Saturday, January 16, 2010

BERITA

MUSTAPA PERLU SOKONG
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 16 Jan: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sepatutnya menyokong usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan royalti minyak atas dasar sebagai rakyat Kelantan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Sepatutnya menteri berkenaan turut bersama menyokong atas dasar semangat sebagai rakyat Kelantan, membantu untuk mendapatkan royalti tersebut, bukan untuk menafikan,” katanya kepada media pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Pasti 2009 Peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini.

Pada hematnya, rakyat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan menteri itu kerana hak yang disebut selama ini antara Petronas dengan kerajaan negeri adalah jelas bahawa royalti minyak hak negeri.

"Sepatutnya mereka bersama-sama berusaha, tanpa menafikannya. Berusaha melalui pengaruh sebagai menteri di peringkat Pusat, sebagaimana Ku Li (Tengku Razaleigh) sendiri sanggup untuk berdiri dan sanggup untuk membuat kenyataan demi kebaikan rakyat Kelantan,” katanya.

Mengikut laporan media, Mustapa berkata Kerajaan Pusat menolak tuntutan royalti oleh kerajaan Kelantan dengan alasan bahawa minyak yang diperolehi adalah di luar kawasan perairan negeri ini.

Ahmad turut menyokong gesaan PAS Pusat supaya Umno memperjelaskan sumber peruntukan bagi membiayai pelancaran program Juara Rakyat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini termasuk peruntukan berjumlah RM15.6 juta bagi membaiki pangsapuri.

Beliau berkata, sekiranya Umno hendak menjadi juara atas nama Umno, Umno mesti mengguna wang Umno dan tidak menggunakan wang negara.

-------------------

Sabah, Sarawak faktor penting tumbangkan BN | t | E
Harakahdaily
TUARAN, 16 Jan: Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kemenangan Pakatan Rakyat (PR) sangat bergantung kepada Sabah dan Sarawak dari segi strategi politik kerana kedua-duanya adalah penyumbang kerusi terbesar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.

"Kalau tidak ada kerusi parlimen daripada Sabah dan Sarawak sudah lama Barisan Nasional terkubur di negara kita, ertinya untuk memastikan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lagi memerintah ia bergantung kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” ujarnya pada satu majlis yang diadakan di sini, semalam.

Beliau juga mengingatkan para penyokong PR supaya menjaga perpaduan dan kesatuan di kalangan mereka serta mengadakan perbincangan atau perundingan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Tinggal lagi kita kena bekerja keras kerana kemenangan tidak akan kita berpeluk tubuh,” ujarnya.

Nasrudin dan beberapa orang exconya berada di Sabah untuk siri lawatan kerja dan aktiviti dakwah.

Exco Pemuda PAS Pusat yang turut sertai lawatan itu ialah Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Suhaizan Kaiat, Zamakshari Mohamad, dan Ir Mohamad Khairil.

Ketika sidang media di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Nasrudin memberitahu tiga objektif lawatan Pemuda Pusat ke negeri ini ialah menilai prestasi dan memperkasa gerak kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, melihat ruang dan peluang dakwah yang boleh digerakkan pemuda dan meninjau beberapa isu yang boleh diketengahkan.

Pada sebelah petang, Nasrudin dan beberapa orang exconya bermesyuarat bersama Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Sabah (Sepakat) yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Lahirul Latinggu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah, Abd Razak Jamil dan Ketua DAPSY Sabah, Alex Wong.

Beberapa kesepakatan telah dicapai dalam mesyuarat tersebut iaitu pertembungan antara parti dalam PR mesti dielakkan, komitmen terhadap aktiviti bersama, meletakkan sasaran di penguasaan PR di kawasan-kawasan yang ditandingi sebelum ini di samping meluaskannya ke kawasan lain yang berpotensi.

Selain itu, Sepakat juga bersetuju untuk bersama memperhebatkan daftar pengundi muda, berusaha menubuhkan Sepakat di semua kawasan parlimen di negeri ini dan menjadikan empat buah negeri PR sebagai model pemerintahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani pula mengetuai aktiviti Pemuda Prihatin Rakyat di Kampung Air Sembulan yang terbiar di tengah Bandaraya Kota Kinabalu.

Program anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS negeri ini bermula semalam dan akan berakhir Isnin in

---------------------------

Media alternatif diajak berdialog dengan SPRM |



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Jan: Semua editor media alternatif diajak bersama-sama menghadiri sesi dialog dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed.

Pihak akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan meminta satu pertemuan diadakan dengan Abu Kassim bagi mendapatkan penjelasan berhubung amarannya akan mengenakan tindakan terhadap pihak yang membuat laporan kes rasuah dan mendedahkan maklumat mengenainya kepada umum.

Pertemuan itu juga bagi mendesak SPRM agar menghentikan usaha menindas dan menekan pihak media yang hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab sosial mereka.

Editornya, Dzulkarnain Taib memberitahu, pihaknya telah menulis surat kepada Abu Kassim meminta diadakan pertemuan tersebut.

Pejabat SPRM teah pun menyatakan persetujuan terhadap perkara ini dan akan memaklumkan tarikh dan masa yang sesuai bagi dialog tersebut dalam masa terdekat ini.

"Kami memandang amat serius sebarang usaha untuk mengekang dan menafikan perkembangan larangan media yang bebas dan bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Abu Kassim memberi amaran akan mengenakan tindakan di bawah Seksyen 29(4) iaitu penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM100,000 terhadap pihak yang melanggar larangan berkenaan.

Beliau juga berkata, tindakan juga boleh dikenakan ke atas wartawan yang turut melaporkan maklumat-maklumat yang telah didedahkan itu termasuk mengambil tindakan sekiranya pelapor berkenaan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut dalam ceramah-ceramah.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 16 Januari 2010)









No comments: