Friday, December 18, 2009

MENGENANG MASA SILAM (Ulangan)

Mokhtar Petah

Sesungguhnya, hidup yang bererti kepada manusia, ialah hidup yang sentiasa dalam keadaan dihempas, dihempap dan pulas oleh derita. Penderitaan itu pula mengajar manusia menjadi manusia sejati. Walau bagaimana pun penderitaan tidak akan sebarang makna, jika individu yang menderita itu tidak mengenali Allah, tidak bersyukur dan tidak tawakal kepada-Nya.

Aku telah ditakdirkan oleh Allah dilahirkan dalam keadaan merdeka dari sebuah kekluarga yang telah berkayuh di permukaan laut kehidupan laksana ‘berselimutkan kain panjang lima, tutup kepala kaki terbuka, dedah kaki kepala terbuka’. Meredah rimba kehidupan dalam keadaan sentiasa ‘makan sambal terlunjuk berdiri’.

Aku akui, kerana Allah telah menganugerahkan keluarga bapaku hidup dalam rahang derita, maka aku telah menjadi sebagai benih yang cambah dan tumbuh pada tanah gersang yang ada kalanya dititis air hujan. Pada tanah tempat lahirku itulah aku dianugerah oleh Allah menjadi manusia yang melihat alam dengan dua biji mata dan seketul hatiku. Sepasang mata dan seketul hati itulah menganjurkan aku banyak belajar dari alam milik Allah dan menggunakan daya fikirku dan mengkreatifkannya untuk melahirkan sesuatu yang berfaedah kepada umat manusia.

Aku tidak pandai berteknologi dan sains atau menggunakan alat-alat yang bersifat kebendaan, tetapi aku memiliki sesuatu yang ada pada orang lain jua, iaitu untuk menyabarkan manusia pada ketika dia duka, menyedar dan menginsafkan manusia pada ketika dia lupa diri, dan pendeknya aku sentiasa bercakap dengan manusia dalam keadaan bisu adanya.

PRESIDEN NEGARA

Pada usia remajaku; aku memiliki angan-angan (cita-cita) untuk berdampingan dengan orang-orang alim yang masyhur, para bijak pandai atau ahlul bab – cendekiawan - yang terbilang, pemimpin – Presiden Negara, Perdana Menteri dan Sultan Negeri. Apabila aku telah meningkat remaja dan dewasa, apa yang aku angan-angankan itu menjadi kenyataan. Aku telah berdampingan dengan beberapa orang ulama tersuhur, pemimpin – pemimpin rakyat dan sultan atau raja yang merintah negeri.

Apabila aku telah mendampingi mereka, maka sedikit sebanyak pendapat dan ideaku, sama ada dalam percakapan dengan mereka mahupun dalam tulisanku – berita, rencana, cerpen, sajak, buku politik, buku agama, prasejarah, biografi dan novel telah menarik perhaitan mereka. Mungkin mereka terasa suka dan marah. Mungkin juga mereka menerimanya sebagai ‘sementara mendapat rotan akar berguna’. Pada hakikatnya aku telah meluahkan ideaku kepada mereka.

Sebagai contoh, pada tahun 1966, sebuah buku karanganku, ‘Bangsa Melayu Menggugat Dunia– tulisan Jawi, telah menarik perhatian seorang mahasiswa Universiti Malaysia dari Negeri Sembilan (di bawah bimbingan Profesor Dato’ Khoo Kai Kim) untuk dijadikan bahan tesisnya bagi melayakknnya mendapatkan ijazah B.A (sastera).

Manakala beberapa orang pegawai tinggi kerajaan dan pensyarah Universiti telah memberitahu kepada aku; mereka telah menggunakan buku tersebut sebagai bahan tambahan dalam bidang sejarah untuk melengkapkan ilmu pengetahuan mereka sebagai mahasiwa di institusi pengajian tinggi atau menara gading.

MENARIK MINAT

Buku ‘Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ juga telah menarik perhatian seorang pensyarah Hawaii University, iaitu Puan Barbra Andaya. Dia telah datang menemuiku dan tinggal bersama kelurgaku selama seminggu untuk menjalankan kajian sejarah orang Melayu dan Malaysia dengan berdasarkan buku tersebut.

Pada Ogos 2005, dalam satu jamuan sempena dengan seminar mengenai penulis-penulis Malaysia, di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, seorang profesor telah memberitahu aku yang dia telah membaca dan menghayati buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ itu pada masa dia menuntut di univesiti dulu.

Sebuah novel karyaku, ‘Nekad Anak Watan’ telah menarik minat beberapa orang mahasiswa Melayu di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Novel itu satu imbasan perjuangan bekas anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Encik Rashid Mydin dan rakan-rakannya yang lari dari diburu oleh pihak penjajah Inggeris dan terpaksa berjuang bersama Parti Komunis Malaya.

Manakala tiga Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn secara ikhlasa telah mengaku kepadaku yang mereka telah banyak membaca tulisan-tulisanku dalam akhbar, majalah dan buku-buku. Tunku Abdul Rahman menerima pandanganku, supaya meneruskan bantuan kewangan Kerajaan Pusat kepada sekolah-sekolah agama (rakyat) di seluruh tanah air.

WARTAWAN LIPAS

Tun Abdul Razak telah menggunakan sedikit fikiranku pada masa beliau melaksanakan projek besar, iaitu menempatkan keluaga-keluarga miskin di seluruh tanah air ke dalam Rancangan Tanah Persekutuan – Federal Land Authority (FELDA) pada akhir tahun 1960-an. Manakala Tun Hussein Onn telah menyifatkan aku sebagai ‘wartawan lipas’ dan telah mengambil tindakan tangkas melucutkan seorang tokoh politik dari jawatan Menteri Besar sebuah negeri.

Aku menyanjungi Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang peneroka zaman, berani dan tegas, berani membuat keputusan untuk kepentingan negara, tetapi dia, seperti dalam sebuah bukuku, ’Terima Kasih Dr. Mahathir Mohamad’, seorang penceramah, Jaafar Rahim telah menyifatkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin yang gila-gila. Beliau berjaya membangunkan negara secara berani dan bertindak di luar daya fikiran orang-orang yang berfikiran secara sederhana atau mereka yang sering diganggukan oleh rasa takut gagal dan kecewa sebelum melakukan sesuatu kerja atau tanggungjawab.

Tetapi, walaubagaimanapun Dr Mahathir Mohamad telah gagal menyatupadukan orang Melayu atau ummah, disebabkan dilebih mementingkan kebendaan dari kepentingan agama Islam dan budaya ummah termasuk lebih mementingkan kaum lain dari Melayu dalam bidang ekonomi. Oleh yang demikian, penolakan sebilangan besar orang Melayu atau ummah terhadap pemikirannya menjadi ketara. Maka beliau gagal menyatupadukan ummah.

Pada ketika berucap dalam ’Seri Ucapan Dr Mahathir Mohamad’ di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di Bangi, pada 12 Disember 2005, beliau telah berkata, bahawa beliau tidak tahu sama ada keputusannya membangunkan negara ini betul atau tidak, tetapi yang nyata, semua pembangunan seperti lebuh raya timur –barat, Putrajaya, jambatan Pulau Pinang dan bonus kepada kakitangan kerajaan, telah menguntungkan berbilion ringgit setahun kepada kerajaan dari hasil cukai pendapatan.

SULTAN PERAK

Buku karangku, ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’- biografi - , mungkin telah dibaca oleh Dr Mahathir Mohamad dan mungkin sedikit dari tulisanku dalam buku itu telah menolongnya dalam memilih dan melantik seorang pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain dari Sultan Perak, Al marhum Sultan Idris Shah ibnu Al marhum Sultan Alang Iskandar Shah yang banyak menerima pakai fikiranku (telah melantikku menjadi penasihat politik kepada peribadinya) dalam menjalankan kuasa dalam Kerajaan Perak, maka Sultan Brunei Darul Salam, Al marhum Sultan Sir Omar Ali Saifuddin juga setelah menerima pendapatku. Baginda telah menganugerahkan wang lebih RB1 juta kepada Parti Rakyat Brunei untuk tujuan menuntut kemerdekaan Brunei, Sarawak dan Sabah yang akan menjadi sebuah negara Republik Kalimantan Utara dengan Baginda sebagai Presiden sepanjang hayat.

Apabila Seniman P.Ramlee menerbitkan surat khabar hal ehwal filem, iaitu ’Gelanggang Filem’, maka aku telah menjadi penulis suratkhabarnya. Selain dari sumbanganku kepda ’Gelanggang Filem’ Allahyarham telah banyak berbincang denganku mengenai skrip-skrip filem yang ditulisnya. Di antaranya filemnya , ‘Musang Berjanggut’ (kisah Negeri Perak tua) dan ‘Tiga Abdul’ (ramalannya mengenai orang Melayu dalam Negara Malaysia).

. Mungkin tidak ramai orang yang percaya, bahawa aku telah meneruskan denyut nadiku – hidup -, sebagai seorang penulis, walaupun aku berkeadaan seekor burung yang patah sayapnya, dengan paruhnya ia bertongkat juga, namun aku tidak pernah berduka cita, apa lagi kecewa. Setiap ketika aku dalam keadaan waspada dan insaf, bahawa dalam apa jua keadaan, aku adalah hamba Allah dan sentiasa bersama-Nya dan berlindung pada-Nya pada saban waktu.

SANTAPAN RUHANI

Aku telah menulis dari hasil keyakinanku, bahawa alam dan dunia ini adalah universiti untuk diriku. Dalam semua tulisanku, aku telah menggunakan alam ini untuk santapan ruhani atau jiwa mereka yang membaca hasil karyaku. Di sinilah aku amat terasa, sesunguhnya aku puas dalam hidupku sendiri.

Mungkin ada orang-orang yang menilaikan hasil tulisanku tidak sama para atau tidak sejunjung dengan penulis-penulis lain, memanglah begitu, tetapi aku dengan keperibadianku sendiri dalam menjalankan kerja menulis, aku banyak terpengaruh dengan aliran ayat-ayat al Quran. Kadang-kadang cara begini tidak sesuai dengan orang-orang Barat, mereka yang bependidikan dari barat dan mereka yang beriman dengan kitab-kita lain dari al Quran.

Aku seorang yang tidak berminat dalam bidang sukan. Aku tidak pernah bersukan. Sukanku hanyalah menulis pada waktu-waktu aku ’perlu menulis’. Kalau dua tiga hari aku tidak menulis, tubuhku menerima tetamu yang tidakku undng, iaitu demam atau tidak sihat.

Mungkin orang lain boleh menyifatkan aku tidak berjaya dalam berkarya, kerana aku tidak pernah menyertai peraduan mengarang dan tidak seperti penulis-penulis lain yang mendapat hadiah kerana tulisan mereka. Kerana aku adalah aku dan kerana aku penulis, maka aku kira aku sebagai pejuang juga dan tidak semua perjuangan dinilai oleh orang ramai. Maka aku bersetuju dengan pendapat : “You can tell me I was wrong. You can tell me I failed. But I can also tell you how it was and how I tried.”

GOLONGAN INSAN

Usiaku telah meningkat lebih tujuh puluh satu tahun pada waktu aku menulis buku ini. Sepanjang perjalanan hidupku itu, aku tidak pernah memohon kepada Allah supaya aku dimasukkan ke dalam golongan insan yang kaya raya. Aku hanya telah memohon kepada-Nya agar Allah menganugerahkan kapadaku sekadar sedikit dari rezeki yang amat banyak daripada Yang Maha Kuasa itu untuk diriku, keluarga ku, kaum kerabatku dan orang-orang mukmin dan mukminah semuanya.

Ada kalanya aku seperti lelabah yang mencari madu-madu dari bebunga, seperti semut mencari rezeki di celah-celah pepasir dan sesampah atau seperti beburung yang hinggap pada pepohon yang sedang masak ranum buah-buahnya. Lebah, semut dan burung adalah makhluk-makhluk yang tersebut dalam ibu kitab, al Quran yang menjadi perlembagaan dan undang-undang bagi orang-orang yang beriman.

Aku berpendapat, setiap manusia mestilah berfikir dan bekerja untuk hidup. Jika berjaya mencapai kejayaan dalam hidup, maka bersyukurlah kepada Allah dan jika gagal, bersyukurlah juga kepada Allah. Sedarlah, bahawa di sebalik kegagalan itu ada hikmat dan rahmat dari Yang Maha Esa itu.

(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, PatahSayap Bertongkatkan Paruh,oleh:MOkhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments: