KOTA BHARU, 12 Jan: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kesediaan melawat beberapa gereja di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana simpati penganiayaan yang dilakukan.
Beliau berkata, kunjungan ke gereja yang terbakar kerana dikhianati sama seperti menziarahi orang yang sakit.
“Islam mengajar umatnya bersimpati terhadap orang teraniaya seperti kejadian membakar gereja di beberapa tempat di Lembah Klang baru-baru ini.
“Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Islam kerana menggunakan kaedah kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini.
Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan melawat tiga gereja di Kuala Lumpur termasuk Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dan Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing bagi melihat dari dekat kesan kerosakan akibat dikhianat pihak tidak bertanggungjawab.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempersoalkan tindakan pihak terbabit sehingga merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam.
“Saya pergi kerana rasa simpati terhadap mereka yang teraniaya,” ujarnya.
Beliau juga berkata, lawatannya ke gereja hanya boleh dijadikan isu kepada mereka yang berfikiran sempit.
“Sebelum ini pun saya pernah melawat kuil Hindu dan Buddha di Tumpat beberapa kali. Sami-sami Buddha juga datang ke pejabat saya,” ujarnya.
Beliau juga berkata, lawatan tersebut secara tidak langsung dapat menterjemahkan keindahan Islam kepada golongan bukan muslim.
----------------------
Harakahdaily | SHAH ALAM, 12 Jan: Kerajaan negeri Selangor menyeru kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membuat laporan audit yang memperincikan perjalanan kewangan dan pentadbiran harta yang telah diberikan untuk menjalankan program membasmi kemiskinan. Ini kerana, mengikut pemantauan kerajaan negeri, YBK tidak pernah mengeluarkan laporan audit berkenaan akaun kewangan dan urusan pentadbiran selama lima tahun ini dan bagaimana duit serta harta yang diperuntukkan untuk program membasmi kemiskinan dijalankan.
Demikian kata Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia memberi peruntukan supaya laporan audit dapat dibuat dengan segera memandangkan harta dan bantuan kewangan bernilai ratusan juta ringgit telah diberikan kepada YBK.
"Kerajaan Negeri berharap semua badan bukan kerajaan (NGO) menyokong usaha ini bagi memastikan YBK menjalankan programnya dengan lebih telus dan bertanggungjawab supaya program yang rencanakan boleh memberi manfaat kepada golongan miskin.
"Perkara ini mungkin tidak timbul dahulu kerana pentadbiran terdahulu dibawah Kerajaan Barisan Nasional tidak memberi keutamaan kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban sehingga ada aduan yang mengatakan program YBK berbaur kepentingan politik dan tidak berlandaskan keperluan atau kemiskinan,"katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat sekarang berusaha supaya program membasmi kemiskinan oleh YBK dijalankan dengan baik agar ianya dapat memberi manfaat kepada semua orang tanpa mengira kaum, agama atau sentimen politik.
Atas sebab itulah, katanya, pada 20 Oktober lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk melantik Menteri Besar Selangor sebagai pengerusi YBK sementara Exco Kebajikan sebagai anggota lembaga.
"Kami tidak menolak kemungkinan perkara ini dibangkitkan sekarang kerana sesetengah pihak yang berkepentingan khuatir pengambilalihan ini akan merugikan mereka.
"Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian supaya nasib semua rakyat miskin akan terbela," katanya. | (Berita inidiambil dari Harakah Daily Online, 12 Januari 2010)
|
No comments:
Post a Comment