Thursday, December 31, 2009

BERITA


Gus Dur meninggal dunia



Gus Dur

JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid, 69, yang lebih dikenali dengan panggilan Gus Dur, meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo di sini, petang semalam.

Pengarah hospital berkenaan, Dr Akmal Taher, berkata Gus Dur meninggal dunia jam 6.45 petang waktu tempatan berikutan komplikasi buah pinggang dan masalah jantung.

Bekas presiden itu menjalani rawatan dialisis sejak beberapa lama dan dimasukkan ke hospital itu, minggu lalu selepas membuat perjalanan ke Jawa Timur.


"Keadaan kesihatan Gus Dur sebelum ini baik. Sebatang giginya dicabut semalam dan beliau kembali ke biliknya selepas itu. Beliau juga berselera makan.

"Bagaimanapun, menjelang petang, keadaan kesihatan Gus Dur tiba-tiba merosot. Kami memindahkannya ke unit rawatan rapi, tetapi gagal menyelamatkan bekas presiden itu," katanya.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berada di sisi Gus Dur ketika bekas pemimpin itu menghembuskan nafas terakhir. - Agensi

----------------

Jamil Khir wakil Malaysia di pemakaman negara untuk Gus Dur

JAKARTA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom akan mewakili Malaysia pada upacara pengebumian negara bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur di Jombang, Jawa Timur tengah hari ini.

Beliau, yang diiringi isteri Datin Fatmawati Saidin serta Timbalan Ketua Setiausaha III Wisma Putra, Datuk Iskandar Sarudin dan Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra, Datuk Adnan Othman, berlepas dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kuala Lumpur ke Jawa Timur, pagi ini.

Hadir sama pada upacara itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan dua orang pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia, kata Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia, Amran Mohamed Zain, di sini.


Sementara itu, pada jam 8.10 pagi ini (Waktu Indonesia Barat), jenazah Gus Dur diterbangkan dengan pesawat Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara dari pangkalan udara Halim Perdana Kusuma di sini ke Surabaya.

Jenazah beliau sebelum itu dibawa keluar dari kediamannya di Ciganjur, Jakarta Selatan dalam sebuah kenderaan jenazah dengan penuh penghormatan negara pada satu upacara yang dipimpin Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Taufik Kiemas.

Gus Dur akan disemadikan bersebelahan dengan makam datuknya, Hasyim Asy’ari, pengasas pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) di kawasan pemakaman keluarga di Pondok Pesantren (pusat pengajian Islam) Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur pada tengah hari ini.

Upacara pemakaman negara itu akan dipimpin sendiri oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, sebagai tanda penghormatan tertinggi Indonesia terhadap jasa dan sumbangan Gus Dur.

Gus Dur, 69, meninggal dunia pada jam 6.45 petang semalam di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM), selepas mengalami kemerosotan kesihatan berikutan penyakit kencing manis, jantung dan angin ahmar.

Beliau, yang juga Presiden Indonesia keempat dari 1999 hingga 2001, ialah pengasas Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), parti politik yang berasaskan Islam.

Gur Dur menggantikan Presiden B J Habibie selepas dipilih oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) hasil pilihan raya umum (Pemilu) 1999.

Dilahirkan pada 4 Ogos, 1940, di Jombang, Jawa Timur, Gus Dur antara lainnya mendapat pendidikan di Universiti Baghdad, Iraq di Fakulti Adad Jurusan Sastera Arab pada tahun 1966 hingga 1970, serta Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir di Fakulti Syariah dari tahun 1964 hingga tahun 1966.

Beliau meninggalkan seorang balu, Sinta Nuriyah dan empat anak perempuan, Alissa Qotrunnada Munawaroh, Zannuba Arifah Chafsoh, Annita Hayatunnufus dan Inayah Wulandari.
(Berita2 ini diambil dari Berita Harian - Bernama
online, 31 Disember 2009)

No comments: