Wednesday, October 8, 2008

MENGENANG GHAFAR BABA

PEJUANG JUJUR DAN YAKIN DIRI

[Pada masa para warga UMNO yang berkebolehan dan
berwibawa atau tidak berhasrat untuk bertanding untuk
untuk merebut jawatan tinggi dalam UMNO Malaysia, elok
setiap individu yang berjuang dalam parti politik Melayu
itu meneliti, memepelajari dan mengikuti jejak perjuangan
Allahyarham Tun Ghafar Baba. Kerana mengenangkan beliau
kami menyiarkan komen penulis dan rakan rapat Allahyarham,
iaitu Mokhtar Petah dan tulisannya dalam bukunya 'Kerajaan
Mansuh Kekebalan Raja Melayu' ISBN983-9835-00-9 - 1993 -
Editor, Petah Shahrir Aidid.]

"Saya mula berkenalan dengan Allahyarhan Ghafar Baba pada masa tahun 1953, iaitu pada masa saya menjadi ahli Pemuda UMNO Kepala Batas. Sejak itu saya rapat dengan beliau hinggalah di akhir hayatnya.
Saya tidak dapat melupakan, Allahyarham telah menyuap sedikit lemang ke mulut saya pada jamuan hari raya Qurban, di sebuah kampung, di Bahau Negeri Sembilan, pada tahun 1954. Dan saya menyertai beliau dalam satu majlis tazkirah Al Arqam di kediamannya, di Bukit Bangsar, pada tahun 1980-an. Pada hari Allahyarham terbaring di atas katil, di hospital swasta, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, saya bersama isteri saya, Sitti Haishah Abdul Rahman telah melawat kali terakhir dengan allahyarham. Saya sempat berkata-kata dengan Allahyarham. Tetapi percakapan saya itu disambut dengan senyum patah dan kelipan dua biji matanya yang layu sahaja. Sesungguhnya, saya akui Allahyarham seorang pejuang nasionalis yang berani, gigih, bertanggungjawab, percayakan diri sendiri dan cintakan bangsanya."- Mokhtar Petah

NOTA

Guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim 1946 - 1948.
Setiausaha UMNO Melaka 1951. Pengerusi UMNO Melaka 1955.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO 1957.
Ketua Penerangan UMNO 1958.
Ketua Menteri Melaka 1959 - 1963.
Pengerusi MARA dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Naib Ketua UMNO 1962 - 1987.
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO 1986-93.
Meninggal dunia pada April 2006.


BERTONGKATKAN PARUH

Seorang budak di kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, telah membuktikan bahawa kepercayaan kepda dirinya sendiri dan keyakinannya kepada Allah, sesungguhnya, walaupun terpaksa 'bertongkatkan paruh' (laksana burung), namun cicta-cita dan perjuangannya tetap diteruskan hingga berjaya.
Budak kampung dan pernah menjadi budak kedi bola golf itu, kini menjadi negarawan terbilang dan orang paling lama berjuang dalam UMNO - (Tun) Dr. Ghafar Baba,Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Pada satu malam, dalam bulan puasa tahun 1990, di kediamannya, di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Ghaafar Baba menjawab pertanyaan saya, " ...tak ada apa-apa pada saya, hanya percaya kepada diri sendiri, kerja kuat dan tidak susah hati."
Pada malam itu saya telah bertanya kepadanya, iaitu apakah yang beliau amal dan makan menjadikan beliau sentiasa sihat dan kuat.
Pada tahun 1959, pada ketika saya menjdi pemberita Warta Negara, beberapa minggu setelah beliau dilantik oleh Yang Dipertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra (dengan perkenan Yang Dipertuang Agong) menjadi Ketua Menteri Melaka, beliau memberitahu saya, "... seseorang itu kalau dikehendaki oleh Allah untuk naik ke atas, tidak ada manusia yang boleh menyekatnya."
Beliau naik ke atas pada tahun itu setelah menempuh tekanan dan kejian daripada sebilangan ahli MCA Melaka dan beberapa orang ahli UMNO yang berpendidikan barat.
Sekali lagi beliau berfalsafah, iaitu pada tahun 1973, saya masih menjadi wartawan sebuah akhbar, di Kuala Lumpur, pada hari beliau melawat Negeri Perak dengan kedudukan sebagai Pemangku Perdana Menteri, beliau berkata kepada saya, " ... usaha dan ikhtiar ada pada manusia, Allah dengan kudrat dan iradat-Nya."
Sebagai seorang pejuang nasionalis yang mempelajari banyak titik koma atau susur galur perjuangan para pemimpin nasionalis tanah air dan Nusantara seperti Allahyarham Ibrahim Haji Yaakob(KMM), Dr.Burhanuddin Helmi, Dato Ishak Haji Muhammad (PKMM), Presiden Soekarno, Indonesia dan Jose Rizal, Filipina, maka beliau telah membuktikan kemampuannya memimpin rakyat Negeri Melaka dan rakyat Malaysia.
Ilmu pengetahauan yang tinggi belum menjamin kepada seseorang itu menjadi pemimpin bangsa, tetapi seketul otak dengan ilmu pengetahuan yang rendah, kalau mempunyai visi yang tersendiri, yakin kepada kekuasaan Allah dan tidak mengharapkan pujian manusia dan tidak pula berduka cita dengan caci dan keji, dapat menjanjikan seseorang itu dapat melonjak ke atas.
Contohnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kalau tidak dengan takdir Allah dan rahmat Allah, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dan sebilangan orang UMNO Kedah menentang dan menyingkirnya dari UMNO, tentulah beliau tidak berada di atas seperti hari ini.
Tetapi, kalau seseorang itu mempunyai nafsu besar untuk naiki ke atas lalu menjadi anau dalam belukar atau ikan limbat dalam redang dan paya sentiasa menindih dn menyeksa kawan-kawan (seperjuangan) dia tidak akan berjaya naiki ke atas atau sebelum melangkah urat ketingnya dicantas oleh orang lain.
Dalam tulisan saya ini, saya tidak akan menulis perkara-perkara yang besar mengenai Dr. Ghafar Baba, kerana semua orang kampung sudah tahu, semua orang politik telah tahu dan kanak-kanak sekolah pun tahu.
Saya akan kemukakan sini, akan apa yang saya tahu dan saya fikir akan Dr. Abdul Ghafar Baba yang menjadi negarawan nombor dua dalam kerajaan dan pemimpin nombor dua dalam UMNO.
Anak kampung Negeri Sembilan, dengsn visi anak kampung yang dimilikinya, beliau berjaya mengubah corak hidup rakyat di luar bandar di seluruh negara pada zaman Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak dan menukarkan wajah luar bandar kepada wajah bandar dengan melahirkan genarasi muda yang berpelajaran tinggi dan ramai daripada mereka itu menjadi orang-orang penting dalam UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO serta Pergerakan Wanita UMNO hari ini
Sebutir bola golf, diletakkan atas rumput di padang, lalu dengan tongkat besi waja, dipukul bola itu dengan tidak ada belas kasihan dan bola itu pun terlontar entah ke mana - hilang terus atau terpungut kembali. Bola itu jugalah yang menentukan pemain golf itu menang atau kalah di tengah padang yang berudara nyaman itu.
Agaknya, dari bola golf itulah Dr.Abdul Ghafar Baba menjadikan pelajaran dalam perjuangannya. Walaupun dia dicerca, dikeji dan tidak diingini oleh ramai kalangan UMNO pada tahun 1959- 1975 dan sebelum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun beliau terbang entah ke mana, kembali dan dipungut semula menjadikan beliau seorang yang berkedudukan tinggi, dihormati dan disegani oleh rakan dan lawannya.
Sesiapa juga yang menjadi murid dan guru Sekolah Melayu pada zaman sebelum perang dunia kedua, mulai darjah satu lagi diajar dengan falsafah 'ayam jantan berkokok, ayam betina berketuk, kambing mengembik, lembu menanduk dan ulat mematuk',maka falsafah inilah diterima oleh Dr. Abdul Ghafar Baba dalam perjalanannya yang panjang unjtuk meneruskan perjuangannya.
Falsafah tersebut, mengajar manusia menjalankan kerja menurut kemampuan, iaitu sesuai derngan sebuah hadis yagn bermaksud, bahawa sesuatu pekerjaan itu kalau diberi kepada orang yang bukan ahlinya, tunggulah kebinasaannya.
Maka untuk melayakkan diri menjadi manusia yang serba boleh telah terlalu lama ditempuh oleh Dr. Abdul Ghafar Baba - dari seorang ahli Dewan Undangan Negeri menjadi Ketua Menteri Negeri Melaka, berpindah ke Pusat (Kuala Lumpur) menjadi Pengerusi MARA dan menjadi menteri kabinet, memanjat kehendak takdir menjadi Pemangku Perdana Menteri dan diketepikan oleh rakan-rakan seperjuangannya selama beberapa tahun dan akhirnya memanjat kehendak takdir lagi dengan jawatan yang penting, iaitu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Kanak-kanak sekolah pada zaman lampau, sama ada dalam sekolah mahupun di padang permainan, mereka menyanyikan 'injit-injit semut, siapa takut naik atas' dan ini pun satu falsafah juga kalau digtelitikan dengan mata hati dan akal.
Orang-orang yang sakit, iaitu terhimpit, tertindas atau dihina selalunya mendapat pertolongan dari Allah dan dengan pertolongan itu ada yang naik ke atas dan memegang kekuasaan ke atas mereka yang menghimpit, menindas dan menghinanya.
Dr.Abdul Ghafar Baba tidak akan menafikan, bahawa beliau telah melalui dan menempuhi semua itu. Maka sebagai hamba Allah dan dengan segala rendah diri, beliau duduk di bawah kudrat dan iradat Allah, maka akhirnya beliau menjadi seorang negarawan yang banyak membuat jasa.
Mungkin Dr. Abdul Ghafar Baba dapat menerima pujian saya ini, iaitu sebagai orang lama dalam UMNO dan terus berjuang dalam UMNO hari ini, setahu saya beliau tidak pernah memikul tiang atau batu bata untuk membina gengnya sendiri seperti beberapa orang tokoh UMNO yang lain.
Sebagai seorang guru Melayu yang mendalami falsafah, bahawa tidak semua pagar boleh menyelamatkan padi dan ada pagar yang makan padi, maka beliau tidak membina gengnya sendiri.
Pada tahun-tahun sebelum Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad melantik beliau menjadi Timbalan Pertdana Menteri, iaitu setelah Datuk Musa Hitam mengundurkan dari jawatan itu, pada tahun 1986, saya telah menulis sebuah rencana dalam surat khabar Mingguan Famili mengenai Dr. Abdul Ghafar Baba.
Pada masa itu, kalangan UMNO meramalkan beberapa orang tokoh UMNO akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ada yang meramalkan tokoh dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.
Dalam rencana saya itu, saya telah menulis, bahawa Dr. Mahathir Mohamad tentulah mengharapkan orang-orang golongan tua atau veteran UMNO yang menyisihkan pada masa ini akan bekerjsama dengan beliau dalam UMNO, kerana mereka itu sedih dengan sikap dan tindak tanduk seorang berdua tokoh muda dalam UMNO dalam UMNO pada masa itu.
Beberapa orang tokoh muda dalam UMNO dan penulis dari akhbar besar yang telah membaca tulisan saya itu, secara terus terang berkata kepada saya," ...you tak ada pengetahuan politik, you ketinggalan zaman ..., mana boleh Dr. Abdul Ghafar Baba yang dah teruk tu akan jadi Perdana Menteri."
Tulisan saya itu, antara lain, bahawa kalau Dr. Mahathir Mohamad mahu golongan tua dan veteran UMNO kembali ke dalam UMNO dan bekerjasama dengan beliau, maka beliau patut patut melantik Dr. Abdul Ghafar Baba sebagai Timbalannya.
Antara tokoh-tokoh dalam golongan tua dan veteran yang menyisihkan diri itu, ialah bekas Menteri Pelajaran, Encik Mohd. Khir Johari (Tan Sri) dan bekas Menteri Penerangan, Dato Senu Abdul Rahman.
Encik Khir Johari dan Dato Senu memberitahu saya, bahawa mereka berasa jauh hati kerana ada pihak hendak menjadikan UMNO sebuah parti Islam dan lebih mengutamakan orang-orang baru dan orang-orang lama diketepikan.
Allah telah mentakdirkan saya menulis rencana begitu, tidak beberapa hari kemudian Dr. Mahathir Mohamad telah melantik Dr. Abdul Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Sebaik-baik sahaja Dr. Abdul Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri, maka golongan lama dan veteranUMNO telah memberi sokongan kepada Dr. Mahathir Mohamad dan ada yang telah bergiat dalam UMNO.
Sama ada Dr. Abdul Ghafar Baba masih ingat atau tidak, saya tidak pasti; pertama kali saya bertemu dengan beliau ialah pada tahun 1953, di Seberang Perai - pada masa itu saya menajdi ahli Pemuda UMNO Malaya di bawah pimpinan Allahyarham Saadon Jubir dan Haji Ahmad Badawi (bin Sheikh Abdullah Fahim) di samping menjadi pemberita sambilan beberapa buah akhbar.
Sungguhpun pada masa itu Dr. Abdul Ghafar Baba masih muda, tetapi beliau payah senyum. Kalau beliau senyum pun hanya pada hal-hal yang tertentu atau yang terlalu menggelikan hatinya sahaja.
Pada masa itu kami memanggilnya 'Cikgu Ghafar' . Pada masa itu juga telalu ramai guru Melayu dalam UMNO dan sedikit benar orang-orang lepasan universiti dan orang-orang Melayu yang agak kekok berhadapan dengan orang-orang Melayu kampung kerana mereka menerima didikan budaya dari barat.
Pada masa Saadon Jubir memimpin Pemuda UMNO dan pembantunya, Haji Ahmad Badawi, peranan meniupkan semangat nsionalisme kepada pemuda-pemuda UMNO adalah bergantung kepda Dr. Abdul Ghafar Baba kerana beliau adalah seorang nasionalis tulin yang sekali gus murid tua Maktab Perguruan Sultan Idris,Tanjung Malim dan menerima pengaruh perjuangan nasionalis Melayu dari Ibrahim Haji Yaacob.
Selama menjadi ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Dr. Abdul Ghafar Baba telah memberi banyak buah fikirannya kepada rakan-rakannya dalam parti politik Melayu itu, iaitu sama-sama mengkaji masa depan Tanah Melayu, sama ada hendak menjadikan Raja melayu sebagai ketua negara atau sebuah pemerintah bercorak republik.
Fikiran beliau telah diterima oleh orang-orang penting dalam parti politik tersebut. Di antara mereka itu, Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Dahari Ali dan Tengku Abdullah Sani atau Ahmad Boestamam.
Kemudian, dalam mesyuarat agung UMNO kali yang kedua di Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah mengemukakan cadangannya supaya bendera Tanah Melayu Merdeka menggunakan warna merah putih sahaja dan tidak seperti cadangan UMNO yang mahukan warna merah putih dan bulat kuning dan keris.
Parti politik itu (PKMM) mempunyai dasar negara yang berlawanan dengan UMNO. Parti politik tersebut mahukan:
Satu negara; Negara Melayu.
Satu bangsa; Bangsa Nelayu.
Satu bahasa; Bahasa Melayu.
Agama Islam; agama Negara.

Dr. Burhanuddin Helmi telah mengakui Dr. Abdul Ghafar Baba bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah banyak memberi banyak sumbangan fikiran kepada parti politik tertsebut.
Setelah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan olkeh penjajah Inggeris dan Tunku Abdul Rahman Putra mengambil alih jawatan Yang dipertua UMNO setelah Dato Onn Jaafar meninggalkan parti politik(kanan) itu pada tahun 1951, maka Dr. Abdul Ghafar Baba dengan azam yang kuat - walau terpaksa 'bertongkatkan parut', perjuangan tetap diteruskan hingga berjaya.
Beliau telah masuk ke dalam UMNO tanpa keris di pinggang, tanpa tanjak sebagai hulu balang dan tanpa ijazah nan panjang, hanya sebagai seorang guru Melayu, nasionalis yang akan mengabdikan dirinya kepada Allah, berkhidmat dan berkorban untuk negara dan bangsa tercinta.
Dalam cerita orang Melayu, Hang Tuah membela rakyat dan Raja Melaka dengan bersenjatakan keris dan kecekapan seorang pendekar, walaupun dia telah hilang (tanpa pusara), namun namanya tetap dijulang.
Dalam sejarah Melayu baru tercatat cerita yang menjadi lagenda bangsa:
Budak kampung dari Negeri Sembilan,
dengan ilmu setampuk pinang,
dengan semangat dan visi,
seorang nasionalis muda,
menempa nama di Melaka,
sampai di dataran merdeka.

Dia seorang pemimpin ternama,
Seorang sahabat yang setia,
Seorang bapa mrncintai semua.

Perjuangan Dr. Abdul Ghafar Baba sepanjang zaman amat berfaedah dan menjadi panduan dan teladan bagi genarasi muda dalam UMNO dan dalam negara hari ini, kerana kerana beliau seorang nasionalis tulin yang dedikasi dan visinya yang bermula dari zaman kanak-kanak menjadi kenyataan pada masa muda dan dewasanya.
Dalam pengembaraan ke hujung usianya, Dr. Abdul Ghafar Baba telah menabur jasanya yang telalu banyak kepada orang Melayu di luar bandar, para cendakiawan Melayu, para politikus Melayu dan bahkan kepada semua rakyat Malaysi.
Saya masih ingat detik-detik perhimpunan raksasa di Kota Melaka, pada 20 Januari 1956, kerana meraikan rombongan merdeka ke London, Dr. Abdul Ghafar Baba kelihatan paling sibuk memimpin ahli-ahli Pemuda UMNO Melaka. Yang Dipertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah bercakap dengan saya dan wartawan Abdul Rahman Rahim, " ...hampa tau, Ghafar Baba tu Hang Tuah yang muncul kembali ke Melaka ni."
Pada hari itu, Dr. Abdul Ghafar Baba adalah orang yang paling penting penting dan sibuk dalam perhimpunan bersejarah itu.
Bagi saya, pada hari ini dan pada waktu ini, Dr. Abdul Ghafar Baba, adalah The right man in the right time.(mp)


No comments: