5.00.
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah pun dimaklumkan mengenai perlucutan jawatan berkenaan.’
Ramai orang bijak pandai berkata, bahawa pemimpin-pemimpin yang berkuasa selalunya menjadi orang yang hilang arah atau hilang keintelektualan mereka, apabila mereka terduga atau menghadapi sesuatu masalah yang sulit atau sukar.Seperti dalan cerita reka sejarah, kerana tidak ada keintetektualan pada Hang Tuah maka dia sanggup membunuh rakan karibnya, Hang Jebat
HARAKAH ISLAMIAH
Sebaik-baik sahaja Anwar Ibrahim ditangkap dan dituduh dengan berbagai-bagai keburukan ke atasnya, aku telah bercakap dengan beberapa orang ulama (tak baik aku dedahkan nama mereka) dan dari percakapan itu aku telah dapat menggariskan seperti berikut:
a - Ada sedikit (kalau boleh dikatakan begitu) Anwar Ibrahim telah sependapat dengan Dr Mahathir Mohamat telah menyingkirkan Abdullah Badawi.
b – Pada zaman Anwar Ibrahim berkuasa telah berlaku tindakan melumpuhkan al Arqam - harakah Islamiyah yang herpegang kepada mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, sehingga pemimpinnya, Ustaz Ashaari Muhammad Ditahan dan meringkuk dalam tahanan dan selama dalam tahannya dia telah mengalami rosak tulang halkumnya dan tidak dapat bersuara. Kemudian dia telah dibuang daerah ke Pulau Labuan. Pada masa itu Anwar Ibrahim sangat rapat dengan pihak Kerajaan Diraja Arab Saudi yang berpegang pada mazhab Wahabi.Pada masa itu rancangan dan projek Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIA) sedang dilaksana, di bawah giat kerja Anwar Ibrahim.berada dalam tangan Anwar Ibrahim. Selaras dengan minat mengalih mazhab, maka ramai ulama-ulama muda di negara ini telah dihantar ke Arab Saudi untuk mengikuti kurus-kursus pembaharuan di bawah pengaruh mazhab Wahabi. Beberapa buah buku (kitab) mazhab Wahabi telah menjadi bahan rujukkan para ulama muda dalam kerajaan Malaysia dan negeri-negeri.[5]
c - Pada masa Anwar Ibrahim di puncak kegemilangan, telah berlaku tindakan UMNO dan Kerajaan Malaysia terhadap Sultan Selangor, Sultan Kelantan dan Sultan Johor, pada sekitar tahun 1991 dan tahun-tahun berikutnya.[6]
d - Pada masa Anwar Ibrahim berkuasa dan menuding jari kepda PAS dengan berbagai-bagai tuduhan, di kalangan politikus Islam dalam PAS mengungkit tentang ‘bai’ah’ Anwar Ibrahim dengan pihak PAS termasuk rakannya, Ustad Fadzil Moh.Noor, iatu sebelum dia melompat ke dalam gelanggang politik Dr Mahathir Mohamad. Allah Maha Kuasa; pada masa Ustaz Ashaari Muhammad sedang dalam tahanan, Anwar Ibrahim sedang meringkuk dalam tahanan juga. Dia telah menderita kerana dibelasah oleh rakannya sendiri, Ketua Pegawai Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor.
*** ***
Walaupun pada masa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan aku seorang ahli UMNO dan bergiat dalam parti nitu, tetapi setelah aku menceburkan diriku dalam bidang kewartawanan, aku tidak menyertia mana-mana parti politik. Aku berminat kepada politik dan mengikuti perkembangan berbagai aliran politi tetapi aku tidak berminat mengamalkan politik.
MENGGUNAKAN PENA
Sebagai seorang penulis yang telah mengikuti perjalanan sejarah bangsa dan tanahair semenjak masih dijajah oleh penjajah Inggeris lagi, maka aku bertanggungjawab untuk mengikuti perkembangan negara dan mereka yang menjadi pengendali hal ehwal negara. Aku telah menjadi bertanggungjawab menggunakan pena atau banyak tulisanku untuk menegur dan mengkritik mereka.
Aku mengakui, bahawa mereka yang mengendalikan hal ehwal negara terdiri daripada orang-orang yang berilmu dan bijak, tetapi manusia tetap manusia, ada kelemahan dan ada salah dan silap di mana-mana.Maka aku sekadar dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman, rasa bertanggungjawab untuk merenung dan mengemudikan mereka supaya mereka tidak terbabas dari jalan yang lurus.
Teguranku kepada mereka, jika mereka tidan kengendahkannya; sekurang-kurangnya telah menjadi sekadar bunyi ’kukuk ayam’ dan ’mengigal kuang’ di rimba menandakan hari akan siang. Mereka terjaga jua!
Apabila Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia, Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pada 2 September 1998, aku rasa penuh bertanggungjawab untuk melonjakkan individu yang aku yakin paling layak untuk mendaki ke puncak bagi menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri yang telah kosong itu.
COFFEE HOUSE
Aku meneliti semula kandungan dua buah buku karanganku, iaitu ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’ dan buku ringkasan biografi datuk dan bapanya, ’Sheik Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’57’.Pada waktu itu juga fikiranku terhimbau kepada sekitar tahun 1954 – 1955, yang aku telah mengatakan kepada seorang sekolah menengah, di Bukit Mertajam, Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang dia ada kemungkinan akan menjadi pemimpin orang Melayu seperti Tunku Abdul Rahman.
Aku telah menulis sepucuk surat kepada Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan pandanganku, bahawa orang yang paling layak menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Anwar Ibrahim, ialah Abdullah Badawi.
Suratku kepada Dr Mahathir Mohamad itu, aku telah menyertakan dengan sebuah buku ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’. Kemudian aku telah menghantarnya ke Kediaman Perdana Menteri, Sri Perdana, Kuala Lumpur. Tujuan aku melakukan demikian kerana aku kira suratku dan buku itu lebih selamat dan segera diterima oleh beliau.
Besoknya sebelum aku pergi mengikuti sidang Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen, aku telah singgah ke coffee house di sebuah hotel, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kebetulan pula pada hari itu Allahyrham Azman Atar ada dalam coffee house itu. Sebaik-baik sahaja aku duduk atas kerusi de sberang merjanya, dia telah bertanya kepadaku, ”...I nak tanya you, siapa yang you fikir layak jadi Timbalan Perdana Menteri...?”
”...Datuk dah baca buku ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusian Sejagat’ yang saya tulis tu, kan?”Aku bertanya kepadanya.
”Ia, ia..., I dah baca, ...banyak kali pun...,”jawab Azman Atar.
“Itulah orangnya yang layak..., jika Allah menghendaki dia, ....dialah akan jadi Timbalan Perdana Menteri...,”kataku.
”....sungguh, dalam buku tu, you dah bayang...,”kata Azman Atar.
Aku telah merenung wajah bekas senator itu.Dia senyum dan dalam telaga matanya membayangkan harapannya yang besar.
”Insya Allah..., kita sama-sama berdoa, mudah-mudahan Dr Mahathir pilih dia...,”kata Azman Atar.
Kemudian kami telah pergi ke Bangunan Parlimen. Dalam bilik rehat wakil-wakil rakyat, aku duduk atas sofa dan bercakap dengan seorang menteri kabinet dan seorang ahli Dewan Rakyat. Azman Atar duduk atas sofa mengadap Menteri Kabinet, Dato’ Mohd.Nazri Aziz di meja yang dekat dengan meja kami.Tiba-tiba suara Mohd.Nazri Aziz terluah keluar dan mengejutkan kami, ”...bukan dia..., saya nak ...., orang lain ,... Datuk, don’t talk...”.
Aku melihat Azman Atar tercengang. Dia tidak menyangka menteri dari Tasik Chenderoh itu boleh bersuara begitu kepadanya.
Sama ada Dr Mahathir Mohamad menerima pandanganku dalam suratku itu atau tidak, aku tidak mengetahuinya, tetapi orang yang aku harapkan akan dilantik untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri telah di umumkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia mulai 8 Januari 1999.
Beberapa minggu kemudian, iaitu setelah Abdullah Badawi menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri, aku telah menemui Dato’ Mohd. Nazri di pejabat kementeriannya, di Bangunan MARA, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Dalam percakapannya dengan aku, dia telah menegaskan, bahawa beliau tidak mahu bergiat dalam parti politik dan tidak mahu menjadi menteri lagi[7].
Kerana peristiwa yang telah aku alami telah menjadi catatan dalam sejarah negara, walaupun pahit rasanya, aku rakamkan juga di sini, iaitu pada sepanjang masa Abdullah Badawi tersisih dan di sisih oleh rakan-rakan seperjuangannya, ramai penulis dan wartawan kanan dalam beberapa organisasi media seperti memandang sebelah mata kepada beliau.
Salah seorang dari penulis-penulis itu, setelah telah membaca buku ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’, dia telah berkata kepdaku, ” ...you ni silaplah, ....dia tak akan ke mana, ...riwayat politiknya dah berakhir.”
Aku telah berkata kepadanya, ”...jika Allah hendakkan dia..., kita tak boleh buat apa-apa..., ”.
”...you cakap macam lebai, tak logik, ...Allah tak akan izin orang macam dia...,”katanya.
”...pendapat kita berbeda, you dah lebih tahu dari Allah...,kita tunggu...,” kataku.
”...o.k.,”katanya.
Setelah lama Abdul Badawi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, aku terjuak dengan sang penulis itu, di sebuah coffee house, dalam Bandaraya Kuala Lumpur. Dia telah tidak bercakap mengenai Timbalan Perdana Menteri itu lagi.
[1] Pantun Bunga Rampai,hlm.7
[2] Pantun Mak Inang Istana Perak.
[3] Abdul Kadir Kamaluddin, 1997,Cermin Budiman Bagi Mukmin (terjemah dari kitab Minhajul
Abidin, Imam Ghazali), Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hl.177, 178.
[4] Ibid 180.
[5] Pada satu hari aku telah bertanya kepada orang kuat Anwar Ibrahim, Dato’ Mohd. Nor Manuthi
tentang Anwar Ibrahim sering menggunakan ungkapan dan pandangan ulama Ibnu Taimiyah
Ahmad Taqiyuddin Abu Abbas bin Syihabuddin Abdul Mahasin Abdul Halim bin Syeikh
Majduddin Abil Barakah Adusalam bin Abi Muhammad Abdillah bin Abi Qassim al Khadar bin
Muhammad al Khadar bin Ali Abdillah (lahir di Desa Heran, Palestin pada 10 Rabiul Awal
tahun 661), sedangkan dia tidak bermazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, tetapi bermazhab
kaum Musyabbihah yang bertentangan dengan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah.
[6] Mokhtar Petah, 1993, Kerajaan Mansukh Kekebalan Raja Melayu, Kuala Lumpur, Art Media.
[7] Pada masa itu, Dato’ Mohd. Nazri (keturunan orang Pattani). Dia sering pergi ke Selatan Thailand
untuk membantu institusi pengajian pondok di sana.Di sana dia berpakain seperti seorang
pendakwah atau ulama.
(Suntingan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid).
No comments:
Post a Comment