Tuesday, January 19, 2010



Majoriti umat Islam Malaysia cintakan keamanan - PM

PUTRAJAYA 18 Jan. - Majoriti umat Islam di Malaysia mencintai keamanan dan tidak menyetujui keganasan ke atas penganut agama yang mengamalkan kepercayaan berbeza.

Dalam temuramah dengan akhbar Arab Saudi, Okaz kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam di negara ini adalah mereka yang berfahaman sederhana dan tidak berniat mencederakan orang lain atas alasan agama.

"Saya ingin menjelaskan bahawa hanya terdapat sebuah gereja yang dibakar, itu pun hanya pejabat pentadbiran yang terbakar.

''Kejadian ini tidak harus dilihat sebagai percubaan oleh penduduk Islam untuk menyerang gereja-gereja secara besar-besaran.

''Situasi di Malaysia adalah terkawal dan campur tangan kerajaan berjaya memenangkan keadaan dengan segera," kata beliau ketika ditanya oleh wartawan akhbar berkenaan sama ada isu itu petanda bahawa kegiatan ekstremis kian meningkat di Malaysia.

Najib berada di Arab Saudi dalam rangka lawatan kerja empat hari.

Perdana Menteri berkata, beliau sebenarnya terkejut dengan nasihat pelancongan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas ke atas warga asing berikutan isu gereja berkenaan.

"Saya agak terkejut dengan nasihat pelancongan ini.

"Kita tidak mempunyai sebarang maklumat yang kukuh menunjukkan ancaman ini timbul," katanya.

Ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam mengubah imej Islam di Barat, Najib berkata, kuncinya ialah melalui komunikasi dengan dunia dan membolehkan mereka memahami ajaran Islam sebenar.

"Contohnya, pelancong yang melawat Malaysia terkejut dengan keadaan masyarakat Malaysia yang terbuka, sederhana dan progresif.

''Mereka terkejut melihat hubungan yang erat antara penduduk Islam dengan bukan Islam serta sifat ramah mesra kita terhadap warga asing termasuk mereka dari barat,"' katanya.

Kata Perdana Menteri: "Bagaimanapun terdapat segelintir kambing-kambing hitam yang menyeleweng tetapi ia tidak harus mengubah pandangan orang terhadap pendirian Malaysia yang sentiasa melindungi hak bukan Muslim."

(Berita ini diambil dri Utusan Malaysia Online, 19 Januari 2010)

No comments: