Tuesday, January 19, 2010

CATATAN SEJARAH

Mokhtar Petah

Kampung Rabai Tujuh. Kampung ini, pada tahun 1950 – an teletak dalam rimba raya yang menjadi sempadan antara daerah Kuala Kangsar dengan daerah Kinta atrau daerah kecil Ipoh.

Apabila lebuh raya utara selatan dibina, di tengah sebahagian kampung itu menjadi kawasan lebuh raya.Sesiapa yang melintasi kampung itu pada siang hari akan dapat melihat rumah – rumah kampung di kiri kanan kampung tersebut.

Kampun tua itu terletak tidak jauh dari perhentian lebuh raya, di tepi sungai Perak, Kampung Manaora, Kualas Kangsar.

Di kampung itu lahir beberapa orang tokoh pendidik, di antaranya Mohd. Kasim Haji Din (guru agama Malay College Kuala Kangsar dan kemudian menjadi wakil rakyat), Haji Tahir bin Jais, Mahmud bin Haji Din dan Abdul Halim bin Haji Din.

Haji Tahir bin Jais telah menuntut bersama saya di sekolah agama, Daseratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas.

Pada masa Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah (Perlis) mengajar di sekolah agama, Madrasah Al Yasiniah, Kampung Berala, Kati, Kuala Kangsar, Haji Tahir bersama saya telah mengajar di sana. Ustaz Ahmad Awang (PAS), Ustaz Mahmud (bekas wakil rakyat Pahang) dan Ustaz Zainuddin Zamzam turut besama kami mengajar di sana.

Haji Tahir masih tinggal di kampung tersebut.Dia berjawatan ketua kampung. Isterinya, Puan Zainab binti Tajuddin, kampung Changkagt Kampar, Kati. Dia murid Ustaz Abu Bakar Hamzah dan murid dia juga, di sekolah agama Al Yasisiniah.

Pada masa saya menuntut di kepala Batas (1953 – 1955), apabila sekolah bercuti , sekali dua saya datang ke rumah Haji Tahir bin Jais, di Kampung Ramabai Tujuh.

Pada masa itu, untuk pergi ke sana, terpaksa menaiki motobor dari Kuala Kangsar menghilir sungai Perak dan naik di penambang Kampung Manora.Dari kampung Manora, terpaksa berjalan kaki ke kampung tersebut yang jauhnya kira – kira 5 km.

Pada hari – hari tinggal di kampung tersebut, saya telah mengikuti Haji Tahir dan pemuda – pemuda kampung tersebut untuk mencari buah bakong, iaitu sejenis buah seperti cempedak. Orang – orang kampung mengambil biji – bijinya untuk dibuat gulai dengan ikan sungai.

Kami juga mengambil sejenis kayu. Orang - orang sekitar Kampung Manora, menamakannya ’sebantun’. Kayu itu sangat keras dan sekadar besar ibu jari hingga sebesar lengan. Meneurut kepercayaan orang tua – tua di sana, sesiapa yang memabwa kayu ini, nescaya tidak dihampairi harimau dan anjing juga takutkan kayu tersebut.

Kayu itu diambil kira – kira sepanjang tongkat biasa, layurkan atas api menyala. Apabila kulit kayu itu telah terbakar dan merkah, di bawah ke sungai dan dilatam atas permukan air. Kulit kayu itu tercerai dari batangnya.

Setelah kayu yang telanjang itu kering, di simpan atas para dapur selama beberapa minggu. Asap api dapur itu menjadikan kayu tersebut berwarna merah. Cantik.

Menurut orang tua – tua, kayu sebantun tidak terdapat di tempat – tempat lain di Semenajung ini, hanya ada dalam kawasan pergunungan sekita Rambai Tujuh sahaja.

Kayu sebantun banyak dijual di tempat perhentian lebuh raya, tepi sungai Perak.

Pada satu malam, pada ketika menanti waktu sembahyang fardu Isya di masjid Kampung Rambai Tujuh, seorang lelaki tua, berusia lebih 70 tahun bercakap dengan saya, katanya: ”Mokhtar, saya dah tua ..., mike tengokle ..., tak lama lagi, ada oghang buat jalan di kampung ni ...”

Tidak terlintas dalam fikiran, pada masa hadapan akan ada sebatang jalan merentas kawasan Kampung Rambai Tujuh seperti yang dikatakan oleh orang tua tersebut.

Setelah lebuh raya utara selatan dibina oleh Plus Expressways Berhad, setiap kali saya melalui kampung itu, saya teringatkan orang tua yang padai ilmu firasyat tersebut.

No comments: