Mokhtar Petah
Pada 18 dan 19 November 2005, satu Persidangan Penerbitan Biografi Malaysia ’05, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA, cawangan Sabah, di sebuah hotel terkemuka, di Putrajaya.
Seramai 18 orang penulis, cendekiawan dan sejarawan telah membentangkan kertas kerja masing-msing dalam persidangan itu.
Dalam ‘Sesi: Setatus Dan Peluang Dalam Penerbitan Biografi’, pembentang kertas kerja ialah: Encik Mat Zin Mat Akib dari UiTM cawangan Sabah, ‘Peluang Dalam Penerbitan Biografi di Sabah’, Encik Roosfa Hashim, ‘Penerbit UKM – Status Penerbitan Biografi Malaysia dan aku, ‘Pengalaman Menulis Biografi Sebagai Kegiatan Harian’.
TOKOH WANITA
Aku telah diberi penghormatan membentang kertas kerja dalam Sesi: Status Dan Peluang Dalam Penerbitan Biografi, bertajuk ‘Pengalaman Menulis Biografi Sebagai Kegiatan Harian’.
Dalam ‘Sesi Projek Penerbitan Biografi’, Datuk Abdul Munir Yaacob, ‘Projek Biografi Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim: Satu Pengalaman Mengetuai Projek’, Puan Siti Aishah Murad dari Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘Kajian Biografi Pengarang Melayu’, Enci Hasron Haron, Ketua Pusat Penerbitan dan Percetakan UKM, ‘ Penerbitan UKM – Beberapa Ciri Biografi dan Autobiografi Daripada Pengalaman Penerbit’ dan Prof. Emeratus Datuk Dr Nik Safiah Karim,’Penghasilan Buku Biografi Tokoh Wanita Malaysia’.
Dalam ‘Sesi Pengalaman Penulisan Dan Penerbitan Biografi I, Sasterawan Negara, Arena Wati, ‘Pengalaman Menerbitkan Enda Gulingku’ dan penyair Zurina Hassan, ‘Pengalaman Menulis Memoir’.
KESARJANAAN MELAYU
Wartawan terkenal dan politikus, Said Zahari, telah membentangkan kertas kerjanya ‘Biografi, Memoir dan Sejarah’ dalam ‘Sesi Pengalaman Penulisan Dan Penerbitan Biografi II, Encik Kassim Ahmad, ‘Dari Hikayat Hang Tuah ke Memoir Kassim Ahmad’, Prof.Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, ‘Penulisan Biografi Ilmiah: Satu Pengalaman’ dan Dr Zahidi Dato’ Hj. Zainol Rashid, ‘Pengalaman Menulis Tiga Buku Biografi Tun Dr Mahathir’.
Dalam ‘Sesi Kepentingan Biografi Dalam Masyarakat’, Prof. Madya Dr. Ding Choo Ming, UKM, ‘Biografi Cina Malaysia Pinggir Aabad 19’, Yang Quee Yee, ‘Memoir Seorang Pengarang Cina Dalam Kesarjanaan Melayu, Selok-belok Pengkajaian dan Perkamusan Bahasa Melayuku’, Dr Nik Anuar Mahmud dari UKM, ‘ Memoir dan Biografi sebagai sumber baru dalam pensejarahan semula Malaysia, Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya, ‘Filem Biografikal: Tuntutan dalam industri sinema Melayu’ dan Tan Sri Ramon V Navaratnam ‘Pengalaman Penulisan Memoir Pentadbir’.
Di antara kandungan kertas kerjaku, ialah:
‘Penulis buku biografi adalah sama dengan penulis sejarah bangsanya. Kalau tulisan itu lari dari fakta sebenar atau ada tujuan negatif, maka setiap pembaca buku itu akan menerima pembohongannya sebagai seorang warganegara yang terpedaya oleh sang penulis yang tidak memegang amanah.
Anak-anak warganegara ini selepas merdeka yang belajar di sekolah menengah, mereka telah terpedaya oleh buku sejarah pemimpin-pemimpin mereka. Mereka disogokkan dengan pengetahuan sejarah, bahawa pejuang pejuang kemerdekaan tanahair ialah Dato’ Onn jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Tetapi apabila mereka telah melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka mendapati ada pejuang lain lagi sebelum Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, iaitu Ibrhaim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmd Boestamam, Shamsiah Fakeh, Mustafa Hussein dan ramai lagi.’
Aku telah mengamati sendiri, bahawa golongan orang Melayu yang menganut keyakinan nasionalisme – nasionalisme kapitalis atau nasionalis acah-acah Islamisme, sama ada mereka berjuang, menjalankan peranan dalam kerajaan dan mengatur kegiatan ekonomi, mereka telah tidak dapat melarikan diri dari ajaran atau pengaruh Inggeris menerusi dasar penjajahan dan Yahudi menerusi kelab-kelab dan perniagaan dan perdagangan. Kekadang mereka itu kelihatan seperti lebih dari orang Inggeris dan bersikap keYahudian dengan tidak mereka sedari terpesong dari ajaran agama Islam dan kebudayaan Melayu.
Mereka memandang sesuatu dari Barat (Inggeris dan Yahudi) seperti satu kuasa mukjizat yang mereka mesti amalkan atau patuhi. Dengan demikian mereka kehilangan peribadi sendiri dalam perjuangan mereka untuk membina bangsa sendiri. Contohnya:
( 1 ) Bahasa: Mereka tidak yakin kepada bahasa ibunda atau
bahasa Melayu dapat digunakan dalam semua bidang
kehidupan rakyat jelata. Mereka mendewa-dewakan bahasa
Inggeris dan memaksa massa menggunakan bahasa tersebut
sebagai kuasa penting untuk bangsa mereka.
( 2 ) Tulisan sebagai tunggak dan dasar ilmu dari bahasa Arab dan
agama Islam, telah dihapuskan sehingga semua dari golongan
muda Melayu (Islam) masa kini tidak pandai menulis tulisan Jawi.
( 3 ) Dengan beralasankan Perlembagaan Negara, mereka seolah-
olah bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk melemahkan
bangsa Melayu dalam semua bidang kehidupan, sehingga
bangsa Melayu menjadi satu kaum sahaja.
( 4 ) Dalam bidang politik orang Melayu sendiri yang berjuang untuk
mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan mengamalkan
konsep ‘Negara Islam’ telah menjalankan langkah-langkah untuk
menghapuskan segala kegiatan yang dilakukan atau dilaksanakan
oleh orang-orang Islam, termasuk untuk menumbangkan kerajaan
Negeri Kelantan yang dibangunkan oleh orang Melayu dan Islam.
( 5 ) Menentang hukum-hukum yang ditentukan oleh Allah dalam Quran
dan mempertikai sesuatu yang telah terpaut dalam agama Islam
seperti menuntuk hak dan kuasa bagi kaum wanita.
(Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Ssharir Aidid)
No comments:
Post a Comment