BENCANA ALAM KEWAJIPAN BERMUHASABAH
(25 DISEMBER 2009 / 8 MUHARRAM 1431H)
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat.
Sempena dengan Hari Kesedaran Bencana Negara pada 26 Disember setiap tahun, maka mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah”.
Mutakhir ini beberapa negara di dunia digemparkan dengan kejadian bencana alam yang meragut ratusan ribu jiwa dan kerugian berbillion ringgit harta benda dalam masa sekelip mata. Bayangkanlah, berapa ngerinya bencana Tsunami di Banda Aceh, Indonesia yang mengorbankan 200,000 jiwa dan menjadikan kawasan tersebut padang jarak padang tekukur.
Negara kita juga sering berdepan dengan beberapa kejadian bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan ombak besar Tsunami. Negara kita juga sering berdepan dengan gegaran-gegaran kecil terutamanya di bangunan-banguna tinggi akibat kejadian gempa yang berlaku di negara-negara jiran. Selain itu, negara kita juga pernah mengalami bencana berpunca daripada kerakusan dan kelalaian manusia seperti kejadian keruntuhan pangsapuri Highland Tower dan penularan wabak penyakit.
Dalam al-Quran Allah Azzawajalla menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.
Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman:
Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pelajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak.
Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat . Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali.
Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri adalah agensi utama yang menyelaras segala tindakan mengenai bencana alam, namun usaha tersebut perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.
Adalah menjadi kewajipan semua pihak memastikan kawasan atau tempat kediaman terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar. Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal. Dalam keadaan dilanda bencana setiap pemimpin masyarakat berkewajipan mengumpul maklumat mangsa untuk memudahkan tindakan menyelamat dijalankan. Manakala bagi pertubuhan bukan kerajaan pula perlulah mengadakan penyelarasan dengan agensi kerajaan dalam usaha-usaha membantu kebajikan mangsa-mangsa bencana alam, agar semua mangsa menerima kebajikan dan layanan yang samarata.
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar
terlibat sama dalam mengurus bencana dengan langkah-langkah berikut:
Pertama: Berusaha menghindari diri dan tempat tinggal dari sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya, kerana sesungguhnya bencana adalah sebahagian daripada balasan Allah kepada golongan yang tidak beriman dan melakukan maksiat.
Kedua: Pihak berkuasa perlulah membangun sistem amaran awal bencana alam yang bermutu sebagai langkah menghindari daripada bencana alam.
Ketiga: Semua pihak di negara kita mestilah menyayangi alam sekitar dengan sama sekali tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh merosakkan alam semesta, dan
Keempat: Semua pihak perlulah bekerjasama membantu kebajikan mangsa-mangsa bencana dengan ikhlas, tanpa mengira kedudukan, agama dan bangsa.
Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”. (Surah al-'Araf: 97-98)
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM)
No comments:
Post a Comment