PM lancar Klinik 1Malaysia
|
|
KLINIK 1Malaysia dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan serentak dengan itu juga sebanyak 44 buah lagi klinik serupa memulakan operasinya.
Kehadiran klinik itu yang bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, tentunya menggembirakan rakyat jelata kerana kedudukannya yang dekat dengan kediaman mereka, selain dapat menjimatkan kos mendapatkan rawatan kesihatan.
-------------------
Mahkamah malam
PUTRAJAYA 7 Jan. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan berjumpa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk mewujudkan mahkamah malam bagi membicarakan kes-kes jenayah jalanan.
Hishammuddin berkata, kaedah itu adalah strategi untuk mempercepatkan proses perbicaraan dan memastikan suspek kes jenayah tidak mengulangi kesalahan mereka semasa menunggu perbicaraan.
Menurutnya, perbincangan juga akan dijalankan dengan Jabatan Peguam Negara untuk memastikan proses pendakwaan dapat dijalankan dengan lancar.
‘‘Kita tidak mahu lagi berlaku setelah peragut ditangkap polis, tetapi kita menghadapi masalah kekurangan pendakwa atau mahkamah tiada masa untuk mendengar kes sehingga menyebabkan perbicaraan ditangguh sehingga setahun.
‘‘Keadaan ini mungkin menyebabkan peragut itu diikat jamin dan melakukan jenayah ragut lain dalam tempoh masa menunggu perbicaraan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, dua inisiatif pencegahan jenayah lain yang akan dilaksanakan termasuk pengenalan polis peronda motosikal dan balai polis bergerak.
‘‘Balai bergerak pertama akan mula beroperasi pada Februari dan kesemua 50 balai bergerak akan diumumkan menjelang Jun ini.
‘‘Pasukan rondaan motosikal pula akan membuat rondaan secara berpasangan untuk sampai ke lokasi dengan cepat,” katanya.
Mengenai 400,000 keping MyKad yang belum dituntut, Hishammuddin berkata, anggota Rela mungkin boleh memainkan peranan untuk mencari pemohon yang belum mengambil kad masing-masing.
‘‘Daripada mendenda, lebih baik jika Rela mencari pemohon berkenaan kerana terdapat pemohon yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 8 Januari 2009)
No comments:
Post a Comment