Monday, December 14, 2009

SISIPAN SEJARAH MELAYU


MELAYU MENUNTUT KEMERDEKAAN

RAJA - RAJA MELAYU MENENTANG

Oleh: Mokhtar Petah

(Sejarah sesuatu bangsa yang dijajah ditulis oleh mereka yang menjadi alat penajah tidak sama dengan yang terdapat atas lisan rakyat jelata, kerana sejarah yang ditulis banyak yang palsu dan sejarah atas lisan lebih banyak yang benar.

Kita, orang Melayu dan rakyat Malaysia disogok dan diajar dengan sejarah yang ditulis oleh para cendekiawan dan penulis bukan Melayu – kebanyakan orang Inggeris. Di sekolah semua bukiu sejarah yang mengandungi catatan palsu itu di terap masuak ke dalam otak para penuntut. Maka, akibatnya, angkatan Melayu yang lahir lepas negara mencapai kemerdekaan, meraba dalam rimba sejarah bangsa sendiri. –mp)

Pada tahun 1958, saya duduk di sebelah kiri Almarhum Sultan Sir Yusuff Izzuddin Ratiaullah Ghafarullah Shah KCMG, OBE (15 Januari 1890 – 4 Januari 1963) , dalam kenderaan rasmi - kereta Rolls – Royce - , yang membawa kami dari Kuala Kangsar menuju ke bukit peranginan, Cameron Highland, Pahang.

Di Kampar, saya terlena. Mabuk tembakau dan sedar semula, pada ketika kami berada dalam bandar kecil Tanah Rata. Sultan Yusuff telah menganugerahkan kepada saya sebatang cerut besar. Jenama terkenal di kalangan penagih tembakau antarabangsa, buatan Cuba. “Encik Mokhtar cuba isap cerut ni ...,” titak Sultan Yusuff.

Batang cerut yang sebesar ibu jari gadis sunti itu baru digunting muncung pankalnya dan disuakan kepada saya. Saya meletakkan pangkal cerut itu ke celah dua binbir saya. Baginda telah mencetuskan api dari pemetik api emas. Mahu tidak mahu saya menghisap cerut itu.

Itulah kali pertama saya menghisap cerut dan pada hari itulah jua kali pertama saya menjejakkan kaki ka Cemeron Highland. Pemergian saya ke sana kerana diajak (bukan perintah) oleh Sultan Yusuff.

Baginda sangat gemar membaca buku - buku roman dan cerpen yang saya tulis. Baginda sering menyuruh pemandu keretanya, Chu ‘At (Saad) membeli buku – buku karangan saya (Jawi) di tokoh buku dalam bandar Kuala Kangsar.

Hingga hari ini saya tidak mengetahui atau tidak mendapat jawapan, bagaimana Sultan Yusuff menilai diri saya. Saya hanya tahu, baginda mesra bahkan sering bercakap – cakap dengan saya, kerana saya seorang wartawan atau penulis.

Di Cameron Highland kami menginap di sebuah hotel yang dibina mengikut seni bina penjajah dan terletak dekat padang golf. Hotel itu jugalah menjadi tempat perbincangan par wakil Pejabat Tanah Jajahan Inggeris dengan Dato’ Onn, Dato. Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab dan beberapa orang tokoh politik (kanan) Melayu yang akhirnya lahir parti kebangsaan Melayu, iaitu UMNO.

Seorang dua Orang Besar dan dua tiga orang anggota polis duduk di ruang yang jauh dari ruang tempat Sultan Yusuff dan saya duduk berbual. Perbualan kami berkisar pada hal ehwal orang Melayu, kebudayaan Melayu dan kemerdekaan tanah air yang tidak sampai empat tahun usianya.

Menjawab pertanyaan saya, Sultan Yusuff menegaskan mengikiut ingatan saya, lebih kurang begini: “ ... pada masa tu tak ada sultan ..., ialah ghaja Melayu ..., keme tak nampak oghang Melayu boleh pengintah negedhi ni ..., kami takut, kalau tak ada oghang putih ..., kami, oghang Melayu kebulur ..., ialah, oghang Melayu nak buat jaghum pun tak tau...”

“ ....masa Jepun pengintah negeghi ni, kami nak makan pun susah, ogang besor – besor terpaksa tukar, kain songkit ..., keghis, baghang emas ..., dengna ubni kayu, pisang ..., eee, teman tak tak boleh ingat. ...”

Menurut Sultan Yusuff, Sultan Johor, Sultan Kedah yang paling keras menentang orng Melayu menuntut kemerdekaan.

...Keme (termasuk Sultan Selangor, Sultan Pahang, Kelantan dan Terengganu ..., tak tentang Tanah Melayu merdeka, tapi kami mahu tanah Melu merdeka duduk di bawah Kerajaan Inggeris, seperti Australia dan New Zealand,” jelas Sultan Yusuf.

Semenjak orang Melayu memulakan operjuangan menuntut kemerdekaan, iaitu diambil kira pada masa Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrhaim Yaakob, semua Raja Melayu diasak oleh Inggeris yang kononnya orang Melayu hendak menjatuhkan swemua Raja Melayu dan hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara republik. Meeka juga dicekam oleh Inggeris, sekiranya mergekia menyokong orang Melayu yang menuntut kemerdekaan, mereka diugut dan akan dikenakan tindakan tiga ugutan:

1 - Akan dipecat dari takhta seperti yang dilkukan Inggeri

terhadap Sultan Terengganu dan Sultan Selangor.

2 - Mererka akan dikenakan tindakan kerana banyak hutang

kepada ceti.

3 - Ada di antara Raja Melayu akan dikenakan tindakan

kerana melindungi pengedar - pengedar candu, seperti

yang berlaku di Selangor.

Sultan Johor, Al marhum Sultan Ibrahim Iskandar Al Masyhur (17 September 1873 – 1958), adalah satu – satunya Raja Melayu yang mula secara terang –terang menentang perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan.

Al marhum telah mengambil tindakan buah daerah ke atas pejuang (kanan) kemerdekaan Tanah Melayu, Datok Onn Jaafar.

Dato’ Onn dibuang ke Singapura kerana beliau berjuang menuntut kemerdekaan.

Yang kedua ialah Sultan Kedah, Sultan Sir Badli Shah ibni Sultan Sir Abdul Hamid 17 Mac 1894 – 13 Julai 1958), telah menghalau keluar istana terhadap saudaranya, Tunku Abdul Rahman kerana beliau memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO.

Pada tahun 1951, Tidak seorang pun dari penduduk-penduduk dalam kawasan Kepala Batas yang menyangka, bahawa sebuah rumah yang sesuai didiami oleh kerani rendah kerajaan, di Telaga Air, Teluk Air Tawar – dekat jalan raya Kepala Batas – Butterworth -, menjadi tempat tinggal seorang bekas peguam dan penasihat undang-undang kerajaan, pemimpin bangsa Melayu, putera Sultan dan adik kepada Sultan yang memerintah negeri.

Telaga air tidak jauh dari Kepala Batas. Rumah itu, sebuah rumah usang yang sebelumnya didiami oleh seorang kerani kerajaan. Perabot dan barang-barang di dalamnya telah rosak dan usang. Tetapi masih ada air dari paip dan api elektrik.

Tungku Abdul Rahman Putra telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Agung UMNO Malaya setelah Dato’ Onn Jaafar menarik diri dari dicalonkan bagi memimpin parti politik orang Melayu itu dalam Persidangan Agungnya, pada tahun 1951.

Tekad dan cita-cita Tunku Abdul Rahman untuk memimpin UMNO dan berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah menjadikan abangnya, Sultan Kedah, Sultan Badli Shah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1943–1958) murka kepadanya. Baginda tidak berkenan Tunku Abdul Rahman memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO.

Kebencian Sultan Kedah kepada UMNO kerana parti politik Melayu telah dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Seperti Sultan Johor, Sultan Badli Shah murka kepada Dato’ Onn kerana telah mengemukakan kepada para Sultan dan Kerajaan Inggeris, iaitu pada masa menghadapi kemerdekaan Tanah Melayu, hendaklah dilantik seorang Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu.

Sultan Kedah dan Sultan Johor telah menganggap anak Melayu yang akan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi itu akan berkedudukan di atas Raja-Raja Melayu. Mereka rela orang Inggeris mengatasi mereka, tetapi tidak rela anak Melayu berkedudukan lebih tinggi dari mereka.

‘Untuk melaksanakan dasar kerjasama antara Kerajaan Inggeris dan para Sultan seperti yang termaktub dalam Perjanjian atau Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu, Dato’ Onn pernah menekankan kepada pihak Kerajaan Inggeris tentang pentingnya diangkat seorang Timbalan Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada orang Melayu sebagai wakil para Sultan untuk turut memegang kendali pentadbiran. Hal ini terjadi dalam bulan Oktober 1948 ketika beliau berkunjung ke London. Kemudian pada 15.06.1949 di dalam Persidangan Para Sultan, Dato’ Onn mengemukakan soalan ini supaya dapat dipersetujui oleh Sultan-sultan itu.

Tetapi para Sultan enggan menyetujui cadangan Dato’ Onn tersebut kerana kalau orang Melayu diangkat untuk jawatan itu, tentulah kedudukannya lebih tinggi dari Sultan-sultan itu sendiri. Penolakan ini dianggap oleh Dato’ Onn sebagai kekolotan para Sultan dan oleh kerana itu beliau mengundurkan diri dari Persidangan Sultan-Sultan itu. Sikap yang degil ini mungkin menimbulkan rasa kurang puas bagi Sultan Johor (Sultan Ibrahim 1895–1959), yang akhirnya memerintahkan kepada Dato Onn supaya menaruh perhatian kepada jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Johor. Perintah itu agaknya sangat menyinggung perasaan Dato’ Onn, maka dalam bulan Oktober 1949, beliau meletakkan jawatan Menteri Besar itu.’

Seperti cerita Tunku Abdul Rahman kepada saya, bahawa setelah selesai Persidangan Agung UMNO Malaya, di Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahaman dan isterinya, Puan Sharifah Radziah telah pulang ke istana peninggalan bapanya di Alor Setar, Kedah. Mereka telah tiba di istana itu pada waktu malam.

Sebaik-baik sahaja Tunku Abdul Rahman dan isterinya tiba di istana – belum sempat bersalin pakaian, seorang pegawai istana telah datang mendapatkan Tunku Abdul Rahman. Dia datang membawa perintah Sultan supaya Tunku Abdul Rahman dan isterinya berpindah dari istana itu pada malam itu juga

Kerana terlalu murka, Sultan Badli Shah[1] tidak perkenan akan permohonan Tunku Abdul Rahman untuk menghadapnya. Walaupun perintah itu dari saudara kandung Tunku Abdul Rahaman sendiri, tetapi telah menjadi perintah Sultan – perasaan saudara kandung tidak timbul lagi, maka dengan hati yang cekal berbaur sedih, pada malam itu juga Tunku Abdul Rahman dan isterinya membawa diri dari istana peninggalan ayahandanya.

Dengan membawa sedikit pakaian – banyak yang ditinggalkan, Tunku Abdul Rahman dan isterinya menaiki kereta yang dipandu oleh pekerjanya yang setia, Syed Ahmad, telah berangkat ke sebuah Rumah di Telaga Air dekat Kepala Batas[2]. Rumah itulah menjadi tempat awal bagi Tunku Abdul Rahman memulakan perjuangannya menuntut kemerdekaan negara ini dari penjajah British. Rumah tersebut pernah didiami oleh Syed Ahmad pada masa dia belum bekerja dengan Tunku Abdu Rahman.

Menurut Tunku Abdul Rahman Putra, kira-kira sehari setelah tinggal di rumah itu, dia telah menghubungi peguam yang memegang amanah harta pusaka ayahandanya di Pulau Pinang. Dia telah meminta wang dari sewa beberapa buah rumah ayahandanya di sana. Tetapi peguam itu memberitahu kepadanya, bahawa dia telah diperintahkan oleh Sultan Kedah, tidak boleh mengeluarkan wang itu kepadanya.

Sehari demi hari sampai seminggu, Tunku Abdul Rahman dan isterinya mulai menghadapi kekeringan wang untuk membeli makanan. Pada hari-hari itu juga dia memerlukan wang untuk meneruskan perjuangannya dalam UMNO. Hendak meminta kepada UMNO, dia tahu parti politik Melayu itu tidak mempunyai wang.

“Apa nak kata, saya dah jadi anak raja papa...,” kata Tunku Abdul Rahman kepada saya.

Tunku Abdul Rahman telah buntu fikirannya untuk mendapatkan wang; tidak ada jalan yang dinampak di hadapannya. Setelah berunding dengan isterinya, wanita yang bakal menjadi ‘Ibu Pertama Negara’ itu, maka dengan ketentuan Allah jua, isterinya telah merelakan gelang dan rantai leher, pergelangan tangan dan kerongsang digadaikan. Syed Ahmad telah menggadaikan barang-barang kemas itu di beberapa kedai pajak gadai termasuk di Butterworth..

Pada masa tinggal di rumah tersebut, Tunku Abdul Rahman sering datang menemui Sheikh Abdullah Fahim. Mungkin firasat atau ilmu ladunni Sheikh Abdullah Fahim, dia mengetahui Tunku Abdul Rahman kekeringan wang. Seminggu kemudian Haji Ahmad Badawi bersama Allahyarham Hashim Awang dari Tasik Gelugur (pernah menjadi pengarah syarikat surat khabar, Utusan Melayu Berhad dan ahli Dewan Rakyat), Haji Sulaiman Palestin, telah membawa wang untuk Tunku Abdul Rahman Putra

Pendeknya perhubungan Tunku Abdul Rahman dengan Sheikh Abdullah Fahim telah menjadi sebagai perhubungan anak dengan bapa kandung. Sebelum mengetuai Rombongan Merdeka ke London, Tunku Abdul Rahman telah meminta Sheikh Abdullah Fahim menggunakan ilmu falak menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh yang ditentukan oleh Sheikh Abdullah Fahim, ialah pada 31 Ogos 1957.

Beberapa minggu kemudian UMNO Malaya telah mengeluarkan wang tabungnya untuk perbelanjaan Tunku Abdul Rahman Putra menjalankan kerjanya sebagai Yang Dipertua Agung UMNO Malaya.

Pada masa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan, dalam bandar Kuala Lumpur tidak ada hotel bertaraf mewah, kecuali sebuah hotel berhadapan stesen kereta api Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan ahli jawatankuasa UMNO menginap di hotel tersebut, tetapi Tunku Abdul Rahman menginap di sebuah hotel di Jalan Raja Muda dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur, iaitu New Hotel. Sewa bilik hotel itu murah, iaitu kira-kira empat ringgit bagi satu bilik selama sehari semalam. Tidak lama kemudian ramai ahli jawatankuasa UMNO Malaya datang menginap di hotel tersebut.

Setelah Tunku Abdul Rahman meninggal dunia, saya telah melawat ke hotel itu dan bercakap dengan pengurusnya yang telah tua. Dia telah memuji Tunku Abdul Rahman kerana berjaya memerdekakan negara ini. Sambil ketawa, dia berkata, yang eloknya UMNO menjadikan hotelnya itu sebagai sebuah ‘bangunan mengenang perjuangan Tunku Abdul Rahman dan rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan’

Sesungguhnya, hingga Persekutuan Tanah Melayu, Raja – Raja Melayu tidak pernah menyertai perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, kecuali beberapa orang Sultan telah merasmikan beberapa mesyuarat agung UMNO.

Mereka yidak meninggal wasiat atau amanh mengenai bangsa Melayu, sama ada pada zaman mereka, mahupun pada masa akan datang. Raja Melayu mempunyai kedudukan tertinggi, maka mereka tidak mengetahui suka duka perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan.



No comments: