Monday, January 4, 2010

BERITA


Segera Perjelaskan Dan Terangkan Isu Kalimah Allah - Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, perlu diperjelaskan dan diterangkan kepada masyarakat termasuk bukan Islam dengan segera agar ia tidak menimbulkan sebarang ketegangan dan kekeliruan, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), berkata dalam mesyuarat IKIM yang dipengerusikan beliau Isnin berpendirian isu itu perlu diberi penerangan dan penjelasan yang baik.

"Isu itu perlu difahami dengan baik. Mesti dijelaskan seterang-terangnya dengan fakta-faktanya," kata Abdullah kepada Bernama.

Beliau berkata IKIM mempunyai pakar dan ilmuan yang bersedia dan mampu memberikan penjelasan dan penerangan yang baik mengenai isu tersebut.

Katanya proses penerangan itu boleh diadakan dalam bentuk penghasilan artikel dan mengadakan pertemuan serta forum kepada pihak yang berminat.

"Dengan kadar segera kita boleh lakukan. Jika ada bukan Islam yang mahu berjumpa mengenai isu ini, IKIM sedia berjumpa," katanya.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Abdullah berkata beliau bimbang jika isu itu tidak difahami dengan jelas ia boleh membawa kemudaratan seperti ketegangan dan perbalahan kaum.

Beliau juga berharap agar orang ramai dapat "mengawal diri" agar tidak mencelarukan keadaan hingga membawa kepada tindakan dan reaksi yang tidak sepatutnya.

"Berhati-hatilah membawa isu. Emosi tidak boleh menyelesaikan. Kefahaman dan fakta yang boleh selesaikan masalah, Insyaallah," katanya.

Abdullah berkata memandangkan isu itu dibawa ke mahkamah, proses itu tidak harus diganggu.

Katanya ia juga adalah hak kerajaan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Kementerian Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik itu Isnin.

Pada Selasa, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Dis.

(Berita ini diambil dari BERNAMA Online, 4 Januari 2010)

No comments: