Salah guna visa ketibaan
PUTRAJAYA 12 Jan – Sejumlah 39,046 warganegara India ‘hilang’ di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen, menurut anggaran yang dibuat pada Jun tahun lepas.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan jabatan tersebut kurang berminat mengeluarkan visa waktu ketibaan kepada warganegara India kerana kemudahan itu telah disalahgunakan, terutamanya mereka dari Chennai.
“Mereka ini yang datang ke Malaysia melalui kemudahan visa waktu ketibaan mungkin telah kembali ke India atau masih berada di negara ini...(mungkin) bekerja di restoran-restoran India.
“Kami tidak tahu di mana mereka ini berada sekarang...kemungkinan masih berada di Malaysia atas alasan ekonomi,” katanya dalam temu bual dengan para wartawan India yang sedang dalam rangka lawatan ke sini, di pejabatnya di sini semalam.
Najib membayangkan beliau mungkin akan membangkitkan isu itu pada lawatan rasmi tiga hari beliau ke India, bermula 19 Januari.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bersikap agak liberal dalam membenarkan sami dan tukang gunting rambut dari India untuk datang dan bekerja di negara ini.
“Kami mengalu-alukan warganegara India datang melawat ke Malaysia sebagai pelancong. Kami bersikap agak liberal. Kami mahu mereka yang benar-benar tulen. Mereka amat dialu-alukan.
“Kami bersedia menimbangkan memperkenalkan semula skim visa itu bagi mereka yang datang dari bandar raya seperti Bangalore, Mumbai dan Delhi tetapi bukan dari Chennai. Masalah tinggal melebihi tempoh hanya membabitkan dari Chennai,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengadakan dialog dengan kumpulan pendesak Hindraf, Najib berkata, semua pihak perlu sedar bahawa kumpulan itu telah “ memperbesar-besarkan dan memanipulasi sepenuhnya seluruh situasi” membabitkan minoriti etnik India.
Beliau berkata, kebanyakan kaum India di negara ini mahu kerajaan sensitif terhadap keperluan mereka dan kerajaan responsif terhadap perkara itu.
“Kami telah menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum India dan saya tidak nampak yang Hindraf telah menjadi kuasa yang penting dalam politik Malaysia,” katanya.
Ditanya mengenai langkah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang bakal melantik duta khas untuk Jammu dan Kashmir, Najib berkata, sebarang tindakan susulan hanya akan dapat dilakukan dengan persetujuan India dan Pakistan.
“Malaysia berpendapat isu ini wajar diselesaikan melalui rundingan secara aman,” katanya. (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia - Bernama Online, 13 Januari 2010)
------------
RM10j untuk tabung bola sepak
Oleh Syed Riduan Ahmad dan Azrina Ahzan
NAJIB (kiri) menerima jersi Malaysia yang tertera namanya daripada Rajagobal pada majlis Shakam di PICC, semalam. |
Kerajaan setuju kaji semula Shakam dengan kadar lebih tinggi: Najib
Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) diperkenalkan sewaktu saya menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1986-1990 dan jika ada orang yang berhak mengkaji semula skim ini, sayalah orangnya.
Kerajaan bersetuju mengkaji semula skim ini dan akan mengumumkan kadar baru yang lebih tinggi dalam masa terdekat, kata Najib sebelum menyampaikan hadiah Shakam bernilai RM231,000 kepada semua pemenang 40 pingat emas negara di Sukan Sea Laos.
Selain Shakam, Najib turut mengumumkan kesediaan kerajaan menyumbang RM10juta untuk Tabung Pembangunan Bola Sepak yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek selepas skuad negara merangkul emas pertama Sukan Sea sejak 20 tahun lalu.
Kali terakhir kita merangkul emas bola sepak Sukan Sea ialah di Kuala Lumpur pada 1989, ketika saya menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kali ini Ahmad Shabery pula berpeluang mengecapi kegemilangan dan kebanggaan melihat skuad negara memenangi emas.
Memandangkan bola sepak adalah sukan yang paling popular di peringkat akar umbi, kerajaan akan menyumbang RM10 juta sebagai permulaan untuk Tabung Pembangunan Bola Sepak dan berharap satu pelan pembangunan tersusun dan sistematik dilaksanakan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kerajaan berharap dengan dua pengumuman besar ini, ia akan menjadi suntikan semangat buat atlit dan penggerak sukan negara untuk terus bekerjasama mencapai impian menjadi kuasa sukan terbesar, bukan setakat di rantau ini tetapi di Asia dan juga dunia.
Kejayaan di Laos juga diharapkan dapat menjadi batu asas dalam usaha mencapai kejayaan lebih besar. Saya mahu semua pihak fokus dan melipatgandakan usaha untuk mencapainya, katanya yang meletakkan sasaran emas Sukan Olimpik 2012 di London sebagai matlamat utama negara.
--------------------
Pelajar terdedah kepada bahan khayal, lucah
PETALING JAYA: Lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan lucah serta pil perangsang seks masih didapati dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara, menurut Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA).
Presidennya, Ravi Ponnan berkata, berdasarkan pemantauan pertubuhan bukan kerajaan itu, cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan daun terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual.
"Kesemua barangan ini dan juga alat renjatan elektrik dan pistol mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di pasar-pasar awam dan kedai runcit," katanya dalam satu sidang media.
Ravi berkata, sebagai contoh, sejenis ubat khayal buatan India yang didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.
"Ia berupa serbuk kasar yang juga adalah campuran pinang dan tembakau. Meskipun ianya bukan dadah namun ia boleh memberi kesan khayal selepas 15 minit memakannya, malahan di India serbuk ini diharamkan.
"Ubat ini menjadi tarikan kepada pelajar sekolah memandangkan harganya yang amat murah. Pelajar-pelajar ini menipu guru dan ibu bapa dengan mengatakan kononnya ianya adalah ubat sakit kepala sedangkan mereka sudah ketagih ubat tersebut," katanya.
"Kami juga membuat pemantauan di pasar awam berhampiran Kampung Baru dan setelah tiga kali memujuk penjual, kami berjaya membeli dua buah alat renjatan elektrik yang berharga RM70 dan RM80 setiap satu yang berbentuk telefon bimbit dan lampu suluh," katanya.
Beliau berkata, MCPA bersedia untuk menyalurkan segala maklumat kepada pihak berkuasa, malahan pihaknya sudah menghantar maklumat tentang isu jenayah kepada beberapa agensi kerajaan termasuk polis, Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan. - Bernama
(Berita ini diambil dari Harian - BERNAMA Online, 13 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment