Friday, October 3, 2008

ZAHID HAMIDI


BAKAL PERDANA MENTERI

Oleh: Mokhtar Petah


Langkah Dato’ Dr. Zahid Hamidi akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, patut dihormati oleh semua bahagian parti poltik itu di seluruh negara, kerana langkah itu untuk menyelamatkan organisasi politik Melayu tersebut dari berkubur.

Dr. Zahid Hamidi telah mengumumkan hasratnya, di Masjid Tanah, Melaka. Pengumuman satu keberanian politikus tetapi menempah ramai penentang yang terdiri dari mereka yang tidak nampak masa depan UMNO.

Pada Jun lalu sebuah tulisan mengenai ‘Zahid Hamidi bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia’ telah disiarkan dalam blog ini, iaitu beliau akan menggantikan tempat Dato Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Menurut tradisi UMNO, setiap individu yang hendak menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri, dia mestilah terlebih dahulu menduduki kerusi Timbalan Presiden parti politik tersebut.

Sebaik-baik sahaja tersiar tulisan itu, Dr. Zahid Hamidi telah mengirim SMS kepada saya dengan mencatatkan kalimat-kalimat, “Pak Mokhtar, bagi tahu dia orang (penulis) jangan mengarutlah. Itu semua nak bunuh keriaya politik saya.”

Setelah saya memberi penjelasan kepada beliau melalui SMS mengenai akan baik buruknya beliau menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri, Dr.Zahid Hamidi telah mengirim SMS lagi kepada saya dengan kalimat seorang penganut sufisme:

“Pak Mokhtar, jawablah apa yang patut bagi pihak saya. Setakat ini saya bersyukur (kepada Allah) dengan apa yang diamanahkan. Saya tidak bercita-cita besar.”

Saya teringat akan kata-kata Hamka kepada saya, “Manusia tak ada cita, dia manusia tidak sempurna, pemimpin tak ada cita-cita besar tidak selaras dengan perjuangan Rasulullah.”

Saya berpendapat, untuk menyelamatkan UMNO yang telah menjunjung falsafah Islam Hadhari, hanya Dr. Zahid Hamidi yang paling layak dalam UMNO untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kalau beliau tidak memegang jawatan itu, Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri akan tidak selamat duduk atas kerusi itu. Kerusi itu telah menjadi kerusi keramat Islam, kerana Abdullah Ahmad Badawi seorang intelektual Islam dalam golongan ulama Islam.

Najib Tun Razak ada kekurangan di segi itu. Najib seorang sekular yang bepegang kepada agama Islam. Cendekiawan Islam dengan sekular yang berpegang kepada Islam ada perbezaan yang jauh.

UMNO dalam masa Abdullah Badawi telah menjadi sebuah parti politik yang hampir sama perjuangannya dengan perjuangan PAS, iaitu menjunjung Islam dan mahu mengislamisasikan semua bidang kehidupan di dunia ini. Pendeknya beliau meletakkan Islam sebagai addin.

Kalau Perdana Menteri, Najib Tun Razak mahu mengekalkan Islam Hadhari dalam UMNO dan kerajaan, maka Dr. Zahid Hamidi adalah individu yang membantunya. Orang lain tidak ada dalam UMNO.

Najib tidak boleh menolak Islam Hadhari dari dalam UMNO dan kerajaan. Kalau beliau melakukannya juga, bererti beliau menempah kejatuhan nilai dirinya sebagai pemimpin orang Melayu.

Sekali lagi saya tekankan; kalau UMNO tidak mahu menolak Islam Hadhari, maka Dr. Zahid Hamidi sahajalah yang mempunyai kemampuan membantu Najib Tun Razak dalam hal tersebut.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri memerlukan seorang tokoh ahli agama. Tan Sri Muhyiddin Yasin mempunyai pengetahuan agama Islam, tetapi beliau tidak sesuai menduduki kerusi tersebut kerana beliau berkedudukan dan berpengaruh melebihi Najib Tun Razak.

Ertinya, kalau Najib Tun Razak tidak berdiri di hadapan menjadi Perdana Menteri, maka Muhyiddin Yassinlah satu-satunya individu yang paling layak memegang jawatan tersebut.

Semua bahagian UMNO perlu melihat Dr. Zahid Hamidi sebagai penyelamat UMNO pada masa akan datang. Ahli-ahli UMNO yang ‘Islamik’ memerlukan seorang pemimpin yang Islamik seperti Abdullah Ahmad Badawi. UMNO boleh kukuh di bawah pimpinan Abdullah Badawi kerana beliau seorang ‘Islamik’, iaitu mahukan semua bidang kehidupan mengikut ajaran Islam.

Pada masa Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin nombor dua UMNO, saya telah melihat, kira-kira 46 peratus dari semua ahli UMNO terdiri dari individu yang Islamik. Mereka itu menjadi pengikut tegar Anwar Ibrahim.

Apabila Anwar Ibrahim tersingkir, para individu dalam UMNO telah beralih menjadi pengikut tegar Abdullah Ahmad Badawi. Kira-kira berapa peratus sahaja yang keluar dari UMNO dan mengikut ‘Pak Sheikh’ tersebut.

Saya percaya, setelah Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri mengikut jadual peralihan kuasa dan Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri, maka mereka yang Islamik itu akan meninggalkan UMNO dan menyertai Anwar Ibrahim.

Pada pilihan raya ke–13, Najib Tun Razak akan berkeadaan ‘penjual air batu pada hari hujan’, UMNO akan kehilangan banyak kerusi dan Barisan Nasional tidak akan berjaya menubuhkan kerajaan.

Pada masa akan datang, sebahagian besar orang Melayu tidak akan menyertai parti politik nasionalis dan kapitalisme sifatnya. Mereka akan menyertai parti politik yang berideologikan Islam atau sosialisme yang memakai simbol sosio-demokrasi.

Keberanian Dr. Zahid Hamidi mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO adalah satu keberanian dan kejujuran. Beliau perlu disokong oleh akar umbi.

Mungkin Dr. Zahid Hamidi akan ada musuhnya dalam UMNO, iaitu dari mereka yang tidak Islamik. Tetapi tidak membahayakan beliau. Kerana penentangan itu sekadar ‘suara riang-riang di rimba’ sahaja.

Sesiapa boleh menjawab; UMNO 1946 bersambung dengan UMNO baru telah terlalu dewasa memimpin negara ini, tetapi mengapa ia gagal beralih kepada ideologi Islam dan menegakkan negara Islam, sedangkan semua orang Melayu beragama Islam.

Ada orang bijak berkata, bahawa pada umumnya para pemimpin dan ahli UMNO merdeka pada kulit sahaja, tetapi jiwa masih belum mereka; masih dijajah oleh kepelbagaian perlembaagaan dan perundangan serta budaya dari barat.


Mulut melaung, jerkah merdeka,

Belum tentu jiwa mereka,

Kibar bendera merdeka,

Tidak pasti jiwa rakyat merdeka,

Merdeka sebanar; jiwa merdeka’

Islam jadi asas dan petunjuk merdeka.

Allah dan rasul-Nya jadi ikutan kita.

Benarkah kita telah merdeka?

No comments: