Friday, August 28, 2009

KHUTBAH JUMAAT

'NIKMAT KEMERDEKAAN UBAH GAYA HIDUP

(28 OGOS 2009 / 07 RAMADAN 1430)

Pada hari Jumaat dan bulan Ramadan yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: Nikmat Kemerdekaan Ubah Gaya Hidup.
Pada 31 Ogos setiap tahun, negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan. Setiap kali sambutan ulangtahun kemerdekaan, terbayang dalam fikiran kita bahawa penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan British silih berganti menjajah negara ini selama lebih 500 tahun. Kita amat bersyukur dalam tempoh penjajahan itu penduduk negara ini mampu mempertahankan akidah dan mengekalkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali Imran: 19)

Sejak 1957 hingga kini, negara Malaysia adalah salah sebuah negara yang paling pantas membangun dan membawa kemakmuran kepada rakyat. Pakar-pakar ekonomi meletakkan pencapaian pembangunan Malaysia setanding dengan Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong. Pembangunan pesat ekonomi negara ini telah menyebabkan taraf hidup rakyat meningkat dan gaya hidup sebahagiannya mewah. Mimbar amat yakin pencapaian ini adalah berkat pengorbanan pejuang kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin melaksanakan pengisian program pembangunan untuk rakyat.

Bagaimanapun mimbar mengingatkan bahawa ancaman terbesar gaya hidup mewah ialah makan berlebihan yang menyebabkan bahaya kegemukan atau obesiti. Menurut sumber Kementerian Kesihatan di dapati 4 orang daripada 10 orang dewasa mengalami masalah kegemukan. Pada dasarnya kegemukan mempunyai kaitan rapat dengan penyakit kronik seperti jantung, kanser, strok, buah pinggang dan kencing manis.

Sehingga kini, penyakit yang berpunca daripada jantung menjadi pembunuh utama atau 23% punca kematian di negara ini. Selain faktor ini, merokok juga dikenalpasti antara punca serangan penyakit jantung dan kanser. Pada tahun 2006, sebanyak 21.5% iaitu kira-kira 2.73 juta orang perokok adalah golongan dewasa. Golongan ini dikatakan menghisap sebanyak 33 juta batang rokok sehari dan membelanjakan lebih RM8.59 juta sehari.

Hidup sihat adalah satu kefardhuan dalam Islam. Ini dapat di fahami melalui perintah Allah Subhanahu wa Taala tentang kewajiban puasa. Sesungguhnya puasa itu memberi banyak manfaat antaranya dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit zahir dan batin yang mengancam jiwa dan diri manusia dalam waktu singkat.

Selain aspek rohani yang membantu kekuatan jiwa, puasa pula dalam aspek kesihatan adalah suatu cara bagi membersihkan sistem tubuh badan daripada keracunan atau toksin yang berpunca daripada makanan yang kita ambil. Sesungguhnya sistem tubuh badan manusia sangat unik. Jasad kita bukan sekadar tempat menyimpan makanan, bahkan ia adalah pusat menyeimbangkan makanan. Keseimbangan itu mudah rosak jika kita makan berlebihan.

Justeru, Rasulullah s.a.w. menyuruh kita bersederhana dalam makan dan minum iaitu Hadis Rasulullah sallal Lah alaihi wasallam daripada Miqdad bin M’adikarib yang mafhumnya:

Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bekas yang lebih jahat (hina) melainkan bagi memenuhi perutnya. Sekiranya dia makan memadai dengan suapan yang kecil yang mampu menguatkan tulang sulbinya. Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah disisi perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya.

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Puasa memberikan kita banyak keistimewaan. Antaranya ialah ia dapat mengistirehatkan alat penghadaman dan pernafasan. Sepanjang sebelas bulan yang lepas mulut, jantung, organ, usus dan nafas kita terlalu berat bekerja. Kini bulan Ramadan, kita memberi peluang jentera tersebut untuk memulihkan kembali organ-organ tadi agar kembali berfungsi secara lebih berkesan. Ajaib sekali ciptaan Allah Subhanahu wa Taala ini, dengan berpuasa kita kembali segar. Kesegaran hidup ini memberi semangat baru kepada sel-sel yang ada di dalam tubuh kita.

Apa yang pasti rakyat yang sihat rohani dan jasmani, sanggup berkorban diri demi agama dan negara yang tercinta. Semangat jihad yang diperolehi melalui tarbiyah madrasah Ramadan, benar-benar menghidupkan hati tentang erti pengorbanan dan kemerdekaan melawan musuh. Jika Ramadan musuh utama adalah nafsu, maka musuh negara adalah penderhaka, penceroboh dan tidak taat setia kepada pemerintah yang mengasihi Allah dan Rasul-Nya.

Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar ingin mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian, sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-52 tahun ini dan bersamaan pula dengan bulan Ramadhan al-Mubarak 1430 hijri, marilah kita menjadikan amalan puasa wajib dan sunat sebagai usaha mencegah, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup sihat. Mudah-mudahan keberkatan yang kita peroleh dalam bulan ini meningkatkan lagi kekuatan perasaan cinta kepada negara dan agama.

Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika Aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadanya, (patutkah Aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang Aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang Aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah Aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah Aku berserah diri dan kepada-Nyalah Aku kembali.” (Surah Huud:88)

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajmuan Islam Malaysia – JAKIM.

No comments: