Friday, January 8, 2010

BERITA



Muslimat PAS kutuk serangan gereja

l
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Jan: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengutuk perbuatan menyerang dua buah gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Ketua Penerangannya, Salbiah Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata, DMPP yakin perbuatan provokatif itu sengaja dirancang pihak tertentu untuk mewujudkan kekecohan di kalangan masyarakat .

"DMPP juga bersimpati dengan apa yang terjadi, kerana kejadian merobohkan masjid dan surau oleh pihak berkuasa telah dialami sedikit masa dahulu. Perbuatan provokatif kali ini pula sengaja dirancang bagi menimbulkan kekecohan dan rasa tidak aman di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.,"katanya.

Sikap seperti ini juga tegas DMPP menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagan Negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan Islam sebagai agama rasmi.

"Perbuatan ini sama-sekali menyalahi prinsip Islam dan tidak mencerminkan kesucian Islam. Kerana Islam menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.,"katanya lagi.

DMPP dalam pada itu berharap rakyat Malaysia bertenang dan tidak melemparkan tuduhan ini kepada mana-mana kumpulan agama.

DMPP yakin kejadian ini dirancang oleh pihak tertentu yang terdesak dan mahu dilihat kononnya sebagai hero mempertahankan Islam ekoran isu penggunaan nama Allah.

"Islam mengajak umatnya berdakwah dan melebarkan kebaikan. Islam melarang sebarang kejahatan dan kemungkaran apatah lagi menceroboh dan merosakkan hak awam. DMPP amat berharap pihak berkuasa memantau dan peka agar kejadian serupa tidak berulang lagi,"katanya.

Tengah malam tadi, gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, dekat sini dibakar oleh pihak tertentu.

(Berit aini diambil dari Harakah 'Daily, 8 Januari 2010)

No comments: