Mokhtar Petah
dan guru-guru kanan, supaya menjadi pengarang sebuah majalah bulanan – suara sekolah
tersebut - , majalah bahasa Melayu. Aku telah menulis artikel-artikel untuk majalah itu, di
samping itu menyunting artikel-artikel yang disumbang oleh penuntut-penuntut kepada
majalah tersebut.
Semasa aku mengendalikan majalah sekolah itu, aku telah mendapat kerjasama dari seorang guru muda, Ustaz Ahmad bin Haji Hashim (Ahmad Saghir), lepasan sebuah universiti Islam di Pakistan.1 Majalah itu disebarkan secara percuma kepada murid-murid dan ibu bapa di sekolahku dan bebrapa buah sekolah dibawahnya.
Dalam dunia ini, di mana ada manusia, di situ ada perbuatan menghasut, hasad dan perbuatan menjatuhkan orang lain. Beberapa orang rakan di sekolahku telah iri hati kepadaku. Mereka telah membuat beberapa aduan kepada pihak sekolahku mengenai diriku, di antaranya:
( 1 ) Aku tidak datang belajar di masjid pada waktu Subuh.
( 2 ) Aku tidak datang menyertai kawad Pemuda UMNO pada tiap-tiap hari
Khamis yang didakan di sekolah itu.
( 3 ) Aku selalu merayau ke Pulau Pinang.
( 4 ) Aku ada ramai teman-teman yang terdiri dari gadis-gadis.
SAHABAT PENA
Seorang rakanku di sekolah itu telah membuka suratku yang dikirimkan oleh pelakon filem di Singapura, Mariyani binti Ismail. Pada kepala surat (letter head) itu bercetak alamat dan gambarnya, Mariyani adalah salah seorang dari rakan-rakanku dalam Sahabat Pena.
Pada hari aku dihadapkan dalam sidang mahkamah sekolah. Pengadil dalam mahkamah itu, ialah Ustaz Haji Abdul Halim, seorang guru yang disegani oleh para penuntut sekolah tersebut. Sekiranya aku didapati bersalah, ada kemungkinan aku akan dibuang dari sekolah itu.Aku telah menyangkal segala tuduhan-tuduhan ke atasku dan aku memberitahu kepada pengadil, bahawa jika jawapan dan alasanku tidak diterima dengan adil, maka aku sedia berhenti dari sekolah itu.
Pada akhir perbicaraan itu, pengadil telah mengumumkan, bahawa aku telah didapati tidak bersalah dan pihak yang mendakwa telah tidak dapat menunjukkan bukti-bukti yang kukuh. Pengumuman pengadil itu telah disambut dengan tepukan dari penuntut penuntut yang hadir.
Pada masa itu aku telah mengalami kekeringan wang belanja – untuk makan minum dan sewa rumah - , kerana harga getah terlalu rendah. Ibu bapaku tidak dapat mengirimkan wang kepadaku, seperti yang aku memerlukan pada tiap-tiap bulan.
Aku telah tidak mendapat honorium atau sagu hati dari akhbar warta Negara dan akhbar-akhbar lain lagi, kerana aku telah tidak mengirimkan rencana-rencana kepada mereka, di sebabkan aku terpaksa menumpukan perhatian kepada pelajaranku dan majalah sekolah.
RASA MENGGIGIL
Kerana berjimat, selama dua minggu aku tidak makan nasi, hanya makan sebiji biskut lutut (biskut kering, tawar dan keras) pada waktu tengah hari dan sebiji lagi pada waktu malam. Makan pagi dan minum petang telah tidak ada lagi dalam jadual waktuku. Aku hanya meminum air masak atau air sejuk sahaja.
Kerana makanan tidak cukup, maka tiap-tiap hari aku belajar dalam keadaan perut kosong dan seluruh tubuhku rasa menggigil.
Pada satu petang Abdullah Badawi dengan rakannya, Fuad Haji Maliki telah datang ke rumahku. Aku telah menjamu mereka dengan air tea ’o’ dan biskut lutut. Abdullah Badawi gemar makan biskut itu. Dia dan Fuad Haji Maliki makan biskut itu dengan mencelup dalam air tea.
PANDANG TEMBUS
Pada waktu itu hatiku bersuara, ’...budak ni suka makan biskut lutut, ...kalau dia dah besar, pandai, dia akan jadi pemimpin rakyat, ....orang yang tahu makan biskut lutut tahu derita rakyat ..., nelayan, petani...’
Allah telah mentakdirkan, pada satu petang aku tersua dengan Sheikh Abdullah Fahim di halaman sekolah itu. Dia talah memanggil aku dan sebaik-baik sahaja aku tiba di hadapannya, dia telah berkata, ” ...nah ambil duit ni, enta dah tak dak duit,”. Dia telah mengunjukkan wang sebanyak sepuluh ringgit kepadaku.
Pada waktu itu aku telah mengakui, bahawa Sheikh Abdullah Fahim mempunyai ilmu ’pandang tembus’, kerana dia telah mendapat tahu aku tidak mempunyai wang. Dengan wang pemberian Sheikh Abdullah Fahim itu aku telah membeli beras, ikan bilis, gula dan serbuk kopi.
PEMBERITA AKHBAR
Dua hari kemudian, aku telah memaklumkan kepada pengetua sekolah, Haji Ahmad Badawi yang aku akan berhenti dari sekolah itu, kerana masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh ibu bapaku. Mereka telah tidak berupaya mengirimkan wang kepadaku seperti yang aku perlukan.
Aku memberitahu Haji Ahmad Badawi yang aku akan berkhidmat sebagai pemberita surat khabar Utusan Melayu, di Ipoh. Pada masa itu Utusan Melayu masih diterbitkan di Singapura. Abdul Aziz Ishak bertanggungjawab sebagai wakil akhbar itu, di Kuala Lumpur dan sekali gus dia bertanggungjawab atas pemberita-pemberita akhbar tersebut di Ipoh.
Haji Ahmad Badawi telah meminta aku bersabar dan menangguhkan hasratku hendak berhenti dari sekolahnya. Dia telah memberi jaminan akan meminta beberapa orang rakannya supaya membantu wang kepadaku pada tiap-tiap bulan bagi meneruskan pelajaranku.
DERMA PELAJARAN
Tiga hari kemudian Haji Ahmad Badawi telah menghulur kepadaku wang sebanyak $25.00 dan meminta aku menandatangani surat tanda menerima wang tersebut. Dia telah memberitahu aku, bahawa aku akan menerima wang sebanyak itu pada tiap-tiap bulan selama aku menuntut di sekolah tersebut.
Wang itu adalah ’derma pelajaran’ untukku yang telah diwujudkan oleh Yahaya Arif (Kuala Kangsar), Ahmad Awang (Kepala Batas), Haji Ahmad Fuad (Bukit Mertajam), Hashim Awang (Tasik Gelugur) dan tukang kasut, Hashim (Permatang Bertam).
Pada satu petang, aku sedang membaca buku karangan Syed Qutb, Al Adalatul ijtimaiyah fil Islam (Keadilan masyarakat dalam Islam) dalam pejabat sekolah, tiba-tiba guruku, Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin, dari Pekan, Pahang, telah berkata kepadaku dengan wajah yang serius, ”...enta jangan haraplah nak jadi wartawan, pengarang, ...tak usahlah bermimpi, ...berangan-angan, ...pelajaran tak sebanyak mana, nak jadi pengarang macam Hamka ( Haji Abdul Karim Amarullah), ...enta tak akan berjaya.”
SEBAGAI CABARAN
Setelah mendengar kata-kata yang boleh melemahkan semangatku dari guruku itu, aku telah terpegun dan diam sejenak. Aku telah mencari jawapan; adakah kata-katanya itu bertujuan melemahkan semangat aku ataupun untuk mencabar diriku, supaya aku tabah dan berani meneruskan cita-citaku. Aku telah menjadikan kata-katanya itu sebagai cabaran kepada diriku.2
Seorang guru bahasa Inggeris, Murad bin Haji Abdul Rahman (dari Pasir Pelangi, Johor Bharu), telah berkata kepadaku, ”...kalau you tak tau bahasa Inggeris jangan harap nak jadi wartawan, pengarang...., you orang kampung mana ada harapan jadi wartawan...”. Kata-kata guru itu pun telah menjadi perangsang kepada diriku juga.
(Cabutan dari buku, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh Mokhtar Petah. - Editor. Petah Shahrir Aidid.
1 Pada tahun 19790-an dia telah bertugas sebagai guru agama Islam, di Sekolah Menengah Tuanku
Abdul Rahman Ipoh. Sebelum meninggal dunia, dia telah memegang jawatan Mufti Negeri Pulau
Pinang.
2 Pada 26 Jun 1999, aku bersama keluargaku telah menziarahnya di Kampung Ketapang,
Pekan, Pahang. Pada waktu aku dan dia sedang makan buah rambutan di bawah pokok,
dekat rumahnya, dia telah berkata kepdaku, “…ana minta maaf, …ana kata enta di daerah
(Daeratul Maarif Wataniyah, Kepala Batas)dulu…Enta dah berjaya, …ana dah baca
banyak buku karangan enta”. Dia telah menghadiahkan sebuah buku, ‘Cermin Budiman
Bagi Mukmin’ terjemahannya dari buku, ‘ Minhajul Abidin’, karangan Al Iman Ghazali,
diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
1 Pada tahun 19790-an dia telah bertugas sebagai guru agama Islam, di Sekolah Menengah Tuanku
Abdul Rahman Ipoh. Sebelum meninggal dunia, dia telah memegang jawatan Mufti Negeri Pulau
Pinang.
2 Pada 26 Jun 1999, aku bersama keluargaku telah menziarahnya di Kampung Ketapang,
Pekan, Pahang. Pada waktu aku dan dia sedang makan buah rambutan di bawah pokok,
dekat rumahnya, dia telah berkata kepdaku, “…ana minta maaf, …ana kata enta di daerah
(Daeratul Maarif Wataniyah, Kepala Batas)dulu…Enta dah berjaya, …ana dah baca
banyak buku karangan enta”. Dia telah menghadiahkan sebuah buku, ‘Cermin Budiman
Bagi Mukmin’ terjemahannya dari buku, ‘ Minhajul Abidin’, karangan Al Iman Ghazali,
diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
No comments:
Post a Comment