SHAH ALAM, 1 Jan: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad petang tadi bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang orang-orang bukan Islam dari menggunakan perkataan 'Allah'. Beliau yang sebelum ini dilihat lantang mempertikai usaha KDN di di Parlimen, menganggap keputusan Mahkamah semalam menepati nas al-Quran.
"Keputusan Mahkamah itu menepati dengan al-Quran, iaitu perkataan Allah bukan milik eksklusif umat Islam sahaja tapi semua manusia patut menyembahnya," jelas beliau selepas menyertai solat Jumaat di Surau Nur Hidayah, di sini.
Beliau turut menasihatkan KDN supaya tidak melarang sesuatu yang jelas digalakkan dalam Islam.
"Kalau kita (KDN) nak menghalang keputusan itu, secara tidak langsung seolah-olah menghalang apa yang digalakkan oleh Allah sendiri.
"Yang membeza orang Islam dan bukan Islam bukanlah tuhan kita adalah Allah dan tuhan mereka tidak (dipanggil) Allah, tapi yang membezakannya adalah kefahaman tentang ajaran Islam itu sendiri," katanya.
Menurut beliau, keputusan mahkamah itu sekali gus mengukuhkan kefahaman orang Islam terhadap agama mereka, bukannya atas nama Islam sahaja.
"Saya rasa keputusan ini (mahkamah) akan mengukuhkan lagi kefahaman Islam di kalangan orang Islam sendiri, bukan atas nama (Islam) saja," jelasnya.
Ujarnya lagi, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak menghalang masyarakat bukan Islam dari mengaku Allah sebagai Tuhan mereka.
Sebaliknya, Nabi menerapkan kefahaman Islam kepada masyarakat bukan Islam menggunakan rasional dan dakwah; sebagaimana ditunjukkan dalam ayat 87-88 dari surah az-Zukhruf; dan ayat 63 dari surah al-Ankabut.
Tambahnya lagi, kedua-dua ayat tersebut seharusnya mendorong masyarakat Islam menjelaskan kefahaman sebenar tentang Allah dan Islam itu sendiri.
Terdahulu, akhbar mingguan The Herald dihalang dari menggunakan perkataan Islam dalam penerbitan mereka.
Ekoran itu, Gereja Katholik telah memohon perintah Mahkamah supaya menolak larangan yang dilakukan KDN itu. -----------------
Dzulfikar Mashoor | KUALA LUMPUR, 1 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan menukar tema 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kepada tema yang baru - 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberi cadangan sinikal tersebut sebagai respon pada keputusan kerajaan menaikan harga gula RM0.20 bermula 12 tengah malam semalam.
Beliau yang juga Ahli Perlimen Pokok Sena berharap rakyat menilai semula slogan 1Malaysia Najib dan sistem Aras Tanda Pencapaian (KPI) kerajaan yang kononnya demi kepentingan rakyat.
Selain mengkritik Najib, Mahfuz juga mendakwa keputusan yang diambil oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri bukanlah keputusan terbaik demi kepentingan rakyat.
"Ia tidak bantu meningkat pendapatan rakyat, kenaikan harga gula akan tinggalkan kesan berantai pada kenaikan harga susu, tepung, roti, biskut dan barang keperluan rutin yang lain," jelasnya.
Dakwanya, kenaikkan harga gula itu mengambarkan bahawa kerajaan seolah-olah sedang mengurangkan subsidi gula dengan membiarkan pemegang permit kebenaran (AP) tertentu sahaja mengimport gula.
Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya melonggarkan undang-undang kastam dengan membenarkan rakyat tempat mengakses barang-barang asasi, termasuk gula untuk kegunaan rutin dari negara-negara jiran.
Dengan berbuat demikian, beliau berkata, mampu memberikan rakyat suatu tawaran harga paling minima dan murah kerana para pembekal barang-barang asasi terpaksa bersaing memenuhi keperluan rakyat.
Ianya sekaligus, memecahkan blok monopoli oleh kapitalis tertentu dan mengukuhkan blok konsumerisme rakyat di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini, harga sekilo gula di Malaysia dan kepulauan Borneo masing-masing adalah RM1.45 dan RM1.55. | (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 1 Januari 2010)
|
No comments:
Post a Comment