Tuesday, January 26, 2010

BERITA


20 SBT diumum

PUTRAJAYA 25 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemilihan SBT dibuat berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kebitaraan, sekali gus melayakkan sekolah berkenaan menikmati kuasa autonomi tambahan.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 30 sekolah lagi akan dipilih sebagai SBT pada tahun depan manakala 50 lagi pada 2012 menjadikan keseluruhannya 100 sekolah.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Kuasa autonomi tambahan itu melibatkan kurikulum fleksibel dan pemilikan bajet, antara lainnya membenarkan para pelajar cemerlang menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

“SBT juga diberi kelonggaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 26 Januari 2010)

1 comment:

Unknown said...

Salam tuan,

Betul ke apa yang Bernama laporkan dalam Berita Terkini Utusan ini:

Tiada tindakan terhadap penulis blog yang mohon maaf – Rais
26/01/2010 3:26pm


PULAU PINANG 26 Jan. – Kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka setelah menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penulis blog Anduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu.

Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, Kelantan, semalam setelah polis menerima lebih dari 20 laporan mengenai tulisan dalam blognya.

Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis blog itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikelnya itu.

Rais sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun. – Bernama