Sunday, January 10, 2010

BERITA



20 SAR: Kerajaan Negeri puas hati

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri berpuas hati dengan perkembangan 20 buah sekolah agama rakyat (SAR) yang diambil alih oleh Kementerian Pelajaran bermula tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini semua pengurusan sekolah berkenaan telah berjalan dengan baik malah peruntukan juga telah diberikan mengikut keperluan.

“Antaranya tawaran jawatan tetap kepada guru terlibat, kursus dan latihan untuk meningkatkan ikhtisas guru dan juga peruntukan dari segi kemudahan fizikal sekolah.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita berpuas hati dengan perkembangan ini walaupun ada beberapa perkara yang masih belum diselesaikan dan memerlukan beberapa siri perbincangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Sempena Program Asyura anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan kelmarin.

Mohd Amar berkata, antara perkara yang perlu dibincangkan adalah penyelarasan dari segi perancangan pembangunan sekolah memandangkan ada beberapa orang di kementerian salah faham dengan menganggap sekolah berkenaan sudah menjadi sekolah kementerian.

Katanya, walaupun telah didaftarkan dengan kementerian, namun ia adalah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan perlu mendapatkan persetujuan dan berbincang terlebih dahulu sebelum menyalurkan sebarang peruntukan.

“Sepatutnya, mereka perlu berbincang sama ada dari segi pembangunan, pendidikan dan juga kursus untuk mengelakkan pertembung-an kerana kita juga mempunyai perancangan sendiri terhadap sekolah ini apatah lagi ia masih milik kerajaan negeri.

”Saya sudah tekankan perkara ini dalam mesyuarat bersama ketua setiausaha sendiri tentang keperluan supaya ada penyelarasan dari segi pembangunan dan pengurusan sekolah agar tidak timbul masalah berbangkit kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, jika masalah berkenaan dapat diselesaikan dan program berkenaan berjaya, pihak Kerajaan Negeri tidak keberatan membuat penambahan jumlah sekolah untuk didaftarkan di bawah kementerian.

”Harapan Kerajaan Negeri agar perkara ini dapat diperkemaskan lagi di masa akan datang, kita juga tiada masalah dari segi kerjasama dan jika berjaya, mungkin kita akan tambah lagi,” katanya.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 10 Januari 20
10)

No comments: