Mokhtar Petah
Kira-kira tiga bulan aku, isteriku dan anak lelaki kami, Petah Wazzan Iskandar Jouhari. tinggal di Taman Melawati, kami telah berpindah ke Taman Seri Watan, Ampang. Taman itu terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah tempat isteriku mengajar.
Pada satu hari, aku telah pergi ke Pasar Minggu, Kuala Lumpur. Aku telah menemui rakan lamaku, Ustaz Abdul Rauf Ahmad. Dia bekas anggota Parti Islam Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir. Dia dan isterinya telah menjalankan perniagaan kedai menjahit pakaian.
Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, iaitu pada tahun 1967, Ustaz Abdul Rauf dan isterinya telah menjalankan perniagaan menjahit pakaian di Bandar Kuala Kangsar. Pada masa itulah aku sering bertemu dengannya.
Ustaz Abdul Rauf telah meminta aku membantu anak perempuannya, Fauziah Rauf – lepasan sekolah menengah di Mesir -, bersama suaminya, Omar Manan yang telah menerbitkan sebuah surat khabar mingguan, Mingguan Famili. Pejabat mereka, di Islamic City, di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
SURAT KHABAR
Kemudian aku telah meneliti beberapa naskhah surat khabar itu. Aku mendapati kandungannya tidak dapat menarik perhatian pembaca. Banyak berita dan artikal yang disiarkan tidak mencapai tujuan sebagai suratkhabar orang ramai. Kelemahan yang utama kerana para pemberitanya tidak mendapat latihan kewartawanan dan tidak berpengalaman.
Dalam perundingan dengan Fauziah dan Omar Manan, kami telah mencapai keputusan, bahawa aku memikul tugas sebagai editor perunding surat khabar Mingguan Famili dan majalah bulanan Hawa. Ertinya aku memikul tanggungjawab memperbaiki mutu suratkhabar itu dan memulihkan kewibawaan dan profesyen para pemberita dan anggota sidang pengarangnya.
Aku telah mengadakan perubahan kepada surat khabar itu. Semua artikel-artikel mesti mengandungi bahan ’humen interest’ dan ditulis dengan cara menarik serta dapat memikat hati pembaca.
Aku mendapati kelemahan suratkhabar itu kerana para petugasnya, terutama pemberita-pemberitanya terdiri dari mereka yang tidak mendapat latihan kewartawan dan pengalaman. Mereka menulis tidak serius atau sambil lewa. Banyak menumpukan kepada isu gosip di kalangan artis dan menulis secara serkap jarang.
PARTI POLITIK
Akhirnya Fauziah Rauf dan Omar Manan tekah membebankan aku dengan tugas berat dan tidak setimpal dengana bayaran yang diberikan kepadaku. Aku telah menulis artikel-artikel dalam ruang-ruangan yang telah dikhaskan kerana tidak ada artikel-artikel yang baik dari para penulis.
Omar Manan- yang menjadi pelakon sambila drama-drama tv dan bergiat dalam parti politik di Kuala Selangor telah tidak menumpu perhatian yang seriuas kepada suratkhabar tersebut.
Pada masa aku tinggal di Sri Watan, kecuali A.Samad Said (Sasterawan Negara) yang tinggal bersama isteri keduanya, di Taman Dagang, iaitu di belakang Taman Sri Watan, hampir semua penduduk Melayu di Taman Sri Watan tidak mengetahui nama sebenarku dan aku seorang penulis. Mereka telah mengenali aku dengan nama ’Ahmad’ sahaja.
Walaupun taman Sri Watan telah lama dihuni oleh penduduk-penduduk Melayu dan Islam, tetapai di taman tidak ada surau. Mereka terpaksa bersembahyang berjemaah di masjid Kampung Melayu Ampang atau ke surau di taman-taman lain.
PEMANDU TEKSI
Pada satu malam kira-kira lima belas orang dari penduduk-penduduk taman itu telah mengadakan mesyuarat untuk mengadakan surau di taman tersebut. Mesyuarat itu telah diadakan di rumah seorang pemandu teksi(aku tidak dapat nyatakan namanya) yang telah mengaku dirinya rapat dengan Menteri Besar dan para politikus dalam parti kerajaan.
Aku telah dijemput menyertai mesyuarat tersebut. Walau pun aku hadir dalam mesyuarat itu, tetapi aku tidak banyak bercakap, kerana aku khuatir, kalau aku banyak bercakap, aku akan dipilih untuk memegang satu-satu jawatan dalam jawatankuasa surau yang akan ditubuhkan nanti. Aku khuatir, kalau aku memegang apa-apa jawatan nanti, kejadian seperti yang telah menimpa diriku di Kampung Tanah Merah, di Perak dulu akan berulang lagi.
Tuan rumah tempat bermasyuarat itu telah banyak bercakap.Dia telah mengaku, jika dia dipilih memegang pengerusi jawatankuasa surau itu, dia akan berusaha mengadakan surau itu dengan suara. Menurutnya, dia akan mudah mendapat bantuan dari kerajaan dan orang-orang berada untuk mendapatkan wang bagi membina surau itu.
Sebuah jawatankuasa surau telah ditubuhkan. Tuan rumah itu telah dipilih dengan sebulat suara untuk menjadi pengerusinya. Aku tidak dipilih untuk memegang sebarang jawatan dalam jawatanakuasa tersebut.
JAWATANKUASA SURAU
Kira-kira tiga bulan setelah jawatankuasa surau itu ditubuhkan, Pengerusi Jawatankuasa Surau itu, tidak mengambil sebarang langkah untuk membina surau tersebut. Maka satu meyuarat untuk membubarkan jawatankuasa yang ada dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Surau yang baru telah diadakan di rumah seorang penduduk taman itu.
Aku telah dijemput ke mesyuarat itu. Kebetulan pula, seorang penulis khat terkenal dan bekas wartawan, Haji Abdullah Salleh atau Abdullah Salehi (bekas penuntut Maahad al Ehyausy Syarif Gunung Semanggul, Perak), turut hadir dalam mesyuarat itu. Dia telah memperkenalkan aku kepada orang-orang yang hadir dalam mesyuarat itu.
Apabila sampai kepada agenda pemilihan ahli Jawatankuasa surau yang baru, maka aku telah dipilih memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa itu. Setelah aku dipilih dengan sebulat suara untuk menerajui Jawatankuasa surau tersebut, aku diterpa keyakinan; apa yang telah berlaku ke atas aku di Kampung Tanah Merah dulu akan berulang menyerkup diriku lagi.
Sebagai pengerusi aku telah memikul tanggungjawab berat. Aku bersama empat orang ahli Jawatankuasa surau itu telah pergi ke pejabat syarikat yang membina projek Taman Sri Watan, di Pudu, Kuala Lumpur, untuk memohon ihsan pihak syarikat itu supaya diberi peluang kepada kami menggunakan tingkat bawah bangunan kedai mereka yang baru siap dibina dan masih kosong, di taman tersebut untuk kami jadikan surau sementara pada sepanjang bulan Ramadan yang akan menjelang kira-kira sebulan lagi.
RUMAH ANAK YATIM
Apabila kami masuk ke dalam pejabat itu, seorang kenalanku, Encik Ismail Karana, iaitu bekas Pegawai Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, ada di situ. Dia adalah salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Setelah aku mengemukan hasrat dan hajat kami kepada Encik Ismail Karana dan beberapa orang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut yang terdiri dari orang-orang China, maka mereka telah bermurah hati membenarkan kami menggunakan bangunan kedai kosong itu sebagai surau sementara secara percuma pada sepanjang bulan puasa.
Pihak lembaga pengarah syarikat itu telah bermurah hati, membenarkan kami menggunakan tingkat bawah dan tingkast atas bangunan itu, sementara kami dapat membina surau di taman itu.
Dalam majlis pada hari Raya Puasa yang telah diadakan, di surau sementara itu, aku telah berucap kepada sidang jemaah. Aku telah memberitahu kepada mereka yang aku meminta pinjam wang kepada sesiapa sahaja untuk membina surau baru yang biayanya kira-kira RM10,000. Surau itu akan dibina dengan kayu, lantai simen dan beratapkan zink. Aku memberitahu mereka yang aku akan mencagarkan sekeping tanahku di Kuala Kangsar kepada sesiapa yang memberi pinjaman wangnya kepada jawatankuasa surau itu.
AHLI PERNIAGAAN
Seminggu kemudian aku telah diberitahu oleh seorang ahli jawatankuasa surau, bahawa ada seorang perempuan ahli prniagaan, di Subang Jaya hendak memberi pinjaman wang kepada kami. Perempuan itu telah meminta aku dan beberapa orang ahli jawatankuasa surau itu datang ke pejabatnya.
Dipendekkan kisah, orang yang bermurah hati itu, ialah janda kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Abu Bakar Baginda, Puan Mardiana Abu Bakar. Dia telah mendermakan wangnya kepada jawatankuasa surau kami sebanyak RM30,000. Dia telah berjanji, sekiranya wang itu tidak mencukup untuk membina surau itu, dia akan ditambahkan lagi. Maka dengan wang itu kami telah membina surau di taman itu.[1]
Pada masa itu kawasan Dewan Rakyat (Ampang Jaya) diwakili oleh Puan Rahmah Othman. Aku mula berkenalan dengannya pada masa dia menjadi pegawai di South Asia Press Centre, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Aku telah menulis surat kepadanya untuk meminta bantuan wang kerajaan sebanyak RM3,000 untuk membina pagar surau itu. Dia telah meluluskan permohonanku itu dan kami telah membina pagar itu secara bergotong royong.
Sebaik-baik sahaja surau itu telah siap dan dapat digunakan, aku terpaksa meletakkan jawatan pengerusi jawatankuasanya, kerana terdapat beberapa orang dari sidang jemaahnya yang mahu merebutkan jawatan itu daripada aku. Mereka telah menimbulkan ’isu aku orang luar’, iaitu bukan anak negeri Selangor tidak sesuai mempimpin jawatankuasa surau mereka. Mereka mahukan seorang anak negeri Selangor mengetuai jawatankuasa surau itu.
Aku yakin, kalau aku tidak meletakkan jawatan pengerusi jawatankuasa surau itu, kemungkianan kejadian seperti yang telah menimpa diriku di kampung Tanah Merah, di Perak dulu akan menimpa diriku lagi.
*** ***
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Bahagian Penerbitan telah meluluskan permit majalah IMAM kepada syarikatku, Mata Publications. Pada masa aku memohon permit majalah itu, aku berkata yang aku akan dapat menceburkan diri dalam bidang perniagaan penerbitan.
Disebabkan pihak KDN terlalu lewat meluluskan permit penerbitan, maka minatku untuk menerbitkan majalah telah kabur dan wang yang telah diperuntukkan bagi menerbitkannya terpaksa di alih kepada mata pencarian lain. Jika hendak menunggu kelulusan permit majalah itu samalah dengan mengharapkan hujan turun pada musim kemarau.[2]
Majalah IMAM terpaksa ditangguhkan penerbitannya. Orang yang ada modal hendak menerbitkan majalah IMAM bersamaku telah mengalihkan modalnya kepada perniagaan lain.
Tidak lama kemudian, rakanku, Ustaz Ashaari Muhammad, pemimpin al Arqam telah berunding dengan aku, di markas al Arqam, di Singapura untuk menerbitkan majalah IMAM itu. Kami telah mencapai persetujuan, bahawa majalah IMAM akan diterbitkan oleh al Arqam. Majalah IMAM telah diterbitkan dengan dibiayai dan diedar oleh badan gerakan Islam itu pada tahun 1989. Aku telah memikul tanggungjawab sebagai penerbit dan ketua editornya.
SUARA AL ARQAM
Walaupun majalah IMAM telah diterbit dan diedarkan oleh al Arqam, tetapi aku tidak menyertai gerakan tersebut. Majalah IMAM juga tidak menjadi suara al Arqam. Ia hanya menjadi media Islam untuk umat Islam. Majalah itu adalah majalah Melayu awal diterbitkan dengan bentuk ukuran seperti sebuah majalah popular yang diterbitkan di Amerika Syarikat dan Hong Kong. Setiap kali terbit kira-kira 100,000 naskhah dapat dijual. Tetapi majalah itu sempat diterbitkan selama lima keluaran sahaja kerana pihak Ibu Pejabat Polis, di Bukit Aman telah menasihati aku supaya majalah IMAM tidak diterbitkan oleh al Arqam.
Pada satu hari, seorang pegawai polis Bahagian Cawangan Khas telah memanggil aku ke Ibu Pejabat Polis, di Bukit Aman. Dalam perjumpaan dengan beberapa orang pegawai tinggi polis, di mess Pegawai, mereka telah menasihatkan aku supaya majalah IMAM tidak menyiarkan semua tulisan dan ucapan ustaz Ashaari Muhammad. Mereka juga menasiahatkan aku supaya menyiarkan artikel-artikel yang ditulis oleh para mufti, kadi dan ulama di luar al Arqam.
Apabila berlaku ’gelora percintaan’ antara Menteri Besar Selangor, Muhammad bin Mohd.Taib dengan Puteri (janda) Sultan Selangor, Tengku Zanariah, aku telah menulis sebuah buku mengenai percintaan mereka dan kemurkaan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddidn Abdul Aziz berjudul ’Menteri Besar Selangor Kahwin Puteri Sultan’. Buku itu telah diterbitkan oleh Mata Publication dan dibiaya dan diedarkan oleh sebuah syarikat milik al Arqam.
[1] Sekarang telah ada surau yang besar dibina oleh Jabatan Agama Islam dan Adat istiadat
Melayu Negeri Selangor.
[2] Aku berpendapat sistem mengeluarkan permit penerbitan oleh KDN elok dikaji semula,
kerana sistem tersebut masih seperti sistem Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu yang
menyekat kebebasan berfikir, mengeluarkan pendapat dan sebagainya.
(Sedutan dri manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid).
No comments:
Post a Comment