Kalimah Allah: PM Minta Umat Islam Bertenang, Kerajaan Akan Buat Rayuan
PEKAN, 3 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.
Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.
"Kerajaan amat sedar dan prihatin akan pelbagai reaksi yang telah kerajaan terima sejak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
"Isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan terutama sekali umat Islam, kita hendaklah bersikap bertenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar di Parlimen Pekan, di sini pada Ahad.
Sepertimana diketahui, rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan, katanya ketika diminta mengulas pelbagai reaksi masyarakat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.
Najib berkata Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.
Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses rayuan berkenaan.
"Mereka (KDN) akan kemuka rayuan dan saya akan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika Yang di-Pertuan Agong berkenan, akan diberi taklimat, juga taklimat kepada Majlis Raja-Raja," katanya.
Beliau berharap penyelesaian terhadap isu yang amat sensitif itu kelak dibuat dengan penuh kebijaksanaan.
Najib juga berharap isu itu tidak akan diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi serta pelbagai petisyen dan memorandum berhubung perkara itu.
"Saya tak galakkan (umat Islam membuat demonstrasi dan sebagainya), (tapi) saya tahu perasaan di kalangan perasaan umat Islam, mereka merasa begitu terkilan.
"Cuma saya berharap perkara yang amat sensitif, kita biarkan kerajaan tangani isu ini dengan sebaik-baiknya melalui proses rayuan (di mahkamah)...saya tak nak terlalu memanaskan isu, kerajaan faham perasaan umat Islam, biarlah kita cari jalan sebaik-baiknya."
Terdahulu, sebelum Najib mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan, beliau menerima memorandum daripada 24 badan bukan kerajaan (NGO) Pahang berhubung isu berkenaan.
Menurut jurucakap NGO berkenaan, Amidi Abdul Manan yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), KDN perlu memfailkan rayuan secepat mungkin bagi menghilangkan keresahan umat Islam di negara ini.
"Semua pihak dalam negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam," katanya.
Amidi berkata menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, kalimah "Allah" adalah eksklusif bagi agama Islam sahaja.
-------------------
13 NGO Buat Laporan Polis Bantah Majalah Guna Kalimah Allah
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Sebanyak 13 badan bukan kerajaan (NGO) Ahad membuat laporan polis kerana membantah tindakan majalah Herald - The Catholic Weekly, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.
Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.
Kesemua NGO tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman membuat 10 laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Maamor berkata mereka kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan Allah digunakan oleh majalah itu kerana dikhuatiri akan disalahgunakan sehingga menyinggung perasaan umat Islam.
"Kita membuat laporan polis ini kerana bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan dan kesucian agama Islam tidak dicemarkan.
"Justeru kita membuat laporan polis agar dalang isu ini disiasat kerana isu sensitif sebegini boleh memporakperandakan 1Malaysia sedangkan ianya tidak patut diprovokasikan," katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Sentul.
Beliau berkata jika isu terbabit tidak dapat diselesaikan segera, kesemua NGO tersebut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran selepas Solat Jumaat di masjid-masjid utama di Kuala Lumpur bagi membantah keputusan tersebut.
Sementara itu Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata tidak mustahil selepas ini nama Allah digantung dan digunakan sewenang-wenangnya di premis dan restoran makanan bukan Islam jika isu tersebut tidak disekat.
(Dua brita ini diambil dari BERNAMA Online, 3 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment