Saturday, January 9, 2010

BERITA

BERTENANG


Musa Hassan menunjukkan khidmat pesanan ringkas (sms) dari telefon bimbitnya berhubung penyebaran berita palsu yang berbau hasutan, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Ketua Polis Negara mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan SMS yang disebarkan hingga boleh menimbulkan ketakutan ekoran tiga buah gereja dilontar bom petrol.


Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,

Kuala Lumpur

8 Januari 2010

-----------------

PM kutuk serangan gereja


Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama wakil-wakil firma yang bekerjasama dengan NCIA dalam projek modal insan di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 8 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk dua kejadian serangan ke atas gereja dan satu laporan kes ugutan semalam yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dipercayai ekoran isu kalimah Allah.

Tegas Perdana Menteri, perbuatan terkutuk itu akan menghancurkan keharmonian yang selama ini dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini.

Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memastikan pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat termasuk gereja.

“Kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup yang kita saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak boleh digugat oleh sesiapa.

“Kerajaan akan mengambil apa jua tindakan yang mampu dilakukan untuk mencegah perbuatan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Laporan media menyebut, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.

Sementara itu, pada pukul 4 pagi, bom petrol dilaporkan dilontarkan ke gereja The Assumption namun tiada kerosakan berlaku.

Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu menggunakan kaedah dan saluran yang sesuai dalam menangani sebarang masalah yang berbangkit dalam negara.

“Kita tidak boleh ambil tindakan yang melampaui batas undang-undang sehingga boleh mengancam keharmonian negara,” katanya.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan rapi ke atas insiden berkenaan.

“Apa juga tindakan yang diambil perlu berasaskan kepada fakta dan undang-undang negara,” katanya.

Kepada soalan adakah beliau memerlukan laporan terkini dari semasa ke semasa daripada Musa mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata:

“Saya tidak perlukan laporan dari minit ke minit tetapi saya sudah bercakap dengan beliau (Musa) semalam dan hari ini serta bercakap juga dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

“Jika bukti-bukti diperoleh (mengenai kejadian itu), laporan akan diberikan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan berjaga-jaga dengan rancangan kumpulan yang mengadakan demonstrasi hari ini berhubung isu kalimah Allah.

“Saya harap dengan kenyataan dan tindakan polis, orang ramai tidak akan melanggar undang-undang negara,” katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 9 Januari 2009)




No comments: