Monday, June 30, 2008

MAJALAH SUARA MASJID


16 editor kendali 16 halaman

Oleh: Mokhtar Petah


Majalah ‘Suara Masjid’, salah satu media menyebarkan maklumat dan hikmat berunsur Islam, menarik minat saya untuk membacanya, tetapi kecewa menyambar hati kerana penyelanggaraan, teknik dan penyampaiannya seperti lepas batuk di tangga.


‘Suara Masjid’ diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malysia (JAKIM) di edarkan percuma di Masjid Putra; Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Pada bulan Jun ini, majalah 16 halaman termasuk kulit itu, telah mencapai bilangan yang ke - 55. Dengan hati yang tulus, saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan para anggota sidang redaksinya.


Majalah ‘Suara Masjid’ telah menjadi bahan sejarah media negara ini paling ramai anggota bahagian pengarang; 20 orang termasuk 10 orang anggota sidang pengarang untuk mengendalikan sebuah majalah 16 halaman cuma.


Kulit depan Majalah Suara Masjid


Saya telah mendapat satu naskhah majalah Suara Masjid bilangan 55 , di pintu masuk ke Masjid Putra, Putrajaya .Saya membaca dari muka depan hingga ke muka belakang. Ketawa mengajak saya bersamanya. Saya ketawa kerana saya mendapati terlalu ramai anggota bahagian pengarang, majalah itu tetapi mutusnya seperti majalah kelas dewasa tahun 1970-an atau pomplet pasaraya yang setiap hari tidak diundang masuk ke peti surat rumah kita.


Saya tidak berkata, tetapi seorang pengamal media berkata, “rendah benar mutunya.”


Pada muka hadapan majalah itu, dengan warna yang seperti merabunkan mata Itu, kelihatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zahid Hamidi sedang berjabat tangan dengan seorang pegawai agama – kelihatan mereka macam sedang berlakon filem komedi.


Sepatutnnya gambar kulit memperlihatkan Zahid Hamidi berjabat tangan dengan pegawai agama itu dalam gambar bentuk besar atau hampir penuh halaman muka depan. Gambarnya menampakkan mereka berjabatan tangan secara mesra. Tetapi gambar kulit majalah tersebut nampak tangan mereka seperti mereka sedang bergaduh.


Sepatutnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggunakan jurugambar yang mahir dan kamera yang baik seperti yang digunakan oleh para jurufoto media swasta.


Gambar-gambar di dalamnya; halaman 3,4,5,7, 8, 9 dan 11 di susun tidak menarik. Kelabu dan terpaksa menggunakan kaca pembesar untuk melihatnya.


Boleh kita melihat ada semacam sakit kandungan majalah tersebut. Perhatikan berikut ini:


* Rencana Ketua Pengarang sepatutnya menggunakan heading atau kepala artikel yang menggambarkan kandungan artikel tersebut. Tidak digunakan ‘Rencana Ketua Pengarang’ sebagai headingnya.


* Semua artikel dalam majalah tersebut tidak menarik atau sesuai dengan sebuah majalah Islam yang popular pada dua negeri yang moden.


* Dalam media umum tidak elok menampakkan mengampu, contohnya, setiap pada nama Dr. Zahid Hamidi ada YB (Yang Berhormat). Mungkin Dr. Zahid Hamidi sedar anggota-anggota sidang pengarang mengampunya.



Semua artikel , dari rencana pengarang hingga ke halaman 15, tidak diedit dengan sempurna (ada kecuaian yang ketara) atau sama dengan kerja sambil lewa.


Pada halaman 12, artikel ‘Mentaati Pemimpin’ memperlihatkan pihak sidang pengarang cuai. Mungkin bukan pengamal media atau individu yang berkeboleh di bidang kewartawanan dan editor yang mengendalikan majalah ‘Suara Masjid’ .Contohnya, nama Tuhan dan ganti nama Tuhan telah menggunakan huruf awalnya dengan huruf kecil. Sepatutnya dengan huruf besar. Banyak ejaan tidak mengikut sistem ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka.


Ayat Quran, Baldatun tayyibatun wa Rabbun Gafur , menggunakann huruf condong atau italic.


Pendeknya, jika diteliti dengan kacamata penulis dan pengamal media, maka saya akui majalah ‘Suara Masjid’ terlalu rendah mutunya dan tidak seimbang dengan keadaan penerbitnya yang mempunyai nama besar.


Agaknya kerana percuma, maka biarlah majalah itu rendah mutunya dan kendalikan oleh individu-individu yang tidak ada ilmu kewartawanan, fotografi, editor dan sebagainya.


Pembaca yang membaca tentunya mengambil kira; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebuah badan yang besar dan serba mampu, di bawah Jabatan Perdana Menteri, sepatutnya majalah yang diterbitkannya tidaklah seperti yang saya jelaskan. Tentunya bermutu tinggi sesuai sebagai majalah agama yang diterbitkan oleh pihak Kerajaan Malaysia, di Putrajaya.


Sebagai pembaca dan rakyat prihatin, 16 editor mengendalikan 16 muka majalah yang tidak bermutu itu, boleh disifatkan mencerminkan ada sikap cuai dan merugikan wang kerajaan yang berpandukan Islam Hadhari.


PETUA

Sebilangan mualim (lebih dari seorang jadi ulama) yang tidak menyertai mana-mana parti politik telah berpetua, untuk menyatukan orang-orang UMNO, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak (para pengikut) dan mereka dari PAS, Haji Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat (para pengikut) – kerana mereka itu sakit - ,baca (jampi) ayat-ayat Quran di bawah ini ke telinga mereka, pada tiap-tiap tengah malam, selama tujuh malam:


Bismillahir Rahmaanir Rahim. Iza maridhtu fahua yasyfin

(Asy Syu’ra:80)

Al haqqu mi Rabbika fala takunuu minal mumtarin

(Ali Imran 60).

Wa’tasimu bihablillahi jamian wala tafarraqu

(hingga akhir; Ali Imran: 103).

Wala takunuu kallazina tafarraquu wa khtalafuu bin ba’adi jaa humul bayyinaatu wa ulaika lahum azabun adzim

(Ali Imran:105).

UMNO DAN PAS BERPADU


DUA PARTI MELAYU AKAN BERKUBUR?

Oleh: Mokhtar Petah


Jika UMNO dan PAS sama-sama ‘keras kepala’ tidak mahu berpadu, besar kemungkinan, pada pilihan raya ke-13, dua parti politik Melayu dan ummah itu akan lemah atau hilang di telan oleh kekuatan golongan Ma’juj dan sosialis demokrasi.


UMNO yang telah berusia kira-kira 62 tahun dan PAS 57 tahun telah amat dewasa, orang Perak kata tuan teben. Tetapi mereka masih tidak berpadu seperti yang diharap-harap-harapakan oleh sebilangan besar ummah pada tahun 1951 hingga pada masa ini.


PAS keras kepala tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. UMNO keras kepada menolak PAS dan menyifatkan parti Islam itu merbahaya kepada negara.


Semua ahli UMNO dan PAS beragama Islam. Masing-masing tidak bersatu. Membawa diri ke hulu dan ke hilir disebabkan pegangan atau fahaman yang tidak sama. UMNO menentang negara Islam dan PAS mahukan negara itu.


Mereka sembahyang di bawah satu bumbung masjid. Berdoa dengan tujuan yang sama:


Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan akhirat, dan peliharalah kami dari azam neraka.


(Al Baqarah:201).


Ya Tuhan kami, janganlah Kamu memesungkan hati kami setelah Kamu memberi petunjuk kepada kami ...


( Ali Imran:8)


Apabila mereka di luar masjid, mereka merayap dan bertengkar dan bermusuhan kembali – macam orang Yahudi dengan orang Arab. Pas kata mereka baik. Umno bangga mereka lebih baik. Tetapi umat Islam yang beriman kepada Allah, amat mengetahui, siapa di antara mereka itu yang baik.


Kalangan orang UMNO masih taksub kepada undang-undang ciptaan manusia (orang-orang England). Kerana taksub itu, apabila Abdullah Ahmad Badawi mengemukakan Islam sebagai amalan dalam UMNO dan kerajaan, ramai orang UMNO yang mahukan beliau turun dari kedudukannya.


Ada yang melemparkan berbagai tuduhan kepadanya. Nasib baik beliau bukan lepasan MCKK, kalau beliau dari maktab itu, tentulah beliau dituduh melakukan liwat juga.


Sebilangan dari ahli-ahli UMNO yang berpengetahuan Islam – lepasan sekolah menengah dan universiti Islam – mahukan Negara Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS, tetapi mereka takut bersuara, kalau-kalau hilang kedudukan dan periuk nasi kering kontang.



Abdullah badawi


Najib



Nik aziz


Pada masa Abdullah Ahmad Badawi beria-ia menyeru rakyat Malaysia menerima Quran dan Sunnah untuk panduan, maka PAS yang hendak ‘merebut kuasa’ dan berusaha menjatuhkan beliau telah mengalah; tidak lagi meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam, kerana takutkan DAP dan mereka dalam Parti Keadilan Rakyat yang liberal dan menganut sosio-demokrasi.


Orang-orang PAS sanggup menghapuskan cita-cita suci menegakkan negara Islam, semata-mata kerana hendak bersahabat karib dengan golongan yang tidak mahukan negara Islam dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri yang taat kepada Allah itu.


Semenjak tahun 1951 lagi, saya menyanjung UMNO dan menyanjung PAS. Tetapi malangnya UMNO yang telah berusia 65 tahun – tua tobin (pinjam cakap orang Perak) masih tegar (bukan tegas) tidak mahukan negara Islam.


Mereka dalam UMNO kini nampaknya telah menjadi orang PAS dan para penganuat sosio-demokrasi, bersemangat untuk menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi. Kini, sebilangan UMNO, ahli PAS dan mereka (orang Islam) dalam PKR telah melanggar sabda Nabi Muhamamad s.a.w.,


“Dengar dan taatlah kamu meskipun yang memerintah kamu itu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering.”


Pada titik koma pergeseran antara UMNO dengan PAS ;UMNO menolak Negara Islam dan PAS telah patah paruhnya uantuk menegakkan negara Islam, maka saya meramalkan, pada pilihan raya ke – 13, kedua-dua parti politik ummah itu akan lumpuh dan hilang di muka bumi.


Para pengundi pada pilihan raya itu nanti yang terdiri dari orang Islam, tidak percaya kepada UMNO kerana menentang negara Islam dan mereka tidak percaya kepada PAS, kerana parti itu telah patah paruh dari menegakkan negara Islam.


Sebilang besar orang Melayu yang tidak mengundi Barisan Nasional (UMNO?) pada pilihan raya ke – 13 kerana parti itu menentang negara Islam, sedangkan dalam konsep Islam Hadhari menyanjung Islam.


Mereka melihat sebilangan besar ‘orang kita’ dalam UMNO, pada ketika berada dalam masjid berkeadaan seperti Abu Bakar As Siddiq dan para sahabat nabi yang lain, tetapi di luar masjid dan di mana-mana, mereka seperti Abdullah bin Ubai di Madinah pada zaman Nabi Muhammad. S.A.W.


Itulah salah satu faktor Barisan Nasional mengalami kekalahan dalam pilihan raya yang ke- 12 yang lalu.


PAS juga akan menghadapi nasib yang sama dengan UMNO, kerana para pengundi Melayu yang tegar iman tidak percaya lagi kepada parti itu, disebabkan tidak lagi memperjuangkan Negara Islam.


Jalan untuk menyelamatkan dua buah parti ummah itu dari berkubur tanpa nisan, maka mestilah berikhtiar untuk bersatu. Kedua-duanya hendakkah jauhkan diri dari perasaan ‘keras kepala’ dan saling menyedari kesilapan dan kesalahan.


Saya amat takut, kedua-dua parti ummah itu akan berlaku tindakan Allah seperti firman-Nya dalam Quran:


Ditimpa ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.


(Ali Imran: 112).


Jika UMNO dan PAS telah berada ditahap firman allah di atas ini, maka, orang Melayu dan ummah akan kembali dijajah diri dan fikiran serta negara mereka oleh golongan yang menentang negara Islam dan menganut fahaman yang anti Islam, Melayu dan Raja Melayu.


Bersatulah UMNO dengan PAS sebelum terlambat atau jangan sampai nasib dimasa telah menjadi bubur.


QURAN

Ditimpa kehinaan (atas segala urusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpa kepada mereka kelemahan (hilang semangat, lemah dan hilang kuasa) demikian itu, kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat (keterangan-keterangan Allah dalam Quran dan tidak melaksanakannya) Allah dan membunuh nabi-nabi dengan tidak patut, Mereka mendurhaka dan melanggar batasan.

Ali Imran: 112.

HADIS

Rasul Allah Muhammad s.a.w. telah bersabda: Baguskanlah pakaian kamu sekalian, aturkan perjalanan kamu semua menjadi sebagai tahi lalat pada manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada kekejian dan yang mengejikan.

Perawi: Al Baihaqi, Imam Ahmad dan Al Hakim.

Saturday, June 28, 2008

KADIR JASIN

“Penulis mesti berani,” katanya.

Wartawan Kadir Jasin mengakui laman blog tidak dapat mengatasi pengaruh surat khabar arus perdana, tetapi ia dapat mempengaruhi orang ramai seperti pada pilihan raya baru-baru ini.

Menurutnya, dulu orang ramai tak kenal laman web dan blog, tetapi blog jadi terkenal kerana surat khabar arus perdana dan para politikus marahkan penulis blog.

Kadir Jasin bekas Ketua Pengarang Kumpulan Straits Times telah bercakap sambil memegang nasi lemak bersama Aziz Desa dalam rancangan TV9 pagi Sabtu.

Kadir Jasin sedang pegang bungkus nasi lemak – gambar kaca TV9

Kadir Jasin sedang bercakap dengan Aziz Desa – gambar kaca TV9

“Saya menulis dalam blog saya apa yang saya tulis supaya orang ramai tahu ..., saya suka menulis,” katanya.

“Penulis blog mesti berani, tapi saya tak tahu, mengapa kita di Malaysia ini ada rasa takut, kalau yang kita tulis itu benar,” katanya lagi.

“ ... ada penulis blog yang menulis menyembunyikan nama, guna nama samaran ...,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, blog sekarang seperti surat khabar pada tahun 1950-an dan 60-an dulu, ramai orang buta huruf, tapi orang terpengaruh dengan surat khabar, kerana orang cakap surat khabar kata ...,” jelasnya.

“Sekarang ini ramai orang buta internet, tapi orang politik kata blog yang kata begitu ..., pada pilihan raya baru ini Barisan Nasional mengalami kekalahan,” jelasnya lagi.

SUARA MASJID

MENTAATI PEMIMPIN

[Artikel ini kami pindahkan dari Suara Masjid Putrajaya, bilangan 55, tahun 7, Jun 2008. Kami mendapati artikel ini membantu orang ramai – sama ada yang berpelajaran tinggi mahupun pelajaran tidak seberapa, untuk membuka minda mereka menjadi orang yang prihatin akan kiri kanan kehidupan mereka.

Editor: Petah Shahrir Aidid]

Masjid Putrajaya

Fiman Allah S.W.T. bermaksud: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Sesungguhnya kau hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini. Para malaikat bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata):

Adakah Kamu (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan pertumpahan darah (berbunuh-bunuhan). Pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dana mensucikanmu? Allah berfirman: Sesaungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kemudian tidak mengetahuinya.

(Al Baqarah:30).


Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat kesepaduan suara dan melaksanakan hukum-hakam (tafsir Quran juz 1). Hukum kewajipan melantik pemerintah atau kerajaan ini tidak menjadi khilaf (silap) di kalangan ulama. Pemerintah ini diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan manusia dan melaksanakan peraturan Allah S.W.T. ke atas hamba-Nya. Justeru itulah Allah S.W.T. menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam firman-Nya bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada Uli amr (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada (kitab) Allah (Al Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(An Nisa:59).


Iman Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat kebanyakan agar taat kepada Allah dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauh segala larangan-Nya, kemudian di tahap yang kedua taat pula kepada Rasulullah s.a.w. dalam segala arahan dan larangannya, kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah.

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlak kerana ia terikat kepada sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan ‘taat’ tidak disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz menyebut:

“Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara maksiat.”

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda dalam banyak hadis, di antaranya:

“Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhaka kepadaku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai pemerintaku dia menderhakaiku.”


Malah Baginda bersabda:

“Dengar dan taatlah kamu meskipun orang yang memerintah kamu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering.”


Ali bin Abi Talib menyebut:

Wajib ke atas pemerintah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah kami mentaati pemerintah.”

Tafsir Qurtubi, juz 4, ms 224).


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Siapa yang mati sedangkan dia tidak memberi perakuan taat setia kepada pimpinan adalah mati dia dalam keadaan jahiliah.”

(Hadis riwayat Imam Muslim).


Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas, ialah:

1. Pemerintah wajib memerintah berasaskan arah dan hukum hakam Allah.

2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepda rakyat mentaatinya.


Inilah konsep pemerintahan dalam Islam. Seorang pemerintah diberi ‘bai’ah’ oleh rakyat untuk memerintah berdasarkan kehendak Allah S.W.T.. Oleh itu rakyat berkewajipan mentaati pemerintah dan memberi sepenuh kepatuhan kepada pemerintah, kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bagi akan dapat menentukan keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara.

Seterusnya rakyat juga hendaklah memberikan kerjasama dan memastikan segala apa yang diperintahkan oleh pemerintah dipatuhi dan dilaksanakan dengan sempurna dan mencapai matlamat. Dengan hal yang demikian terbinalah sebuah negara ‘Baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur’, iaitu sebuah negara yang aman makmur lagi mendapat keampunan dan rahmat Allah.


Insya Allah.

QURAN

Turutlah apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (Quran), dan jangan kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah (syaitan dan mereka yang menentang agama Allah) (tetapi sayang) amat sedikit kamu mengambil peringatan. Dan berapa banyak negeri yang kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduk-penduduknya pada malam hari, atau pada ketika mereka berehat pada tengah hari.

(Al ‘Araf: 3,4.)

HADIS


Rasulullah Muhammad s.a.w. telah berkata: Jika kamu semua terjuak (jumpa) orang-orang jahat, ucapkan salam kepada mereka nescaya dipadamkan oleh Allah kejahatan dan permudahkan mereka (terhadap) kamu sekalian.

Perawi: Anas bin Malik dan Al Baihaqi.

Friday, June 27, 2008

TAFSIRAN RASUAH

RASUAH ITU DOSA

HARTA HASIL RASUAH HARAM


[Amalan rasuah keji. Yang melakukannya berdosa. Harta dan wang hasil rasuah haram. Orang yang melakukan rasuah musuh negara. Dilaknat oleh Allah. Berikut ini disiarkan cabutan dari kandungan buku ‘Basmi Rasuah’, oleh Mokhtar Petah.

Editor, Petah Shahrir Aidid]


Ramai orang yang mempertikaikan erti rasuah. Ada yang mencari jalan cara berfikir sendiri atau fikiran orang lain, supaya perbuatan itu menjadi halal dan hasil rasuah juga halal. Ada yang membawa kepada kebudayaan dan adat istiadat sebagai alasan bagi menghalalkan perbuatan dan hasil tersebut.


Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah, telah bertitah kepada saya, bahawa makan suap atau rasuah, ialah memberi sesuatu kepada orang yang memegang kuasa dalam kerajaan dan swasta dengan tujuan untuk mendapat bantuan atau pertolongan daripadanya bagi mendapatkan sesatu dari kerajaan dan syarikat swasta.

“ Yang terima salah, yang beri pun salah juga, kerana perbuatan itu salah dan berdosa, dilarang oleh Allah dan Rasul-nya,”titah Baginda.

Titah Baginda lagi, “umpamanya, sultan, macam teman ni, terima duit dari orang yang teman akan berikan gelaran atau bintang kebesaran, namanya rasuah juga, menteri besar terima duit dari orang yang mendapat tanah yang di luluskannya rasuah juga.”

“Tok kadi, tok imam terima duit dari pasangan yang hendak kahwin kerana deme tu meluluskan kahwin tu, rasuah juge, “Titah Baginda lagi.

Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman berkata kepada saya, “…saya ke, siapa-siapa sampai tukang sapu sampah atas jalan, kalau terima rasuah tak selamat hidup, Allah kenakan bala.”

Hakim terkenal, Allahyarham Tun Muhammad Sufian bin Haji Hashim telah berkata, Rasuah (corrupt) bahaya kepada kerajaan, rakyat…mesti dihapuskan.

“...tapi perbuatan ini dah jadi amalan dari kalangan istana, pengamal undang-undang hingga kepada ketua kampung dan buruh cuci longkang.”

Pada zaman Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein; seorang rakan saya – Menteri Besar di sebuah negeri, telah berkata kepada saya, “…I terima duit ni (dalam tas kulit kira-kira RM500,000) dari taukeh tu, bukan rasuah, duit ni hadiah kerana I tolong dia luluskan….kepada dia.”


Apabila Tun Abdul Razak, dia telah mengarahkan menteri besar itu memulangkan balik wang itu kepada pemberinya, kalau tidak dia akan mengambil tindakan atas menteri besar itu.

Tafsiran rasuah menurut Undang-Undang Negara Malaysia, sila baca dalam Akta Mencegah Rasuah, dalam ‘Tafsiran Rasuah’ di muka surat lain.

Menurut beberapa orang ulama Islam terkemuka, di antaranya Imam Ghazali, bahawa tumbuk rusuk, makan suap atau sogokan – rasuah -, hukumnya haram. Mereka membuat hukum berdasarkan firman Allah dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w.yang bermaksud:


Mereka mendapat kehinaan di dunia, dan di akhirat (terpaksa) menerima azab yang besar. Mereka yang mendengar untuk berdusta dan memakan yang haram (rasuah).

Allah melaknat – kutuk – pemberi rasuah dan penerima rasuah.



Jika pemberian atau anugerah (dalam apa saja bentuk wang, kebendaan dan budi atau perbuatan) daripada raja-raja pemerintah (termasuk khalifah, presiden, perdana menteri dan sebagainya kepada rakyat jelata dengan tujuan-tujuan tertentu (supaya menyanjung, menyokong, tidak menentang, mendiamkan diri atas tindakan buruknya, mendapatkan undi dalam pemilihan dan seumpamanya) dinamakan rasuah.

Misalnya raja pemerintah atau pemerintah mengambil orang alim bekerja atau dalam kerajaan dengannya dengan tujuan orang alim itu tidak menegur, mengkritik atau menentang keburukannya. Perbuatan itu rasuah.

Rakyat jelata memberi sesuatu atau melakukan kebaikan kepada raja pemerintah atau pemerintah dengan tujuan-tujuan tertentu, seperti untuk mencapai hajatnya, maka hadiah dah perbuatan itu termasuk dalam rasuah juga.

Bertolak dari memahami pendapat di atas ini, maka nyatalah, bahawa perbuatan rasuah amat bahaya kepada sesebuah negara dan rakyat jelata. Ada beberapa buah negara di dunia ini berada di bawah cengkaman penjajah politik atau penjajah ekonomi atau pun golongan Mafia dadah – rakyat jelata menderita, kebuluran dan papa kedana -, adalah disebabkan pemimpin atau orang-orang yang berkuasa di negara-negara itu mengamalkan rasuah.

Perhatikan perbuatan – perbuatan berikut ini yang dihitung dalam kejahatan atau keburukan rasuah:

1. Seorang raja pemerintah memberi hadiah kepada ketua kampung supaya ketua kampung memujuk bapa kepada si gadis bersetuju menyerahkan anaknya untuk menjadi isteri atau gundik raja tersebut.

2. Perdana Menteri atau pemerintah memberi sehelai kain batik atau apa-apa benda kepada seseorang, penduduk, orang ramai dengan tujuan supaya mereka itu mengundi partinya atau menyokong kerajaanya.

3. Seorang pemburu menghadiahkan seekor kijang kepada seorang pegawai polis dengan tujuan supaya pegawai politik itu meluluskan lesen senjata apa kepadanya.

4. Pendatang asing - seorang perempuan muda jelita -, menyerah tubuhnya kepada seorang pegawai imigresen untuk disetubuhi dengan tujuan mendapat pertolongan daripada pegawai itu melindunginya.

5. Seorang petani memberi sekilo sayuran kepada seorang pegawai pertanian dengan tujuan supaya pegawai itu meluluskan permohonannya mendapatkan benih tanaman dari kerajaan.

6. Seorang guru menerima sebatang pena dari pelajarnya kerana pelajar itu meminta dia meluluskannya untuk mendapat biasiswa atau melanjutkan pelajaran dan sebagainya.

7. Guru besar atau guru-guru sesebuah sekolah makan Belanja (percuma) pengusaha kantin sekolah itu kerana guru besar meluluskan tender kantinnya.

8. Mufti atau kadi menerima seekor ikan atau haiwan dari seseorang kerana dia menghukumkan ikan atau haiwan itu halal.

9. Seorang wasi (penerima wasiat) menghadiahkan sesuatu, hatta sebatang rokok kepada pemegang amanah bapa kepada wasi itu agar, dia mengubah kata-kata wasiat atau melebihkan pemberian harta kepada wasi itu.

10. Seorang imam membaca ‘Yasin’ atau ‘sembahyang hajat’ bagi pihak pegawai dengan tujuan pegawai itu melepaskan dia dari sesuatu kesalahan.

11. Seorang pengarah syarikat memberi telefon bimbit kepada seorang pegawai bank supaya diluluskan pinjaman.

12. Seorang kontraktor memberi alat perkakas golf atau bakul bertutup mengandungi makanan kepada menteri, pengarah dan sebagainya dengan tujuan kontraknya diluluskan.

13. Ahli politik menghantar orang-orang partinya untuk mengerjakan ibadat umrah atau haji ke Mekah dengan tujuan supaya mereka mengundinya dalam pemilihan di mesyuarat agung atau mesyuarat agung khas partinya.

14. Mengadakan jamuan hari raya dan menjemput jiran tetangga atau ahli-ahli parti dengan tujuan supaya mereka mencalonkan atau mengundinya dalam parti atau pilihan raya.

15 Seorang bapa mengahwinkan anak lelaki atau anak perempuannya dengan anak seseorang pembesar dengan tujuan pembesar itu akan menolongnya mendapat apa yang diperlukan di bawah kuasa atau pengaruh pembesar itu.


Bagi orang Islam, semua hasil dari perbuatan rasuah – wang, harta bergerak dan tidak bergerak - yang diterima bagi dirinya dan diuntukkan (menanggung) pula kepada isteri, anak-anak dan ibu bapanya serta tanggungnya, hukumnya adalah haram. Maksud Hadis Nabi Muhammad s.a.w. seperti berikut:


Bahawasanya sesuatu yang halal itu jelas, dan yang haram juga jelas, di antara kedua-duanya ada yang samar-samar, yang kebanyakan aman usia tidak mengetahui. Maka sesiapa yang menjaga dirinya dari yang samar-samar (syubhah) itu, maka dia telah membersihkan agamanya dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam yang samar-samar (syubhah) bererti dia telah jatuh ke dalam hal yang haram.


Ingatlah bahawa dalam tubuh itu ada sebuku daging (hati), apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh itu, dan jika daging itu rosak (busuk), maka rosaklah seluruh tubuh itu.



Berdasarkan Hadis Nabi Muhamad s.a.w. di atas ini, maka kerana hasil dari rasuah itu haram, wang dari hasil tersebut haram digunakan untuk amal kebajikan (membantu masjid, anak yatim, kebajikan umat Islam dan segala yang makruf) dan amal ibadatnya sama ada fardu, wajib atau sunat (sembahyang, puasa, zakat dan fitrah, haji dan umrah.) Sesuatu ibadat kepada Allah dengan menggunakan hasil haram dan isi perut,daging, darah,otak dan hati dari yang haram, maka ibadat itu tidak diterima oleh Allah dan tidak sah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya seperti berikut:


Allah tidak menerima sembahyang seseorang yang dalam perutnya makanan yang haram.


Negara kita adalah sebuah Negara Islam yang berkonsepkan Islam Hadhari, maka jika masih menerima pemimpin, penguasa, pegawai dan kakitangan kerajaan dan siapa sahaja melakukan rasuah – tidak diambil tindakan untuk menghukum dan menyingkirkannya,maka amat khuatir negara tidak akan mencapai maksud seperti firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud:


Makanlah rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya! Negara bertuah dan Allah Pengampun (memberi pengampunan).



Walaupun negara kita kaya raya dengan hasil bumi, pertanian, hasil bumi, industri dan berbagai lagi, iaitu makmur, tetapi kerana mengamalkan segala yang haram, seperti rasuah, maka Allah tidak mengampunkan, sebaliknya ditimpa bala dengan berbagai cara, di antaranya berlaku tidak jujur atau tidak amanah di kalangan orang-orang yang diberi amanah dalam kerajaan,syarikat,bank dan sebagainya. Wang berjuta-juta hilang, membelanjakan wang dengan boros berbagai-bagai malapetaka dan kemalangan.

SAJAK

ALTANTUYA SHAARIIBU




Uya,


Dalam kitab suci kami,
Abadi kisah manusia,

Ya’juj wa Ma’juj,

Mongolia
pertiwi sucimu.


Malam kauresah,

Siang kaugelisah,
cinta seorang janda,

menagih janji kekasih.


Uya,

Kaubawa tubuh jelitamu,

Seraga hati sebundut cinta,

Ke bumi kami,

Menjejaki kekasihmu.


Ada
cerita, kauMatahari,
laksana Elina jelita dari rantau,

tahun tujuh puluhan,

kisahmu kisahnya sama.


Uya,

Benarkah kekasihmu di sini,

Atau kautagihi pitih dalalmu,

Nilai sesuap nasi cuma,

Untuk anak tanpa bapa?


Kekasihmu entah di mana,

Pada siapa pitih dalamu,

Ratap hatimu kerana janji,

Derita jiwamu kerana kekasih.


Uya,

Kaujanda jelita,

Pada malam hitam memeluk rimba,

Laksana mercun terbakar,

Bom api memamah tubuhmu.


Matimu tanpa pusara bernisan satu,

Hanya kisahmu meniti bibir manusia,

Seorang janda beranak satu,


Uya,

Rahsiamu, rahsia kekasihmu,

Lelaki mengunci rahsia diri,
Kasihmu agung,

Pada tugu sejarah rantau kita.


Mokhtar Petah

PETUA

Jika tersangkut atau tercekik tulang ikan pada halkum, cuba cara ini:

1 – Ambi air sejuk dan masukkan ke dalam tudung atau penutup periuk.

2 - Baca ayat-ayat ini dan hembuskanpada air itu:

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Wattakhaza sabilihu fil bahri ‘ajaba.

Al Kahf:63)

3 – minum sekadar senafas.

Insya Allah akan berhasil.

QURAN

Orang-orang lelaki munafik dan perempuan-perempuan munafik, satu dengan yang lain sebangsa (sama); mereka menyuruh melakukan yang salah, melarang melakukan yang baik dan mereka menggenggamkan tangan (sangat kikir atau kedekut dan tidak suka berbuat kebaikan kepada orang lain). Mereka melupakan Tuhan ,sebab itu Tuhan melupakan mereka pula. Sesungguhnya mereka yang munafik itu orang - orang yang jahat.

(At Taubah; 67)

HADIS

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Allah tidak akan menerima amal (kebajikan) kecuali yang melakukannya itu seorang yang ikhlas, dan dengan amal (kebajikan) itu dicarinya wajah (keredaan) Nya (Allah).

Perawi:Al Hafiz Al ‘Alai, Abu Uamah Al Bahili,

An Nasaai danAbu Daud.

Thursday, June 26, 2008

WARTAWAN MALAYSIA

JADI ALAT POLTIKUS BERKUASA

Oleh: Mokhtar Petah


Tindakan menyekat para wartawan memasuki kawasan rehat para wakil rakyat, di hadapan pejabat para menteri dan lobi Parlimen oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pendekar Amin Mulia, Isnin lalu, saya melihat para wartawan Malaysia menjadi alat politikus berkuasa dan dihinakan.


Kejadian itu terlah mengingatkan saya kepada peristiwa yang dilakukan oleh Pasuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer, terhadapan wartawan Melayu, Abdul Aziz Ishak yang membuat laporan pertabalan Ratu Inggeris di London, sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.


Templer dengan wajah singa garang telah memekik kepada para wartawan, “He …, rat row journalist.” Kata-kata kesat itu ditujukan kepada wartawan Abdul Aziz Ishak yang mewakili surat khabar Utusan Melayu.


Pesuruhjaya Tinggi British itu telah marahkan Abdul Aziz Ishak kerana ada di antara laporannya di sekitar istiadat pertabalan itu, di istana Ratu Inggeris itu yang tidak sesuai dengan pandangan orang Inggeris.


Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 31 Ogos 1957 - Abdul Aziz Ishak yang berasal dari Kampung Kubu Gajah, Taiping, Perak, telah menyertai kabinet Tunku Abdul Rahman. Dia telah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian.



Kabinet Tunku Abdul Rahman, 1957, duduk paling kiri, Abdul Aziz Ishak. Gambar Arkib Negara Malaysia.


Pada Isnin lalu, seorang ‘the man’, seorang yang dikira berkedudukan tertinggi dalam kerajaan Malaysia yang menghormati kebebasan wartawan, Amin Mulia, telah bersikap sama dengan Pesuruhjaya British itu.


Sekadarkan Amin Mulia dengan bertindak menggunakan kuasa sebagai Speaker Dewan Rakyat, mengadakan peraturan yang diibaratkan ‘lebih sumbi dari gigi’ itu telah menyekat kebebasan para wartawan.Tetapi pada hakikatnya; di segi moral seorang pemimpin dan politikus berkuasa, beliau melihat wartawan seperti sampah yang akan diangkut ke pusat kitaran semula sahaja.


Amin Mulia orang baru, tetapi dengan pengetahuan yang tinggi dalam dirinya, beliau tidak sepatutnya bertindak demikian. Beliau patut tahu pengetahuan am; membeza tugas wartawan dengan tugas pemandu keretanya atau tugas seorang jurutaip.


Sesiapa yang telah belajar ilmu kewartawanan tentulah telah bertemu dengan kata-kata yang begini “Wartawan tidak boleh mencarikkan punggung seluarnya atas kerusi, tetapi mestilah menghauskan tumit kasutnya.” Ertinya wartawan mesti berjalan mencari bahan berita untuk medianya.


Wartawan yang bertugas di Dewan Rakyat tentulah bukan jurutaip. Mereka tidak melaporkan ucapan-ucapan para wakil rakyat (termasuk Speaker) dalam Dewan Rakyat sahaja, tetapi mereka perlu menemui individu-individu tertentu di dewan legar atau lobi Parlimen dan di tempat-tempat terbuka lainnya.


Saya sebagai wartawan telah bertugas di Dewan Parlimen sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga zaman Dr.Mahathir Mohamad, tidak pernah mengalami penghinaan terhadap wartawan seperti Isnin lalu.


Saya tidak menuduh, tetapi saya mengagakkan, perbuatan Amin Mulia itu seperti cuba mencalarkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau sekurang-kurangnya, biar pada masa Perdana Menteri kelima ini dia ‘mengajar wartawan’ supaya takut kepadanya.


Saya berharap Amin mulis mencubakan dirinya sebagai insan yang menghormati golongan wartawan (penulis dan pengarang). Kerana hormat sedemikian tidak merugikannya. Pebuatan itu bagi Amin Mulia yang berkedudukan tinggi seperti ular menyusur akar tidak hilang bisanya.


Dengan tindakan Amin Mulia itu, maka kemasyhuran Parlimen sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga kini, telah terpalit warna hitam dalam sejarah dewan mulia itu, iaitu ‘Speaker anti wartawan’.


Kalau Tunku Abdul Rahman masih hidup, tentu dia menegur tindakan Amin Mulia itu.


Tetapi mujurlah para politikus yang boleh saya kira ‘orang sibilisasi’ – ahli-ahli Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Aziz, Datuk Halimah Mohamad, Datuk Mat Sirat Abu, Datuk Abdul Rahman Dahalan dan Datuk Tajuddin Abdul Rahaman dan beberapa orang lagi telah mengubah papan road block – Ruang Khas Media - kepada wartawan itu.



Para politikus ‘orang sibilisasi’ sedang mengubah papan tanda ‘Ruang Khas Media” – gambar Berita Harian.


Sambil mengucap terima kasih kepada Amin Mulia kerana telah mencatatkan warna hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia, saya teringat beberapa pengalaman telah berlaku atas diri saya sepanjang masa saja bekerja sebagai wartawan.


Pada tahun 1960-an, iaitu pada masa berlaku krisis politik di Negeri Perak – antara Menteri Besar, Dato’ Shaari Shafie dengan tokoh UMNO Hilir Perak, Sulaiman Bulon, saya telah disekat di jalan raya dekat Jambatan Iskandar, Kuala Kangsar, oleh wakil rakyat, Ustaz Khalid Abbas, wakil peribadi Shaari Shafie, Shafie Mat Saman dan beberapa orang lagi. Saya nyaris dipukul oleh mereka.


Pada tahun yang sama, saya telah ditumbuk dalam kedai gunting, di Bandar Kuala Kangsar oleh Ketua Parti Rakyat, Padang Rengas, Rashid Ali kerana saya telah menulis ucapan Tun Abdul Razak mengecam parti tersebut.


Kejadian yang menakut dan mengembirakan telah berlaku atas diri saya di bilik sebuah hotel terkenal, di Bandar Ipoh. Pada satu malam, saya telah dijemput oleh beberapa orang wanita UMNO ke hotel itu kerana mereka hendak memberi satu kenyataan berhubungan dengan tulisan saya dalam surat khabar.


Apabila saya masuk ke bilik tempat mereka menunggu saya, tujuh orang wanita UMNO yang badan masing-masing gemuk mengguni, telah memeluk saya dan menindih tubuh saya atas katil. Saya jadi lemas dan hampir menjerit. Tetapi mereka tidak memukul atau berbuatan lain ke atas saya.


Sebaik-baik sahaja mereka melepaskan saya, mereka memberitahu, bahawa berita yang saya tulis itu walaupun benar, tetapi memalukan mereka. Kemudian mereka menjamu saya dengan makan dengan makanan yang enak dalam coffee house hotel tersebut.


Apabila berlaku krisis politik – antara Menteri Besar, Tan Sri Ghazali Jawi dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah, pada tahun 1977, kerana tulisan saya dalam surat khabar, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak telah mengirim surat desakan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie supaya menangkap dan menahan saya di bawa ISA.


Seminggu kemudian Ghazali Shafie pada ketika datang ke Ipoh, dia telah memberitahu perkara itu. “Apa sebab I nak tangkap …, nak tahan you bawa ISA, you bukan orang kominis ...,” katanya.


Pada masa berlaku kritis politik antara Menteri Besar Dato Seri Wan Mohamed Haji Wan Teh dengan Sultan Perak, Sulran Idris Shah, 1977. saya hampir dipukul oleh beberapa orang pemuda UMNO Grik, dalam Coffee House dalam Bandar Ipoh, pada satu malam.


Ekoran dari tindakan mereka itu, Sultan Perak telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam. Tidak lama kemudian Wan Mohamed terpaksa meninggalkan kerusi Menteri Besar Perak.


Saya bersyukur, kerana Allah menggerarkan orang-orang itu bertindak atas diri saya, maka saya meneruskan kerjaya saya dan hingga kini saya mengaku, ‘saya akan terus menulis sehingga ada orang menulis sesuatu atas kain kapan saya’.

Pandikar Amin Mulia-Sinar Harian

Tindakan Amin Mulia elok dijadikan pengajaran oleh para wartawan, bahawa kebanyakan orang politik menggunakan wartawan sebagai anak tangga mereka melonjak ke atas, apabila mereka berada di atas, anak tangga itu ditolak ke bawah.

SULTAN AZLAN INGATKAN RAKYAT

HAK ISLAM TIDAK BOLEH DICEROBOH


“Islam adalah agama yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat, menyeru kepada keamanan dan mempelopori keamanan.

“Islam adalah agama yang diberi pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara. Islam mempunyai talian dan ikatan sejarah yang istimewa dan lama dengan kedudukan wilayahnya.

“Islam adalah tunjang utama dalam pembentukan minda dan budaya, khususnya kalangan orang Melayu di bumi ini hinggakan umat Islam dan orang Melayu sinonim dan tidak boleh dipisahkan.

“Berdasarkan latar belakang sejarah itu, Islam diterima dan diktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan serta perlindungan dalam negara ini sewaktu perjanjian mereka dirintis.”

Sultan Perak telah bertitah demikian pada waktu merasmikan Dewan Undangan Negeri Perak penggal pertama yang ke – 12, di Ipoh, Selasa lalu.

Titah Sultan Perak itu seperti memberi peringatan kepada orang-orang bukan Melayu dan beragama lain dari Islam supaya melihat jauh ke hadapan, iaitu tidak boleh mempersendakan agama Islam, kerana selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak diceroboh, maka selama itu keamanan wujud di negara ini.

Peringatan Sultan Perak itu patut diperhati dan menjadi homeworks bagi mereka yang beragama lain dari Islam dalam Dewan undangan Negeri Perak khasnya dan seluruh negara amnya agar tidak kelabu mata melakukan penghinaan dan pencerobohan ke atas umat Islam.


PELANCARAN MINGGU PELAYARAN

PUTRAJAYA


Putrajaya: Bekas Ketua Setiausaha Negara merangkap Presiden Perbadanan Putarjaya, Tan Sri Shamsuddin Osman telah melancarkan ‘Minggu Pelayaran 2008” Tasik Putrajaya di sini hari ini.


Beliau berkata, inilah kali pertama pelayaran dalam tasik diadakan di negara ini.


Katanya, “Untuk makluman, Putrajaya Sailing Week 2008 ini adalah kejohanan peringkat antarabangsa yang julung kalinya dianjurkan oleh Kelab Tasik Putrajaya, dengan kerjasama pihak Perbadanan Putrajaya dan Sail Putrajaya.


Mungkin kita biasa melihat pertandingan perahu layar yang diadakan di atas laut, tetapi keunikan Putrajaya Sailing Week ini adalah ianya pertama bagi kejohanan seumpamanya di Malaysia, yang dilangsungkan di atas permukaan tasik seperti Kejohanan Pelayaran Eropah di Tasik St. Moritz, Switzerland dan Tasik Garda, Itali.


Jesteru di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak jawatankuasa penganjur yang diketuai Kelab Tasik Putrajaya, di atas inisiatif dan usaha dalam menganjurkan kejohanan ini, yang bukan sahaja dapat mempromosi, bahkan menambahkan lagi keceriaan dan pengisian aktiviti Tasik Putrajaya, sejajar dengan visi menjadikan Putrajaya sebagai sebagai ‘Destinasi Rekreasi dan Sukan Air yang terunggul di Malaysia’.


Sebagai permulaan, sebanyak tujuh disiplin utama akan dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu Optimists, Lasers, International 420, International 470, Access 2.3 (OKU), Radio Controlled dan Corporate Sailing. Saya difahamkan bahawa sambutan yang diterima daripada para peserta begitu menggalakkan. Setakat ini, sebanyak 160 pelayar telah pun mengesahkan penyertaaan termasuk daripada luar neagara seperti Jepun, Singapura, Hong Kong, Australia, Englad dan Poland dan dijangkakan sebanyak 50 lagi penyertaan akan diterima menjelang kejohanan.


Saya ingin menyeru agensi-agensi serta wakil-wakil komuniti dan pengetua sekolah khususnya daripada Putrajaya yang hadir pada hari ini, agar dapat mengambil peluang menyertai kejohanan ini, bagi mencungkil dan mengasah bakat-bakat Putrajaya dalam acara perahu layar ini.


Saya juga amat berharap, kejohanan ini akan terus mendapat sokongan khususnya daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, dan Kementerian Wilayah Persekutuan pada masa hadapan agar ianya dapat dijadikan sebagai acara tahunan bagi meningkatkan lagi prestij kejohanan ini.


Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kelab Tasik Putrajaya, Sail Putrajaya, Malaysian Yatching Association(MYA), Singapore RC Team, Tentera Laut Diraja Malaysia, para peserta serta pihak lain yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.