Sunday, December 6, 2009

BERITA


Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi



Dzulfikar Mashoor
GOMBAK, 6 Dis: Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.

Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz

"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."

"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."

Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.

Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.

Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.


-----------------


Kerajaan Negeri P. Pinang iktiraf penghafaz al Quran


Ali Hashim
PULAU PINANG, 6 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi pengiktirafan kepada para penghafaz Al-Quran di negeri ini dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka.

Sejajar dengan itu seminar Huffaz yang telah diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) adalah salah satu tindakan kearah pengiktirafan tersebut.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim setakat ini 137 para hafiz dan hafizah telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu cara menghargai sumbangan mereka yang berjaya menghafaz Al Quran di negeri ini.

"Kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu keluarga satu huffaz serta usaha kearah ini sedang giat dilaksanakan bagi mencapai aspirasi tersebut."

Dalam pada itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyokong usaha yang diambil bagi memartabatkan para huffaz ini.

"Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan kepada mereka ini adalah kerana kita berkeyakinan golongan seperti ini adalah mereka yang mempunyai komitmen tinggi dan memerlukan disiplin serta keperibadian mulia untuk melaksanakannya.

"Kita juga yakin degan adanya golongan hafiz dan hafizah ini maka masalah sosial dikalangan masyarakat seperti krisis moral, kemungkaran dan pelbagai masalah sosial akan dapat dihindari sebagaimana yang menjadi konsep amalan Kerajaan Negeri kearah 'Amar Makruf Nahi Munkar."

Para huffaz kali ini diberi penghargaan dengan pemberian sijil dan sumbangan sebanyak RM500 setiap orang.

Penghargaan ini telah dimulai sejak kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat sejak 2008 lagi.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 6 November 2009)






No comments: