Thursday, August 13, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada masa menghadapi pilihanraya Pengkalan Pasir, Kelantan, pada 6 Disember 2005, aku telah mendapati tokoh-tokoh parti politik nasionalis, terutamanya peringkat negeri Kelantan, telah beria-ia benar untuk menghancurkan kerajaan pimpinan orang Melayu (Islam) di negeri itu. Untuk menyedarkan umat Islam, aku telah menulis sebuah artikel ringkas dalam mungguan ‘Siasah’pada 2- 15 Disember 2005, seperti berikut:

Walaupun PAS diamanahkan memerintah Negeri Kelantan tetapi Kerajaan Pusat sebenarnya mempunyai banyak bidang dan peluang untuk membangunkan negeri itu, malah bertanggungjawab ke atasnya. Selama hari ini pun kita tidak pernah mendengar PAS menghalang Kerjaan Pusat mendirikan sekolah, hospital, jalan raya, atau mengadakan kelas Kemas daaan pembangunan lainnya demi kepentingan rakyat.

Namun, apa yang menarik perhatian saya, adalah pilihanraya di Pengkalan Pasir itu nanti akan menampilkan cetusan ‘bunga api’ di mana orang-orang Islam sendiri bertanggungjawab untuk menghapuskan tertegaknya sebuah Kerajaan Islam di Kelantan. Adakah usaha menghapuskan kerajaan pimpinan ulama, yang diketuai oleh Tok Guru yang warak dan ikhlas menjadi kenyataan?

SYARIAT ISLAM

Sememangnya pilahanraya itu pasti berakhir dengan kemenangan untuk pihak tertentu, tetapi elakkanlah daripda apa yang pernah dilakukan orang-orang nasionalis di Turki dan Afghanistan yang sanggup menghancurkan sebuah kerajaan yang menjunjung syariat Islam.

Mungkin Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak sependapat dengan saya bahawa pilihanraya adalam medan mencari kebaikan dan bukan mencipta permusuhan sesama umat Islam. Kemenangan perlu direbut tetapi janganlah sampai umat Islam bertindak menjatiuhkan kerajaan Islam sendiri.

Kita semua maklum, apabila jatuhnya pemerintah Iraq dan Afghanistan oleh penceroboh Amerika Syarikat, maka Yahudi dan musuh-musuh Islam bertepuk tangan kerana gembira pemerintah umat Islam tumbang. Jangan pula kita di Malaysia yang bertindak menjatuhkan Kerajaan Islam sendiri, bukannya pihak lain yang membenci Islam. Sepatutnya kita perkukuhkan saki-baki Islam yang ada.

EMOSI NASIONALIS

Hendaknya tidak dicatatkan dalam sejarah, selepas pilihanraya 6 Disember 2005 nanti, bahawa umat Islam sendiri yang meruntuhkan maruah dan kehebatan Islam, dan orang-orang UMNO sendiri menodai Islam Hadhari.’

Aku berpendapat, Kerajaan PAS di Negeri Kelantan, UMNO dan Barisan Nasional mengikis sikap terlalu berpolitik dan emosi nasionalis dapat mencapai persefahaman dengan PAS ‘merelakan’ Kerajaan Kelantan bercorak Islam berada dalam tangan PAS, atau kerajaan itu bekerjasama dengan UMNO membangun Negeri Kelantan dan memakmurkan rakyatnya.

Caranya mudah amat, iaitu UMNO dengan PAS mencapai kata sepakat; pada pilihanraya akan datang dan sampai bila-bila, semua kawasan Dewan Undangan negeri yang berada dalam tangan PAS dikekalkan dan UMNO dan Barisan Nasional tidak meletakkan calon-calon untuk merebut kerusi. Begitu juga kawasan-kawasan Dewan undangan Negeri dalam tangan UMNO dibiarkan, iaitu PAS tidak akan bertanding dalam kawasan-kawasan itu.

MEJA CATUR

Aku yakin, kalau diamalkan seperti sekarang, iaitu UMNO dengan PAS tidak bekerjasama, sampai bila pun UMNO tidak akan dapat menguasai negeri itu. Kalau dapat UMNO dapat mengusainya pun akan jatuh pula pada piliahanraya akan datang. Bangun dan jatuh tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat negeri itu.

Dengan demikian akan berdosalah UMNO dan PAS kerana menjadikan negeri Kelantan seperti meja catur, kali ini UMNO kalah, lain kali PAS kalah, sedangkan rakyat menjadi mangsa.

Setiap kali pilihanraya, sama ada pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil, terlalu banyak wang kerajaan yang hangus. Kerana lawatan para menteri, elaun para pegawai dan berbagai-bagai lagi. Memanglah pilihanraya perlu dalam sesebuah negara demokrasi, tetapi apalah ertinya setiap kali pilihanraya ‘projek kabajikan atau maaruf orang Melayu (Islam) juga yang musnah. Orang Melayu bercakaran dengan orang Melayu. Akibatnya seperti peribahasa Melayu ‘antan sama antan berlaga ayam juga yang kenyang’. Orang Melayu terus berkeadaan ‘menang sorak kampung tergadai’.

IDEOLOGI PAS

Aku berharap dengan prinsip Islan Hadhari: (1) Keimanan dan ketakwaan kepada Allah, dan: (8) Keutuhan budaya dan moral, dan Islam menjadi ideologi PAS, maka kerjasama dua parti politik orang Melayu dan Islam itu dapat dilaksanakan segera.

Aku perpegang kepada ajaran Islam. Islam mengarahkan para penganutnya mengambil al Quran dan as Sunnah sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat. Jika diselidik dalam al Quran, terdapat ajaran, ‘Orang Islam yang memusnahkan amal kebajikan umat Islam – Negara Islam atau negeri Islam dan segala amalan yang bersandarkan kepada jalan Allah- , maka dia akan menjadi kafir, kerana perbuatannya itu sama dengan memusuhi Allah.

Walaupun perlembagaan negara Malaysia tidak membenarkan rakyat mengamalkan perkauaman, tetapi bangsa Melayu yang pada umumnya beragama Islam, adalah mempunyai hak sebagai ketuanan negara dan mempunyai kedudukan yang sah untuk mempertahankan diri mereka, agama Islam, dan kedaulatnya sebagai satu bangsa di antara bangsa-bangsa yang berdaulat di dunia ini.

MEMUTUSKAN HUBUNGAN

Maka, setiap individu bernama Melayu di negara ini tidaklah boleh digugat atau dirampas haknya oleh orang-orang keturunan pendatang yang menjadi rakyat negara ini termasuk hak-hak hukum dalam Islam. Begitu juga orang Melayu tidak boleh mengganggu, menggugat dan merampas hak rakyat negara ini dari keturunan pendatang atau mereka yang tidah beragama Islam.

Islam telah mempunyuai hukum dan dasar, ‘Allah melarang umat Islam memutuskan hubungan dengan Allah dan hubungan umat manusia, iaitu manusia yang menganut apa-apa agama dan fahaman.1

Untuk mengawal kedudukan ini, bangsa Melayu memerlukan pemimpin yang berpelajaran tinggi, memiliki ilmu pengetahuan Islam, berani dan bijaksana atau yang disebut dalam al Quran, ‘Ulul al bab’. Kalau bangsa Melayu dipimpin oleh orang yang tidak berkelayakan seperti itu, maka lambat laun bangsa Melayu akan hilang harga diri dan tidak dihormati oleh orang lain.

Syarat untuk menjadi pemimpin bangsa Melayu dan umat Islam di mana-mana negara ini, adalah seperti berikut:

1 - Aku, iaitu mempunyai ilmu pengetahuan kenal akan dirinya sendiri sebagai seorang manusia yang telah dijadikan oleh Allah ‘dari saripati air yang hina’2, iaitu air mani yang hasil dari makanan yang ‘halal dan baik3. Manusia yang kenal akan dirinya sendiri tentulah kenal akan Allah.

( 2 ) Allah, Allah yang wujud, maha Pencipta, maha Kuasa, maha Alim dan pendeknya mempunyai sifat 99 seperti yang kita ketahui. ‘Dialah Tuhan, tiada Tuhan selain daripada-Nya, Maha Tahu perkara yang tersembunyi dan yang terang. Dia Pemurah dan Penyayang. Dialah Tuhan, tiada tuhan salin daripada-Nya, Raja pemerintah, Maha Suci, Pembawa keselamatan, Pemeliharan keamanan, Penjaga segala sesuatu, Maha Kuasa, Maha Perkasa, Maha Besar, Maha Mulia (Suci) Tuhan dari apa yang mereka persekutukan (dengan Tuhan). Dialah Tuhan, Pencipta, Yang Mengadakan, Pembentuk rupa. Dan mempunyai nama-nama (sifat-sifat) yang baik. Apa yang ada di langit dan di bumi tasbih memuliakan-Nya (menunjukkan kemuliaan-Nya) dan Dia Maha Kuasa dan Bijaksana.’4

( 3 ) Iman, manusia yang kenal akan dirinya dan kenal akan Tuhannya tentulah dia mempunyai iman kepada Allah, ‘kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak dan Yaakub dan anak-anaknya…’5 iaitu taat kepada Allah dengan mengerjakan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

( 4 ) Ihsan, manusia tidak cukup dengan mengenali dirinya, mengenali Allah dan beriman kepada Allah. Dia beribadat kepada Allah dengan tulus ikhlas seperti dia melihat Allah dan Allah melihatnya. Mempunyai ihsan terhadap manusia. Ada Ihsan maka ada keadilan kepada manusia. Ada ihsan dan adil barulah wujud rasa kemanusiaan dalam diri sendiri dan untuk manusia sejagat dan berperikemanusiaan.

( 5 ) Amanah, sebagai orang Islam walau tinggi mana imannya kepada Allah, masih belum lengkap sebagai seorang Islam kalau dia tidak beramanah. Jika dia tidak memiliki amanah atau mengamalkan Amanah, maka seseorang pemimpin tidak layak menjadi pemimpin.

( 6 ) Akhlak, masih belum sempurna seorang Islam dan mukmin kalau dia tidak mempunyai Akhlak. Kerana Nabi Muhammad telah bersambda, “Aku dibangunkan bagi memuliakan akhlak.” Maka atas nama bangsa Melayu dan beragama Islam, kita memerlukan pemimpin yang mempunyai sifat atau amalan seperti di atas ini. Kalau kita mempunyai pemimpin tidak seperti di atas, sudah tentulah negara kita tidak akan diredhakan oleh Allah, iaitu sentiasa kucar kacir dan tidak saksama.

Semua yang aku telah mencatatkan di atas ini, adalah hasil dari pengajianku dari beberapa orang ulama dan penyelidikanku dari al Quran, al Hadis dan kitab-kitab agama Islam sepenjang masa aku menuntut dan meneruskan kerjayaku sebagai seorang penulis.

1 Quran - Ali Imran:112.

2 Quran - as Sajadah:8.

3 Quran - al Anfal:69.

4 Quran - al Hasyr: 22,23 dan 24.

5 Quran- al Baqarah:136.

(Suntingan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkstkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid)



No comments: