Sunday, January 10, 2010

KISAH DARI NOVEL



CURANG


Pada petang itu, langit Putrajaya, biru. Cerah. Indah. Awan putih berarak mengusap mesra dadanya. Udara berhembus nyaman dari selatan ke utara. Cahaya matahari memeluk seluruh kawasan baru yang menjadi kebanggaan negarawan itu.

Bayangan bangunan Perdana nan gagah dan Masjid Putra yang indah menari-menari atas permukaan tasik itu. Airnya jernih. Riak-riak bunga ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Sebuah jambatan indah yang merentangi tasik itu bersinar dalam cahaya matahari petang. Beberapa ekor merpati hinggap atas tembok batu jambatan tersebut. Sepasang bangau terbang dari teluk tasik menuju ke tepi pagar kawasan bangunan pejabat perdana menteri.

Hati lelaki Profesor Hamidi dimamah hiba pada ketika dia menatap bangunan Masjid Putra yang terletak, di pinggir tasik arah ke sebelah kanannya. Terhimbau ingatannya kepada kesan-kesan sejarah pemerintahan Nabi Muhammad, di Bandar Raya Madinah, pada masa silam.

“Muhammad, kau pemimpin, pemantap iman dan ihsan, pengagung amanah ..., penyempurna akhlak anak jagat ini ...,” bisik Profesor Hamidi.


Tokoh Koporat


Profesor Hamidi berdiri di tepi hadangan berenda Kelab Tasik Putrajaya. Dua puntung tangannya diletakkan atas palang hadangan itu. Sebentar tadi dia telah bercakap-cakap dengan rakannya, Datuk Molok, ahli perusahaan dan perniagaan terkenal pada zaman pemimpin keempat negara ini. Dalam kepalanya masih terngiang-ngiang percakapan tokoh korporat itu.


“... you taulah, Prof., berniaga macam kami ..., tak boleh elak dari amalan rasuah ..., kena hulur ..., suap ...,” kata Datuk Molok.

“PM tak tau ..., dah berbuih air liur, dah bergoyang gigi dia bercakap fasal rasuah ..., cegah rasuah ..., rasuah musuh negarala ..., macam-macam lagi ..., tapi ada orang politik di bawah ketiak dia ..., ada beberapa orang pegawai kerajaan dari atas sampai ke bawah buat juga ...,” percakapan Datuk Molok putus.

“Kalau I tak hulur ..., tumbuk rusuk kepada orang politik ..., pegawai tu ..., jangan harap I boleh dapat projek yang syarikat I minta...,” suara Datuk Molok terluah lagi.

“Eh, ia ke ..., Datuk?” Profesor Hamidi.

“Ia, kalau tak unjuk..., tak hulur ..., walau pun projek tu Perdana Menteri anugerah ..., sokong ..., tak dapat ..., lesap ..., melepas ..., orang lain yang dapat ...,” jawab Datuk Molok dengan mulutnya memuncung.

“La ni, nak minta selori pasir sungai pun kena beri rasuah ..., tak tanah tapak rumah kena hulur ..., permit itu, permit ini kena hulur ..., ” Datuk Molok bercakap sambil menolak secebis daging isi Fish & Chips di hujung garpu ke dalam mulutnya.

You tau, my friend ..., gentlemen kena tangkap khalwat ..., dia hulur ..., lepaaas ..., kalau tak hulur, kena punya ...,” Datuk Molok bercakap sambil mengunyah baki isi ikan dalam mulutnya.

“Ha, ni satu cerita baik, I nak beli kereta baru..., I pergi ke sebuah syarikat orang kita ..., banyak kereta import, kereta mewah di lapangan pameran kereta,” Dato Molok mengalih ceritanya.

“Kasihan dia tu, kereta tak boleh jual ..., semuanya bounded ..., kerana tak dapat AP...,” cerita Datuk Molok lagi.

“Ia ke ..., mengapa, dia tak minta AP ke?” Profesor Hamidi bertanya.

“ ... dah berpuluh lebih sepuluh tahun dia berniaga kereta, berpuluh kali dia minta AP kepada menteri perempuan tu, tapi tak dapat,” jawab Datuk Molok.

“Hairan, macam mana tu ...?” Profesor Hamidi bertanya lagi.

“ ....entah, saya pun tak tau, syarat untuk dapatkan AP dah cukup, duit ada, tanah tempat pamer kereta ada, pendeknya semuanya cukup ..., tapi ..., you faham-faham le ...,” jawab Datuk Molok.

“Ada yang tak kena di kementerian tu kut ...,”kata Profesor Hamidi.

“ ... tu memang le ..., nak jual AP, dia terpaksa sewa AP orang lain ..., kena bayar berpuluh ribu ..., kalau nak kira sekeping kertas AP tu enam puluh sen aje ...,” terang Datuk Molok.

“Kalau macam tu, tukar lainlah menteri tu ...,”kata Profesor Hamidi.

“Tengok le lepas pilihan raya nanti ..., tentu PM tak ambil dia lagi ...,” kata Datuk Molok.

“ ...mungkin PM atau orang yang bertanggungjawab tak jenguk ke bawah..., percaya kepada orang bawah..., sedangkan mereka itu tak beramanah,” kata Profesor Hamidi.

“Ia, betul sangat, curang kepada PM, depan PM nampak setia, jujur, tetapi di belakang PM ..., eee, tak guna cakap, saya tau le ...” sambut Datuk Molok.

“Kalau macam tu macam mana Bumiputera nak maju dalam ekonomi ...,”kata Profesor Hamidi.

“Ha, ia, kalau macam tu le sampai bila pun Bumiputera tak dapat maju ..., ramai yang berniaga buluh kasap ...,” sahut Datuk Molok lagi.


Sejarah Islam


Percakapan Datuk Molok telah lenyap dari ingatan Profesor Hamidi. Terlintas pula dalam otaknya akan beberapa fakta dalam sejarah Islam yang dikajinya untuk mendapatkan ijazah sains politiknya dulu. Nabi Muhammad menegah umat Islam melakukan rasuah. Junjungan pernah marahkan seorang amil yang telah mengambil habuan untuk dirinya sendiri dari pihak yang membayar zakat kepadanya.

Nabi Muhammad telah menolak rasuah dari pihak hartawan kafir Quraisy Makkah. Hartawan itu telah menawarkan wang, harta dan kekayaan kepada Junjungan jika Junjungan meninggalkan tanggungjawab baginda sebagai rasul Allah.

Junjungan juga telah memberi amaran kepada pengamal-pengamal rasuah. Sabda Junjungan,

Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah, dan orang tengah.”


Timbul Perasaan


Kisah dalam sejarah, Nabi Sulaiman telah menolak rasuah emas, berlian dan wanita-wanita cantik dari Maharani Balqis dari Saba, telah timbul perasaan tanggungjawab dalam hati Profesor Hamidi untuk menulis sebuah memorandum kepada Perdana Menteri, agar pemimpin negara itu bertindak tegas dalam usaha membasmi rasuah di negara ini.


Masya Allah ...,” suara Profesor Hamidi dalam keluhannya.


Pada ketika itu Profesor Hamidi teringatkan dua orang rakannya yang telah melakukan rasuah. Mereka hidup dalam keadaan kaya raya. Mewah. Tetapi menderita di hujung hayat masing-masing. Seorang telah meninggal dunia kerana sakit barah usus dan barah otak. Sebelum dia meninggal lebih tiga bulan dalam keadaan koma. Kira-kira sebulan sebelum dia meninggal dunia, isteri mudanya telah melarikan diri bersama seorang lelaki pendatang asing.

Rakannya yang seorang lagi, jutawannya, tubuhnya telah menjadi sarang penyakit kencing manis, darah tinggi, buasir dan bermacam penyakit lagi. Usianya telah tiba di perbatasan antara hidup dengan matinya. Pada satu petang, di banglonya, pada ketika dia sedang menuangkan arak ke dalam ususnya, malaikat maut telah datang meragut nyawanya. Setelah dia dipindahkan ke liang lahad, dua orang isteri dan sebelas anaknya hanya menerima sedikit pusaka. Hutangnya pada beberapa buah bank lebih empat puluh juta ringgit.


Profesor Hamidi melayan fikirannya, ‘... mereka yang melakukan rasuah musuh negara, musuh rakyat, musuh bangsa, musuh agama Islam ....’

‘Untuk menghapuskan amalan rasuah, perlu di wujudkan ‘pasukan sulit’ atau ‘jihad group’ yang berjihad untuk negara ..., semua anggota pasukan ini menjalankann peranan membunuh siapa sahaja yang melakukan rasuah ...,’ menjelma dalam fikiran Profesor Hamidi.


Didikan Ibu


Profesor Hamidi terasa tubuhnya menggigil. Risau. Gerun. Takut mendera fikirannya. Hatinya ikhlas mengucap syukur kepada Tuhan. Berkat didikan ibu bapanya, ilmu pengetahuan yang telah ditimbanya, Tuhan telah mentakdirkan dirinya menjadi seorang yang terhindar dari melakukan amalan rasuah.

Iman Profesor Hamidi kepada Allah menjadi kota waja melindung dirinya dari kejahatan. Ihsan dan amanah membentuk peribadinya menjadi manusia yang menyayangi orang lain. Akhlak mulia telah mengangkat dirinya ke martabat manusia berjiwa kemanusiaan sejagat.

Profesor Hamidi bersyukur lagi kepada Tuhan, kerana dengan taufik dan hidayat-Nya, sedikit sebanyak hartanya dan isterinya, walau sebesar biji lenga, tidak ada hasil dari amalan rasuah.


“Negara yang tidak mencegah amalan rasuah, tidak akan selamat, lambat laun negara itu akan terjerumus ke dalam kemiskinan, kepapaan ..., rakyat menderita,” Profesor Hamidi teringat akan ucapan seorang mualim di Centre For Islamic Studies University of Wales, United Kingdom.

“ ... kalau pemerintah pejam mata terhadap amalan rasuah, walau sekaya mana kaya negara itu, tetapi rakyat miskin, papa, menggigit jari juga ...,” ucap mualim itu lagi.

“ Ia, rakyat menjadi macam orang lapar menggigit tulang haiwan, darah merah pada tulang disangkanya darah tulang yang digigitnya, tetapi sebenarnya, darah itu, adalah darah dari gusinya sendiri ...,” mualim itu melanjutkan ucapannya..

Ujar mualim itu, “ ...yang dikatakan rasuah bukan sahaja di peringkat rakyat, bahkan para khalifah, presiden dan pemimpin yang memberi bantuan kepada orang ramai dengan tujuan supaya orang ramai menyokong mereka, untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya atau untuk mengekalkan kekuasaan mereka, itu pun rasuah juga.”

“Allah tidak reda, tak beri keampunan kepada pemimpin dan negara yang berdiri dengan hasil haram atau membiarkan amalan rasuah di kalangan para menteri dan pegawainya ...,” ujar mualim itu lagi.


‘Negeri bertuah, Allah Maha Pengampun.’ Profesor Hamidi teringat pula akan firman Tuhan dalam Quran mengenai negeri Saba – sekarang Yaman.


Banjir Besar


Dalam sejarah, Saba sebuah negeri yang ada Ampangan besar untuk pertanian. Negeri makmur diperintah oleh Maharani Balqis. Kerajaan dan rakyat negeri itu menyembah matahari. Setelah Maharani Balqis memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Nabi Sulaiman, negeri itu dimusnahkan oleh Tuhan dengan banjir besar. Ampangan yang menjadi kebanggan rakyat negeri itu roboh.


‘Banyak negeri pada masa silam dimusnahkan oleh taufan, gempa bumi ..., berbagai lagi ..., semua itu kerana pemerintah dan rakyatnya tidak mengikut petunjuk Allah ...,’ Profesor Hamidi terhimbau kepada kisah dalam sejarah Negeri Saba.


Dua bola mata Profesor Hamidi terhumban kepada sebuah perahu layar dalam tasik di hadapannya. Dari perahu layar itu, sepasang bola matanya berpindah pula kepada sepasang bangau yang sedang terbang di seberang sana. Tiba-tiba dia teringatkan isterinya, Dr. Nur Azura yang terpisah jauh daripadanya.


“ ...Zura, sayang, abang rindukan Zura ...,” bisik Profesor Hamidi.

“Kita berjauhan sayang ..., abang, abang rindukan sayang,” bisiknya lagi.


Pada saat itu Profesor Hamidi teringat akan sinis mata dan tahi lalat isterinya. Dua ulas bibir isterinya yang merah. Basah.


“Yang,abang di sini, sayang ...,” bisik Profesor Hamidi.


Mengirim Surat


Rongga dada Profesor Hamidi terasa sebak. Rindunya kepada isterinya di beban pula oleh rindunya kepada dua orang anaknya yang telah lebih lima tahun tidak menjenguknya.


“... agaknya Farid, Eton dah lupa ayah di sini ...,” bisik Profesor Hamidi dalam keluhannya.


Anak lelaki Profesor Hamidi, Ir.Farid Kamil bekerja dalam sebuah syarikat di Jepun. Isterinya seorang wanita Inggeris. Semenjak dia meninggalkan bapanya, dia tidak pernah menelefon dan mengirim suara kepada orang tua itu.

Anak perempuan Profesor Hamidi, Dr. Zaitun telah mengikut suaminya ke Australia. Suaminya pengarah dalam sebuah syarikat yang menjalankan perusahaan makanan di sana.

Dr.Zaitun seperti abangnya juga. Dia tidak pernah menelefon dan mengirim surat kepada bapanya.


Mengopak Hati


Pada petang itu seketul hati Profesor mengembara ke Tokyo dan Australia. Tetapi dia gagal menemui mereka.Sedih seorang ayah mengopak hati Profesor Hamidi.


“ ...alhamduliillah, walaupun anak-anakku telah melupakanku, tapi aku syukur kepada-Mu, Tuhan, Kau telah menciptakan mereka, melahirkan mereka ke dunia ini,” suara hati Profesor Hamidi.

“ ...aku seorang bapa, hanya sebagai sepohon pokok di tepi sungai, biji-biji buahnya luruh, hanya ke hilir sungai ..., lalu tumbuh di mana-mana ...,anak-anaknya tidak kembali menjenguknya,” hati Profesor Hamid bersuara lagi.


Dengan menggonggong seketul hatinya yang lara, Profesor Hamidi telah bergerak dan meninggalkan berenda Kelab Tasik Putrajaya itu. Dia berjalan menuju ke keretanya yang terletak di lapangan letak kereta. Kepalanya terasa berat kerana rindukan isteri dan dua orang anaknya.

Dari tempat letak kereta itu, dia memandu keretanya melalui jalan raya Presint 8 menuju ke Jambatan Putra yang merentangi Tasik Perdana itu.

Pada waktu kereta Profesor Hamidi berlari atas jalan raya di hadapan Wisma Putra - Kementerian Luar Malaysia, kesepian mencengkam perasaannya. Kesepian seorang lelaki yang jauh dari isterinya. Rindu mendera hatinya.


“Lelaki yang sempurna tak boleh hidup bahagia kalau tak ada isteri ...,” suara hati Profesor Hamidi seperti melaungkan kepada semua lelaki di dunia ini..

“Yang, abang di sini, rindulah ...,” bisik Profesor Hamidi.


(Petikan dari novel, Air Mata Kering Di pipi, oleh:Mokhtar Petah)

No comments: