2 suspek kes enjin F-5E hilang didakwa
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
PETALING JAYA: Dua suspek utama kes kehilangan dua enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F-5E, termasuk seorang anggota tentera berpangkat sarjan akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Difahamkan, anggota tentera terbabit dituduh bersubahat mencuri dalam bangunan manakala seorang pengarah syarikat dituduh membantu melupuskan enjin pesawat tempur bernilai RM100 juta itu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata siasatan mendapati kedua-dua enjin jenis GE J85 21-A itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hasil subahat anggota tentera terbabit.
“Pengarah syarikat terbabit dikenal pasti membantu melupuskan enjin pesawat tempur itu yang diketahuinya harta curi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, malam tadi.
Berita Harian sebelum ini membongkar kehilangan dua enjin berkenaan ketika dalam proses penyelenggaraan rutin, masing-masing dilaporkan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur pada 26 Jun 2007 dan Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth, 1 November 2007.
Kes yang dipercayai didalangi `orang dalam’ syarikat penyelenggara pesawat tentera dengan dibantu anggota TUDM menarik tumpuan umum kerana terbongkar selepas dua tahun `disembunyikan’.
Lebih menarik, kehilangannya hanya disedari pada Mei 2008, kira-kira setahun selepas enjin pertama dilaporkan hilang, dipercayai dijual kepada pembeli di Amerika Latin, sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos 2008.
Berikutan itu, satu siasatan diketuai Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar dibuat dan berjaya mengenal pasti empat suspek utama kes berkenaan, dengan tiga daripadanya anggota TUDM berpangkat rendah.
Gani ketika mengulas lanjut berkata, beliau mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap kedua-dua individu terbabit selepas meneliti semua keterangan saksi, selain dokumen berkaitan termasuk fail siasatan yang dikemukakan polis.
Katanya, anggota tentera terbabit dituduh mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat mencuri dalam bangunan.
“Pertuduhan terhadap pengarah syarikat itu dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menghapuskan harta curi iaitu kesalahan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama,” katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 6 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment