Saturday, January 9, 2010

ARTIKEL POLITIK



KONGRES ULAMA UMNO JADI PAS


[Mungkin kalangan orang UMNO yang membaca tulisan atau artikel ini akan kembali sedar betapa bernilainya perjuangan datuk nenek mereka dahulu dan betapa pentingnya mereka berusaha menyatukan orang Melayu. Walau bagaimana gigih dan ikhlas berjuang dalam arena politik, tetapi kalau tidak terdaya menyatukan orang Melayu dan ummah, maka perjuangan itu dianggap sia-sia.

Tulisan ini diangkat dari manuskrip buku Umno Dan Kepentingan Nasional, oleh Mokhtar Petah. Kalau tidak ada aral melintang, buku ini akan terbit sebelum Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Editor, Petah Shahrir Aidid.]


Kebangkitan orang Melayu menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan bermula secara kelompok-kelompok dan kenegerian semenjak tahun–tahun sebelum penaklukan penjajah Pertugis ke atas Melayu pada tahun 1511 lagi. Perjuangan itu diikuti dengan banyak perjuangan lagi, di antaranya di Pahang pada tahun 1870-1895, Perak sekitar tahun 1875-1877,Selangor dan Naning Melaka.

Selain daripada perjuangan orang Melayu menentang penjajah-penjajah Portugis dan Inggeris, mereka juga menentang penjajah yang dikenali dengan nama ‘musuh Siam’, iaitu penjajah dari orang-orang Siam, seperti di Kelantan, Terangganu, Kedah dan sekitar kawasan Hulu Perak.

Pada umumnya perjuangan orang Melayu pada zaman itu di sertai oleh raja-raja yang memerintah dan orang besar-besar. Walaupun perjuangan mereka itu berkonsepkan politik, tetapi gerakan perjuangan mereka lebih banyak menggunakan senjata dan pertumpahan darah. Pendeknya perjuangan orang Melayu pada zaman itu tidak mempunyai parti politik.


Penjajah Inggeris


Sekitar tahun 1930-an perjuangan orang Melayu telah mempunyai sistem yang baik. Mereka mempunyai pertubuhan-pertubuhan politik yang dianggapkan oleh penjajah Inggeris sebagai kongsi gelap.

Contohnya, ramai orang-orang Melayu kawasan Kuala Kangsar, Kinta dan Manjong yang terlibat dengan pertubuhan yang dianggap kongsi gelap itu telah ditangkap dan disumbatkan dalam penjara, dibunuh dan ada yang telah dibuang negeri ke Pulau Labuan.

Kesedaran orang Melayu dalam politik kebangsaan dan Islam sekitar tahun-tahun 1930-an adalah dipelopori oleh guru-guru sekolah Melayu dan guru agama lepasan sekolah-sekolah tinggi dan universiti Islam di negara-negara Arab, India, Turki dan Indonesia. Mereka juga disertai oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah agama dan pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.


Guru Agama


Guru-guru Melayu, seperti Ibrahim Haji Yaacob dan rakan-rakan seperjuangannya dalam Kesatuan Melayu Muda berjuang atas landasan nasionalis Melayu dan mempertahankan agama Islam.

Para guru agama yang dipelopori oleh Sheikh Abdullah Fahim, Syeikh Tahir Jalaluddin berjuang atas dasar Islam dan bertujuan menegakkan negara Islam dan bangsa Melayu yang terdiri dari berbagai-bagai keturunan atau kaum.

Murid kepada Sheikh Abdullah Fahim, iaitu Ustaz Abu Bakar Al Baqir telah menubuhkan parti Islam, Hizbul Muslimin, di Gunung Semanggol, Perak pada pertengahan tahun 1945.


Mencapai Kemerdekaan


Ustaz Abu Bakar AL Baqir disertai oleh kebanyakan pelajar-pelajarnya, di antaranya Haji Hassan bin Yunus, Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Yahya Nasim dan Ustaz Abdul Rauf Haji Ahmad.

Haji Hassan Yunus telah menyertai UMNO, sebaik-baik sahaja UMNO ditubuhkan. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, dia telah memegang jawatan Menteri Besar Johor.

Pada bulan Oktober 1945 Dr. Baharuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Zulkifli Auni, Ahmad Bustamam, Dahari Ali, Musa Ahmad dan ramai lagi orang-orang politik kebangsaan Melayu telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Ipoh.


Malayan Union


Parti politik itu mempunyai badan pemuda, di namakan Angkatan Pemuda Insaf (API), diketuai oleh Ahmad Boestamam dan badan wanita, dinamakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), diketuai oleh Shamsiah Fakih.

Pada kongres orang Melayu menentang Malayan Union pada 1,2,3,4 Mac 1946 PKMM telah menyertai 37 buah persetubuhan orang Melayu menyertai kongres tersebut dan menubuhkan UMNO. Di antara 22 orang menyertai PKMM dalam Kongres tersebut, ialah Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Dahari Ali dan Zulkifli Auni.

Kira-kira dua tahun usia UMNO, atas nasihat Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Jaafar - untuk menyelamatkan UMNO -, pada tahun 1948–1951 penjajah Inggeris telah menangkap hampir semua pemimpin dan anggota-anggota parti Hisbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Mereka telah ditahan di khemah-khemah tahanan politik di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu ini

Ibrahim Haji Yaakob

Ishak Haji Muhammad

Dr. Burhanuddin Helmi

Ustaz Abu Bakar AL Baqir.

Ahmad Boestamam.


Dr. Burhanuddin Helmi tidak terlibat dengan penangkapan itu kerana beliau berada di Pulau Singapura pada tahun-tahun tersebut.

Beberapa orang anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), di antaranya Rashid Maidin (setelah ditahan di khemah tahanan politik Tanjung Beruas, Melaka, telah melarikan diri dan menyertai Parti Komunis Malaysia (PKMM) pimpinan Chin Peng), Shamsiah Fakih, Abdullah Cek Dat (Abdullah C.D.)


Agama Islam


Pada 16 Julai 1949 sebuah Jawatankuasa Tetap Agama Islam telah ditubuhkan di bawah UMNO. Jawatankuasa itu bertujuan untuk memberi nasihat mengenai hal ehwal agama Islam kepada ahli-ahli jawatankuasa UMNO di peringkat kebangsaan hingga ke peringkat bawahan.


Jawatankuasa Tetap Agama Islam itu mempunyai anggota-anggota seperti berikut:

Pengerusi : Syeikh Abdullah Faham (Seberang Perai)

Setiausaha: Sheikh Abdul Jalil Hassan (Johor)

Enam orang ahli Jawatankuasa:

a . Haji Abdul Aziz bin Abdul Salam – Kadi (Perak)

b . Ustaz Selleh Osman (Perlis)

c . Haji Muhammad Sidin (Selangor)

d . Haji Muhammad bin Haji Hitam (Negeri Sembilan)

e . Haji Muhammad Mahir (Kelantan)

f . Haji Abdul Rahman Merbuk (Kedah).


Pada pertengahan tahun 1949 hingga 1951, iaitu sebelum Dato’ Onn bin Jaafar meninggalkan UMNO, telah berlaku pergeseran antara UMNO dengan Raja-Raja Melayu. Pergeseran itu telah menimbulkan kucar kacir parti tersebut. Kejadian itu berpunca daripada Dato’ Onn telah menghantarkan sebuah memorandum kepada Sultan Kedah. Memorandum itu memohon Raja-Raja Melayu melantik seorang daripada anak Melayu memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dari anak Melayu. Pada masa itu Tunku Abdul Rahman Putra telah menasihatkan Sultan Kedah, iaitu sekiranya diwujudkan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dari anak Melayu, bererti anak Melayu berkedudukan lebih tinggi dari Raja-Raja Melayu.


Alim Ulama


Rancangan Dato, Onn itu telah gagal. Tetapi Dato’ Onn terus menyelar Sultan Kedah dan Raja-Raja Melayu dalam ucapan-ucapannya di khalayak ramai.

Sebelum itu dalam Persidangan Agung UMNO di Alor Setar, pada 10–12 Januari 1947, wakil SEBERKAS, Senu Abdul Rahman telah membawa cadangan supaya jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dari anak Melayu dikemukakan kepada kerajaan Inggeris supaya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, tetapi Dato’ Onn telah menolaknya.

Setelah berunding dengan Jawatankuasa Tetap Agama Islam, maka UMNO menyerahkan kepada jawatankuasa itu untuk mengadakan Kongres Alim Ulama anjuran UMNO. Satu persidangan alim ulama telah diadakan di Muar, Johor, pada bulan Februari 1950. Sidang itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Haji Mohd.Noh bin Omar.


Ketua Agama


Dalam persidangan itu, beberapa orang ulama telah berucap bagi melembutkan hati Raja-Raja Melayu.

Persidangan Alim Ulama anjuran UMNO kali yang kedua telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada bulan Julai 1951. Persidangan itu telah mengambil beberapa keputusan. Di antaranya meminta UMNO mengemukakan kepada kerajaan Inggeris supaya memasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dua perkara penting, iaitu Raja-Raja Melayu menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing dan bantuan kewangan dari kerajaan Persekutuan kepada semua sekolah agama rakyat mengikut bilangan penuntut dalam tiap-tiap sekolah tersebut.

Keputusan mengenai kuasa Raja-Raja atas agama Islam di negeri masing-masing telah dapat melembutkan hati para Raja Melayu. Semenjak itu Raja-Raja Melayu memberi kerjasama kepada UMNO dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.


Mengalihkan Persatuan


Persidangan Alim Ulama itu juga telah menubuhkan Persatuan Alim Ulama yang akan bekerjasama dengan UMNO. Haji Ahmad Fuad bin Hassan telah dipilih untuk menggubal undang-undang tubuh persatuan tersebut.

Beberapa bulan kemudian, dalam Persidangan Alim Ulama anjuran UMNO di Butterworth, Haji Ahmad Fuad bin Hassan dengan sebilangan besar alim ulama, telah mengalihkan persatuan itu kepada Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS).

Beberapa rakan karib Haji Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim (Bapa kepada Abdullah Badawi) telah menyertai parti Islam tersebut. Di antara mereka itu, Haji Ahmad bin Abdul Malik atau Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Tuan Husin (Seberang Perai). Haji Sulaiman Palestin telah memainkan peranan penting menyekat rakan-rakannya dan Haji Ahmad Badawi daripada menyertai PAS.

Haji Ahmad Fuad

Haji Ahmad Badawi

Haji Sulaiman Palestin


Kucar Kacir


Peristiwa itu telah melanda UMNO sehingga ia menjadi kucar kacir, kerana ramai ahli-ahlinya yang tegar dengan pegangan terhadap agama Islam telah menyertai PAS.

Pada bulan Mac tahun 1951 kerajaan Inggeris telah mengadakan satu muslihat –kayu digunakan untuk beliung menebang pokok-pokok kayu -, iaitu melaksanakan kaedah ‘Member System’, iaitu semua ketua jabatan kerajaan memikul tugas sebagai menteri kabinet. Dato’ Onn telah dilantik memegang tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dengan kuasa yang ada di tangannya itu,Dato’ Onn telah menasihati Kerajaan Inggeris dan menandatangani surat perintah menangkap saki baki semua pemimpin dan ahli-ahli parti-parti politik; Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sayap pemuda dan wanitanya, API dan AWAS.

Sebelum Tunku Abdul Rahman Putra mengambil alih jawatan Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951, UMNO telah dilanda krisis disebabkan karenah Dato’ Onn yang telah menimbulkan tidak puas hati di kalangan ahli-ahli UMNO di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura. Pada masa itu juga terdengar suara-suara sumbang dari orang-orang Melayu menuduh Dato’ Onn mengkhianati perjuangan bangsa Melayu.


Banyak Peristiwa


Pada masa Tunku Abdul Rahman memimpin UMNO, telah berlaku banyak peristiwa yang menjadikan parti itu bergolak,di antaranya:

* Sikap dingin orang Melayu terhadap Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein kerana mereka pro-British.

* Kumpulan Melayu dan UMNO termasuk Dr. Mahathir Mohamad menuntut Tunku Abdul Rahman melatakkan jawatan Yang Dipertua UMNO.

* Dr. Mahathir Mohamad dipecat dari UMNO kerana menulis surat layang kepada Tunku Addul Rahman.

* Isu Dr. Ismail dengan Tunku Abdul Rahman Putra.

* Isu Baja Urea dan pemecatan ke atas Abdul Aziz Ishak.

* Perisytiharan Malaysia oleh Tunku di Singapura dengan tidak berunding dengan UMNO Jawatankuasa Tertinggi UMNO lebih dahulu.

* Tragedi 13 Mei 1969 membendung pergeseran antara Tunku Abdul Rahman dengan Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein.

* UMNO telah mengalami beberapa pergolakan dari zaman Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Tun Hussein Onn menjadi pemimpinnya.

Di antaranya:

* Peristiwa Dato’ Harun Idris ditangkap dan dipenjara atas tuduhan-tuduhan tertentu.

* Penangkapan ke atas orang-orang penting dalam UMNO, seperti Dato’ Abdullah Ahmad bekas Setiausaha politik Perdana Menteri Tun Abdul Razak, Sidik Ghaus Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Wartawan Abdul Samad Ismail dan Abdullah Majid.


Pada zaman Dr. Mahathir Mohamad memimpin UMNO telah berlaku beberapa pergolakan dalam UMNO,di antaranya:

* Retak dan belah 2M – Mahathir – Musa -, Datuk Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

* Kumpulan 11 telah berjaya membawa kes UMNO kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 4 Februari 1988 hakim, Datuk Harun Hashim telah membuat keputusan, bahawa UMNO sebuah pertubuhan yang tidak sah, mengikut Seksyen 12 (3) Akta Pertubuhan 1966, UMNO tidak sah di segi undang-undang.

* Dr. Mahathir Mohamad telah berusaha menubuhkan (semula) UMNO, tetapi telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan pada 10 Februari. Setelah diubah suai, iaitu menggunakan nama UMNO Baru, maka pada 15 Februari 1988 UMNO Baru telah didaftarkan menjadi sebuah pertubuhan yang sah. Ertinya UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 telah berkubur tanpa nisan menurut undang-undang negara.

* Pada hari-hari sebelum UMNO baru ditubuhkan dan didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan, terdapat golongan politik China termasuk beberapa orang kalangan MCA telah bergerak untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan seperti melantik seorang China dari parti itu untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia.

* Wujud team A dan Team B sehingga Dr. Abdullah Badawi dijadikan melukut tepi gantang oleh pucuk pimpinan UMNO, kerana seperti orang bercinta; sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi.

* Pada masa itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli politik naik tocang. Dialah ibarat gadis bertuah.

* Krisis antara Raja Melayu dengan UMNO sekitar tahun 1992. Hasilnya kerajaan pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Ghafar Baba telah berjaya memansuhkan kekebalan Raja Melayu. Sidang Khas Dewan Rakyat pada 18-19 Disember 1992, telah meminda perkara dalam Perlembagaan: Artikal 181(2) : ‘Tiada apa-apa perbicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi satu-satu negeri atas sifat dirinya sendiri.’ Artikel berikut menjadi penghalang kepada pindaan itu:Artikal 38(4): ‘Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Raja-Raja’.

* Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ghafar Baba dalam ucapannya pada waktu membentangkan usul “Raja Berpelembagaan’ dalam Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992, antara lain berkata:

“Saya rasa diri saya memikul tanggungjawab yang sangat berat bagi membawa satu usul yang penting di dalam Dewan yang mulia ini kerana ianya melibatkan kedudukan Raja-Raja yang selama –lamanya saya anggap sebagai sahabat-sahabat saya yang sentiasa disanjung dan dihormati. Tetapi oleh kerana kepentingan negara mengatasi segala-galanya, maka saya terpaksa berdiri untuk membentangkan usul yang berbunyi:

Kerajaan menegaskan pendiriannya mahukan Institusi Raja Berpelembagaan dikekalkan di negara ini, walau bagaiamana pun, kerajaan mempunyai tanggungjawab sepenuhnya bagi menegur dan memperbetulkan apa-apa juga kesilapan yang didapati telah dilakukan oleh mana-mana juga Raja-Raja Melayu.

Bahkan tindakan Kerajaan ini adalah dibuat dengan ikhlas dan bertujuan untuk mengekal dan mempertahankan Institusi Beraja sebelum rakyat jelata sendiri bertindak liar terhadap Raja-Raja yang mungkin tidak boleh dikawal lagi akhirnya.

Rakyat jelata telah memberi persetujuan untuk beberapa keistimewaan kepada Raja-Raja sebagaimana yang tersebut dalam Artikal 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang disebut, ‘No Law directly affecting privileges, position, honours and dignities of the Rulers shall be passed without the consent of the Conference of Rulers’.

(Cabutan dari titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang:

“Takhta Merak Kayangan di Iran telah dialih dari istana ke muzium sejarah kerana rakyat Iran tidak lagi memberi kepercayaan dan taat setia kepada Takhta, kononnya Takhta Merak Pahlavi telah melebihi kuasa yang ada padanya.

Sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan rakyat dan negara. Apabila keadaan itu berlaku, lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta tergugat.

Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya”.

mokhtar petah)

* Peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998. Beliau disingkir dari UMNO dan ditangkap atas tuduhan-tuduhan tertentu.

* Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan Presiden UMNO dan jawatan itu telah dipangku oleh Abdullah Ahmad Badawi.

* UMNO mengalami riak-riak kecil pada hari-hari sebelum dan setelah Timbalan Perdana Menteri baru di sandang oleh Abdullah Badawi.

Pada pertemuan dengan Datuk Azman Attar (Allahyarham) di bilik rehat ahli-ahli Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen, beliau telah menegaskan kepada Datuk bahawa beliau mahu Najib Tun Razak menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tidak lama setelah Abdullah Badawi menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, saya telah menemui Nazri Aziz di pejabatnya, di Bangunan MARA, Kuala Lumpur. Beliau memberitahu saya, bahawa beliau tidak mahu lagi memegang jawatan menteri kabinet yang disandangnya dan tidak mahu giat dalam politik lagi.

Mungkin boleh dijadikan ‘perhatian’ di kalangan ahli-ahli UMNO, iaitu sebuah buku sejarah UMNO hendaklah ditulis agar perjuangan parti itu dibaca dan diketahui oleh generasi hari ini dan akan datang.

Semenjak Dato’ Onn bin Jaafar hingga kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, adanya pergolakan, krisis dalam UMNO dan segala macam tidak puas hati di kalangan ahli-ahlinya disebabkan beberapa faktor, di antaranya:

1 - Pemimpin lebih mementingkan dirinya sebagai orang nombor satu yang kadang kala ada sikap kediktatoran kecil yang mereka lakukan.

2 - Pertukaran dari intelektual seorang pemimpin kepada sikap veto dan autokrasi setelah memegang kekuasaan tertinggi.

3 - Tindak tanduk orang-orang kanan atau rakan–rakan rapat pemimpin menggunakan nama pemimpin bagi mendapatkan pengaruh di kalangan orang ramai atau menakutkan mereka.

4 - Sikap telunjuk lurus kelingking berkait di kalangan orang-orang rapat dengan pemimpin dan mereka mengejar kepentingan diri sendiri.

5 - Ada di antara ahli-ahli UMNO yang berkedudukan atau berkuasa menjadi tidak jujur kepada parti dan orang ramai,melakukan rasuah atau politik wang, menikam kawan seperjuangan dari belakang dan menjadi alat kepada syarikat-syarikat gergasi


Bukan Bumiputera.


Pada masa mendatang ini, UMNO akan berada pada keadaan normal dan memuaskan hati ahli-ahlinya sekiranya faktor-faktor di atas ini dapat dielakkan dan dimusnahkan hingga ke akar umbi.

Kita bersyukur kepada Allah, dengan hidayah dan taufiq-Nya, Perdana Menteri, Dr.Mahathir Mohamad telah mengistiharkan dalam Dewan Rakyat, bahawa Malaysia telah bertukar dari sebuah negara nasional – kapitalis kepada Negara Islam. Apabila Abdullah Badawi mengambil alih kepimpinan negara, beliau telah mengemukakan sajaknya yang berfalsafahkan Islam – Al Quran dan As Sunnah. Sekaligus beliau telah mengitiharkan konsep Islam Hadhari menjadi asas negara. Asas itu juga telah menjadi tunjang, batang dan puncak pada cekap, amanah dan adil yang menjadi amalan negara.

Segala-galanya telah berlaku, maka apakah UMNO akan tetap menjadi sebuah parti nasionalis dan tidak berideologi atau akan berubah haluannya, iatu menjadi sebuah parti politik yang berideologikan Islam?

No comments: